Tuesday, October 14, 2008

CERITA SERATUS SEMBILAN BELAS

Nyah sms jam 5.22 petang semalam ketika selesai solat Asar kat surau bahagian bawah parkir pejabat Manja : ”Salam, nak bagitahu suami Acek Enon baru saja meninggal hari ini”. Innalillahiwainaila hirojiun. Saya membalas sms Nyah : ”Nyah, sampaikan salam takziah kami berdua kepada Acek Enon. Setiap kita pasti akan kembali kepada yang Esa. Sekadar masa dan ketika saja yang tak pasti. Namun yang hidup perlu teruskan kehidupan ini. Semoga arwah diampunkan segala dosa-dosanya dan dizumrahkan di kalangan mereka-mereka yang beriman. Amin”.

Kesian Nyah, masa tahu suami Acek meninggal, dia baru saja tiba dengan bas di Pudu Raya. Lepas tu, ambil bas semula untuk ke Ipoh. Saya tahu, sejak dulu lagi Nyah memang begitu mengambil berat tentang hal-hal keluarga termasuk emak dan bapak, adik beradik, arwah Opah, arwah Wan Nyah, arwah Andak, Arwah Mak Yong, Arwah Yob Nan, Wah, Acek, Yong, kak Long Jamah, arwah abang Amat, Yob Li, Nyah Am dan lain-lain. Itulah Nyah. Masa kecil saya cukup ’geram’ dengan dia...garang ! Dah besar panjang ni baru saya tahu, hatinya cukup mulia. Saya sentiasa berdoa akan kesejahteraan Nyah pada setiap masa.

Hari ini hari terakhir di JHEOA. Esok saya akan bertugas di tempat baru. Saya sebenarnya tak sabar lagi nak ke tempat baru itu. Namun, jauh di sudut hati saya, saya merasakan suatu kehilangan untuk melangkah pergi dari Jabatan ini. Terlalu banyak yang indah daripada sebaliknya. Apapun, hijrah ini memungkinkan saya untuk tambah dewasa dalam hidup sebagai kakitangan awam. Saya banyak terhutang budi kepada mentor-mentor saya di sini. Tentulah saya tidak akan lupa kepada mereka-mereka itu. Dan, di ruang ini saya mohon agar saya diizinkan untuk membawa ilmu yang saya pelajari itu ke tempat baru. Tentu ada yang bertanya, takkan tak ada yang tak seronok kot...? Saya nak beritahu, jika adapun yang saya tidak ’gembira’, saya telah melupakannya. Semua sekali !

InsyaAllah, pada 17 dan 18 haribulan ini saya akan ke Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka untuk program Perdana Menteri. Seperti biasa, saya diamanahkan untuk menjadi juruacara majlis. Kabarnya, gandingan saya di Melaka ialah Puan Rashidah, dari Jabatan Penerangan Negeri Melaka. Saya juga diamanahkan untuk merangka skrip pengacara (emcee) tersebut.

Sebenarnya saya agak teruja sebab saya akan bertemu kembali dengan ’mentor utama’ saya yang menjadi ketua di Agensi yang baru ini. Dulu beliau merupakan Ketua Pengarah JHEOA, kemudian bertukar ke PERDA (naik gred) dan seterusnya menjadi TKSU (S) di KKLW, bertukar ke RISDA dan mendapat anugerah ’Datuk’. Sewaktu di JHEOA saya adalah merupakan PRO Jabatan yang direct di bawahnya. Saya suka bekerja di bawah kendalian beliau kerana sikap profesionalismenya. Seorang bos yang prihatin, suka menolong orang, peramah, cekap dan penuh komitmen. Itulah ciri-ciri seorang bos yang menjadikan saya cukup seronok dan teruja bertugas pada waktu itu. Namanya, Datuk Mohamad Izat Hasan. Baru-baru ini saya melihat wajah beliau di TV9 dalam rancangan AKOK di Sg. Pancing, Kuantan, Pahang.

Yang mahal tu, beliau juga memiliki hobi yang pelbagai. Beliau gemar memancing, menembak, bertani, bermain golf, menyanyi dan pelbagai lagi. Sewaktu satu function di INTAN suatu ketika dulu, Datuk Zalekha Hassan (mantan SUB Kewangan KPNPM) pernah beritahu saya : ”Kami kat sini harapkan Izat jer. Dia boleh jer buat macam-macam...” Dia merujuk kepada kerja kursus JUSA yang mereka sedang lalui ketika itu. Turut sama ialah Encik Jaswant Singh bekas SUB Penyelidikan KPNPM yang ketika itu bertugas di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM. Saya sendiri hadir kerana mengiringi Band D’ Minda JHEOA untuk malam akhir kursus tersebut.

Ohya, Tembeg tanya pasal cerita ...’selagi tak jumpa laut’. Ada satu kes saya naik kereta yang pemandunya sahabat kita Orang Asli. Masa tu kat Jalan Imbi (sesat untuk ke Jalan Conlay). Saya tanya dia, boleh ke sampai ni ? Jawab pemandu tu : ”Selagi tak jumpa laut sampailah kita encik...” Logiknya, tengah-tengah KL mana nak cari laut. Pantai Dalam kat Angkasapuri tupun tak nampak bayang laut...Terkena betul saya !

Oklah, sebelum semuanya usai di sini, saya amat berharap agar kita dapat terus saling berinteraksi lagi pada hari-hari mendatang. Ingatlah nama ini : SHARUDIN ABDULLAH @ SHAH EFENDY @ UDIN (panggilan keluarga dan orang kampung saya). Wasallam.

1 comment:

Anonymous said...

Selamat Maju Jaya di tempat baru.