Tuesday, April 22, 2008

CERITA LIMA PULUH SATU

Emi dan keluarganya balik Sarawak pagi ini dengan Air Asia. Semoga selamat dalam perjalanan. InsyaAllah. Ya lah, bab-bab benda terbang ni kalau boleh saya sendiripun tak mahu naik. Kalau ada bas pergi ke Malaysia Timur (Sabah/Sarawak/WP Labuan) tu rasanya saya lebih rela naik biarpun terpaksa menempuhi jarak waktu berhari. Dulu kita ada feri ’cruise muhibbah’ ke sana, tapi la ni dah tak ada. Bila ada kapalterbang yang terbabas dan melanggar mati 21 orang di sebuah negara Afrika baru-baru ni, saya jadi kecut perut. Siapa tak takut mati bro !

Saya pernah menaiki pesawat tentera antaranya Charlie, Caribou dan Nuri. Fokker MAS pun saya pernah naik sewaktu di Sabah. Dan, pengalaman sulung naik kapalterbang/pesawat ni adalah di sekitar tahun 1970 di kampung saya di Kuala Slim, Slim River, Perak. Sebelah kampung saya ada padang kapalterbang estet kelapa bali (kini menjadi perkampungan warisan). Emak modalkan RM15 masa tu untuk ’merasakan’ kami naik kapalterbang (yang digunakan oleh pihak estet untuk menabur baja kelapa sawit). Saya naik bersama Alom abang saya, Allahyarham Rosli @ Suhaili (satu kelas dengan saya dan Ri sewaktu di sekolah rendah). Suhaili juga adalah anak saudara belah Mak Yong (ibu saudara saya), bapa saudara saya Uda (Luai) dan anaknya Ri (Shariman). Ri punyalah menjerit dan mengamuk bila kat udara tu, Tuhan aje yang tahu. Sampai termuntah-muntah !

Tak tahu pulak kenapa kami berdua beradik (saya dan abang) tak menangis atau berasa takut waktu tu. Mungkin dah ada ’wakil’ yang menjerit kot. Juruterbang pesawat seorang warga British yang kami panggil ’Tuan’ dan berseluar katok di temani oleh seorang India. Seingat saya, kami diberitahu bahawa kami sedang berada di atas bandar Tanjung Malim semasa kapalterbang tu u-turn untuk berpatah balik. Lima belas minit di udara seronok pulak rasanya. Tak pernah termimpi. Kalau nak ikutkan masa tu emak, bapa, Yong dan Nyah sendiripun tak pernah umur naik pesawat lagi. Begitulah pengorbanan emak. Sanggup keluar duit termasuk duit mengayam tikar dan hasil kueh di kedai Pakcik Helaluddin semata-mata mahu membahagiakan anak-anak ! Dah besar panjang ni, saya cuma ada impian untuk bawa Nuri naik kapalterbang pulak ! Dia seorang saja dari kalangan kami adik beradik ’tak merasa’ lagi naik pesawat !

Kalau tak silap ”Nuri” (Mohd. Nuri) mendapat nama sewaktu Allahyarham YAB Datuk Seri Kamarudiin Mat Isa (mantan MB Perak) melawat kampung kami (kampung pemindahan mangsa banjir dari Kuala Slim) yang kemudian dikenali sebagai Kampung Jaya. Jadi, nama Nuri diambil dari pesawat Nuri yang membawa MB, dan kalau tak silap juga masa tu emak sedang dalam proses melahirkan Wi (Nuri).

Yang paling baru saya naik pesawat ialah semasa tugasan sebagai pengacara majlis program Projek Luar Bandar Agropolitan yang dirasmikan oleh PM di Pulau Banggi, Sabah. Sebelum tu sewaktu menunaikan umrah. Dan, esok seperti saya sebutkan, saya akan ke Miri, Sarawak. Kali akhir saya ke Sarawak ialah pada sekitar tahun 1985. Merata tempat di negeri tu saya singgahi atas urusan kerja. Tapi paling best, masa saya berkunjung ke Kampung Budaya ! Saya masih lagi menyimpan passport di dalam kampung tersebut.

Berbalik semula pasal kapalterbang. Benda ni risikonya tinggi. Tragedi di Tanjung Kupang, Johor yang mengorbankan ramai nyawa termasuk seorang Menteri Kabinet Persekutuan dan satu lagi tragedi di Kampung Air, Kota Kinabalu yang membabitkan Allahyarham Tun Fuad Stephen, Yang Dipertua Negeri Sabah di mana agak memberi kesan dalam nubari saya. Ini kerana di kedua-dua tempat tu saya berpeluang pergi ’menjeguk’ ketika sehari dua berlaku kemalangan berkenaan ! Semoga Allah merahmati kita di mana jua kita berada. Kata Manja, nak mati atas katilpun mati ! Saya berserah kepada Allah. Apapun yang nak jadi, hanya Taqdir saja yang maha mengetahuinya ! Selamat berjumpa di lain waktu...

Monday, April 21, 2008

CERITA LIMA PULUH

Hari Sabtu lalu Emi sekeluarga dari Sarawak datang rumah. Turut sama Nyah dan anak Nuri (Kak Ayu, Mimi dan Aliya). Emi dan Ita tak dapat datang kerana ada hal. Kesian mereka semua. Lapar. Tiba rumah saya jam 11.00 pagi. Tak ambil sarapan apapun sebelum tu, terus datang rumah dengan harapan dah ready segala juadah makan ’tengahari’. Sibuk punya pasal ditambah dengan mengantuk sebab malam tadinya mengemas bagai nak rak, langsung tak sempat ikut planning asal. Lebih teruk, saya tidur duduk semasa berdoa sembahyang subuh. Manja lupa nak kejut kot...Kesian mereka semua. Tapi syukurlah, berkat ketekunan, saya dapat siapkan juga menu sup ayam (dua ekor), sayur kailan goreng ikan masin, udang masak petai, kembung goreng, sambal belacan dengan ulam timun, selain buah-buahan sebagai pencuci mulut. Airnya pulak, orange sunquick ! Perghhh....penat wa cakap lu ! Terima kasihlah pada adik ipar saya, Hasnal yang sudi menumpangkan mereka dari KL ke Bangi, pergi dan balik dengan Toyotanya.

Lapar punya pasal, hampir habis makanan kena balun. Lepas tu siapkan air kopi dan cekodok ikan bilis daun sup. Habis jugak ! Syukur alhamdulillah. Kata Manja, kalau kita beri orang makan, rezeki akan ’murah’ masuk ke rumah. Semoga Emi sekeluarga tak serik datang rumah...Abid (isteri Emi) dan anak-anak tak datang, oleh kerana baru saja turun KL.

23 April saya akan ke Miri dan balik pada 24 haribulan. Lepas tu, terus ke Kedah hingga ke selatan. Kerja. Harap-harap dapat jumpa si kembar dan Mila bila ke Alor Setar nanti. Rindu benar rasanya kat mereka. Hari tu, Aye beritahu dia dapat 4 A 1 B, manakala Lidiya dapat 3 A 2 B dalam trial exam UPSR. Alhamdulillah. Mila pulak tak ada cerita baru. Itu ’budak macam-macam’ ! Banyak akai...

Akhirnya, saya berdoa semoga kita semua dirahmati Allah pada setiap masa dan ketika. Dan, semoga Allah selamatkan negara kita dari sebarang musibah yang melanda. Bye !

CERITA EMPAT PULUH SEMBILAN

Seperti saya coretkan tentang biodata saya, saya cukup gemar membaca buku. Dan, percaya atau tidak, buku seperti buku cenderamatapun saya suka kumpul. Tak tahulah, dari dulu lagi saya gemar membaca. Ma’af kata, sehingga dalam ’bilik termenung’ pun saya mesti membaca sesuatu. Paling-paling tak adapun, huruf-huruf pada kad pengenalan pun turut saya baca. Sambil ’melepaskan hajat’ sambil membaca. Apa raaa...!

Buku karya YB Tan Sri Muhammad bin Muhd. Taib, saya beli sekitar 14 tahun lalu di sebuah toko buku dekat bangunan yang kini menempatkan Restoran Insaf, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Dalam buku yang menterjemah pemikiran seorang tokoh penting Melayu yang bercakap soal perubahan minda bangsanya berjudul ’Melayu Baru’, saya tertarik bagaimana ianya digarap sebegitu rupa untuk menjadikannya suatu makalah yang baik. Menyelusuri kepadatan isinya yang ditulis secara pakej, meletakkan buku tersebut begitu mudah untuk difahami oleh khalayak pembaca, dan tentunya amat sesuai untuk generasi masa kini. Keterujaan saya kerana, melalui buku yang ditulis secara terus terang itu, kita dapat mencium keikhlasannya ke arah perubahan institusi Melayu dalam dunia yang begitu mendesak !

Pagi ini, dalam ucapan Tan Sri sempena Majlis Penyampaian Amanat dan Anugerah Cemerlang (APC) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2007, Tan Sri selaku Menteri telah meluahkan ucapan yang penuh ’inti’ dan bervisi yang harus disambut oleh seluruh warga kerja KKLW dengan penuh nada positif. Yang mengkagumkan, sokongan Tan Sri kepada ’bos’ tetap utuh ! Inilah gambaran seorang tokoh yang sanggup terus berada dalam keadaan apapun senario politik yang melanda parti. Bukan lari dan meninggalkan nakhoda dalam situasi seperti mana yang dihasratkan oleh DSAI. Itu tak gentleman namanya.

Kepada Tan Sri jangan bimbang, meskipun nada komen di blog Tan Sri agak ’kurang menyenangkan’, namun saya kira ianya juga perlu dijadikan sebagai ’inti’ yang boleh mengukuhkan parti UMNO pada masa depan. Kelemahan parti kita selama ini adalah kerana kita tidak boleh menerima komen, terutama dari penulis blog. Tahniah dari saya selaku ’anak buah’ kerana Tan Sri telah menyertai club bloggers ! Selamat maju jaya ! Hidup UMNO !!! Jumpa lagi...

Friday, April 18, 2008

CERITA EMPAT PULUH LAPAN

Astaghfar bebanyak. Cerita yang saya tulis semalam sebenarnya amat mengganggu minda. Syukur, pagi ni tenang semula untuk tugasan memberi ceramah Komunikasi Berkesan (Pengacara Majlis) kepada Puspanita Cawangan Kecil JHEOA di Gombak. Turut sama pengerusi barunya Puan Hajah Noorhayati bt. Limat yang menggantikan Datin Norhayati bt. Hassan. Prosedur biasa. Dan, diikuti dengan Mesyuarat Agung Tahunan 2006-2007. Saya berjanji untuk menyambungnya bagi sesi pengucapan awam dan lain-lain yang berkaitan. Baik sungguh respons yang saya terima. Yalah, ilmu itu kan ke untuk dikongsi bersama ? Seperti bidalan baru saya (hasil gubahan semula), ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan ilmu (bukan meninggalkan gelang) ”.

Nyah ada di KLCC katanya bersama Abib (isteri Emi) dan keluarga mertua Emi yang lain petang ni. Shopping sakanlah tu ! Haji Saimi (Emi) adik saya yang menetap di Sibu, Sarawak kerap juga membawa keluarganya turun KL dengan Air Asia. Semalam saya jumpa dia, Nyah dan bapa mertuanya di Sogo. Kurus adik saya tu. Beras mahal kot...

Saya pernah ke Sibu sekitar tahun 1985. Di Kem Oya, Sibu di mana Emi masa tu masih bekerja sebagai anggota tentera. Memangpun, Emi dan juga Alom (abang sulung), itulah cita-cita masa kecil mereka ! Sedang saya nak jadi doktor. Bila besar nak jumpa doktorpun takut ! Pirraah !!! Nuri, entah dah lupa nak jadi apa ? Nyah dan Yong pun saya tak tahu. Tapi, Nyah pernah ditawarkan dalam bidang perguruan di Sabah (kalau tak silap). Malang sikit, sebab masa tu tak dapat green light dari arwah emak. Yalah, masa tu minda keluarga masih dikekang dek pemikiran tradisional.

Petang, Zainal Bakar kawan baik saya beritahu, solat Jumaat hari ni kat Gombak Haji Ismail Kamus baca khutbah. Lama tak dengar cerita penceramah agama yang popular satu masa dulu tu. Lupa pulak, Selangor la ni kan di bawah Pakatan Rakyat ? Patutlah boleh berceramah....

Apapun, saya seronok dengan perkembangan dunia bloggers hari ini, di mana Dato’ Seri Khir Toyo, Datuk Raja Ahmad Zainuddin, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam telah menyertai club. Bagus jugak, pelayar ada banyak pilihan untuk membaca. Situasi ini akan menggalakkan iklim leterasi yang sihat kembali. Tahniah !

Nak ucap tahniah jugak pada kak Kiah Cina (besar) dan suami yang bakal menerima menantu sulung pada hari minggu ini (20 April 2008). Kabarnya hanya kak Esah dan Nyah yang dapat hadir. Saya ada di Auditorium PICC, Putrajaya jam 2.30 petang untuk sesi raptai Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKLW 2007. Jadi, maaf kerana tak dapat hadir. Semoga semuanya berjalan lancar sepertimana yang dihasratkan. InsyaAllah. Okey, bye !

Thursday, April 17, 2008

CERITA EMPAT PULUH TUJUH

Macam-macam yang kita dengar dan lihat mengenai perkembangan politik tanahair mutakhir ini. Walaupun begitu, kita wajar berterima kasih kepada ahli-ahli politik yang mewarnai landskap politik Malaysia yang dulu amat sinonim dengan ungkapan Malaysia Boleh ! Sekarang memangpun Malaysia Boleh. Semua boleh, berbaik boleh, bergaduh boleh, berperang boleh, bermaki hamunpun boleh ! Apa nak lagi ?

Jangan nanti dikatakan orang bahawa Malaysia hanya pandai bercakap, tapi tak pandai memperaktikkannya. Kita adalah juara kalau bab menasihati negara lain seperti Burma, Palestin, Thailand dan lain-lain negara yang bergolak. Tetapi, bagaimana dengan dalaman kita sendiri ? Sebagai rakyat yang amat cintakan tanahairnya, saya merayu agar semua ini dihentikan. Tempoh berpolitik dah selesai. Rakyat mahu keamanan dan kemakmuran. Remaja dan belia kita perlu dibimbing dan ditunjukkan contoh dan tauladan yang baik, supaya kita dapat mewujudkan barisan kepimpinan masa depan negara, yang luhur dan bersih daripada sebarang gejala yang tidak sihat seperti apa yang diperlihatkan sekarang. Basuhlah kain dalam bilik air sendiri. Jika membasuh dalam bilik air orang, segala pakaian buruk, hapak, koyak rabak semuanya terserlah. Dalam pada itu, bilik air orangpun kita sempat nak komen sama, samada bersih atau kotor situasinya !

Sampai bilakah orang kita akan dewasa dalam hidup ? Jika kita masuk ke medan juang, haruslah kita bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan samada menang atau kalah. Tetapi, tidakkah kekalahan itu juga merupakan satu rahmat. Kerana melalui kekalahanlah, kita melihat kini pelbagai usaha dibuat untuk membentuk satu pasukan parti yang kuat ! Semua orang telah sedar. Kepentingan Melayu, kepentingan bangsa, kepentingan agama ! Semuanya difikirkan secara lebih serius dan realistik !

So, janganlah melatah lagi. Mari kita bangunkan kembali Melayu yang telah jauh hanyut. Bincanglah perkara-perkara ’sulit’ dalam rumah kita sendiri. Kata orang Kelantan : ’Malu kat oghe, kalu dok cito had bendo-bendo dalam kain ni’. Janganlah fikir orang politik saja boleh bincang hal politik. Kami rakyat ni termasuk kakitangan awam nak jadi apa, tukang tonton je ke ? Tidakkah apabila mengundi rakyat dibabitkan. Masa mengundi rakyat dingatkan supaya memilih calon atau parti yang benar-benar layak. Bila selesai mengundi, rakyat (kakitangan awam) tak boleh ambil tahu pulak. Apa ni ? Ini negara demokrasi. Maka betul benarlah kata peribahasa : ’Habis madu sepah dibuang’.

Lagi ramai orang politik yang bercakap, lagi banyak perkara yang tak wajar terserlah. Jadi, jangan marah kalau kakitangan awam bercakap pasal politik. Sebab orang politiklah yang mengajar kami supaya pandai menjaga tepi kain orang. Ingatlah, bahawa tanpa sokongan rakyat, satu parti politikpun tak boleh berkembang. Jadi, hargailah setiap pandangan. Kadang-kadang rakyat marhain seperti kami lebih matang daripada sesetengah orang politik ! Jumpa lagi okey...

Monday, April 14, 2008

CERITA EMPAT PULUH ENAM

Lama betul rasanya tinggalkan blog ni. Apa boleh buat tuntutan tugas yang semakin ’melambak !’. Dalam masa peninggalan tu, saya telah berkesempatan ke KETENGAH, Terengganu dan Kluang, Johor. Ni tak lama lagi dah nak ke Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Pendek kata sibuk memanjang bulan April dan Mei ni ! Sori kalau saya tak dapat menulis macam dulu. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi komen, termasuklah Ateh.

Pada blog 42, Ateh tanya tentang perbedaan antara PERSPEKTIF dengan RETROSPEKTIF. Retrospektif seperti yang saya pernah beritahu pada muqadimmah blog ini. Manakala, Perspektif ikut Kamus Dewan bermaksud : 1. cara perlukisan (penggambaran) sesuatu benda dan lain-lain pada permukaan yang rata sebagaimana yang kelihatan dari sesuatu tempat pada mata seseorang, 2. pandangan (pentafsiran) yang wajar berkaitan sesuatu dengan memperkirakan bahagian-bahagiannya dalam hubungan keseluruhannya.

Pada 4 April lalu, terima mesej dari Nyah minta feedback cadangan ke Melaka/Pengkalan Balak untuk sesi kedua reunion 28H. Mulanya saya okey je, tapi terkini saya agak tak pasti, sebab sepanjang April dan Mei ini terlalu ’busy’. Tapi, kalau ada kesempatan apa salahnya kan ? Beberapa majlis rasmi Kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai pengacara majlis, turut masuk dalam senarai waiting list. Ikut tarikh cadangan Nyah, ianya akan berlangsung pada 17, 18 atau 19 Mei 2008. Apapun, pada Nyah dan rakan-rakan ’organise’lah baik-baik ya. Kena jadi tau !

Hari tu dapat kad kahwin anak kak Kiah Cina (besar) kat Kelang. Comel lagi kak Kiah kita tu ya ! Abang dia pun, kus semangat ’hansom’ wa cakap lu ! Pada kak Kiah dan suami, tahniah kerana dapat menantu sulung !

Difahamkan malam ni di Kampung Baru, KL ada majlis ’Black 14’. Agaknya bagi meraikan kembalinya DSAI ke kancah pilihanraya nasional ! Harap-harap tak jadi apa-apa masalah. Cool brother ! Begitu juga, hari ini penyanyi Faizal Tahir (yang pernah saya belasah di Utusan Malaysia tak lama dulu) juga bebas ! Harapan saya, gunakanlah peluang kedua itu dengan penuh hemah dan siuman ! Lakukanlah perkara yang baik-baik, InsyaAllah; anda akan dipandang baik ! Kita jumpa nanti...

Thursday, April 3, 2008

CERITA EMPAT PULUH LIMA

’Belasungkawa’ di atas pemergian ke rahmatullah Allahyarham Kak Yusni Jaafar yang meninggal dunia pada 1 April 2008 lalu. Saya amat sedih kerana saya pernah rapat dengan keluarga kak Yusni satu ketika dulu. Lama sebelum sahabat saya Sheqal kahwin dengan Raja Ema. Allahyarham Jaafar Sidek (Pak Kojong) bapa kak Yusni, bekerja dengan saya di Pentarama sebagai ketua pemuzik bersama anaknya adik lelaki kak Yusni, abang Yusno. Abang Yusno berkahwin dengan kak Latifah dan menetap di Kampung Nakhoda, Batu Cave. Kak Latifah bersepupu dengan Saniah (bekas isteri pertama Salleh Yaakup) dan Mashita atau Opik (ketiga-tiganya senior saya di Pentarama). Mutakhir, saya dengar abang Yusno dah ikut kegiatan tabligh. Alhamdulillah. Oh ya, saya pernah 'berkawan' dengan Opik semasa mula-mula masuk Pentarama dulu.

Tentang Raja Ema, semasa usianya sekitar 14 tahun pernah mengiringi beberapa persembahan saya dengan group penari kak Yusna (adik kak Yusni). Antara persembahan tersebut ialah konsert tour kumpulan Kembara di Kelantan yang turut disertai oleh Mazwin Hamzah, Osman Ghani (pencipta lagu 'Lizawati' - dipopularkan oleh Rahim Maarof), Kumpulan band 'One For All' serta pelawak-pelawak kumpulan Wak Ser dan Osman Kering (masa tu masih 'hijau' lagi dalam dunia seni lawak).

Saya juga pernah membuat persembahan di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah bersama kak Sukarni (seorang lagi adik kak Yusni) bersama rakan lawaknya A.R.Badul. Manakala suku sakat group The Booty Boys, Surya, Kesuma dan Purnama (ibu mereka Allahyarham Kasma Booty adalah anak tiri Pak Kojong) memang rapat dengan saya, sementelah lagi album saya yang diterbitkan oleh S. Atan dirakamkan di Booty Boys Studio (berhampiran Tasik Titiwangsa).

Masa Ema dan Sheqal kahwin, saya juga kerap ’mengekor’ mereka dalam beberapa aktiviti seni selain melihat sendiri kejayaan bisnes saham Sheqal. Keraplah saya menumpang Mercedes baru mereka ketika itu. Wow, hebat betul mereka masa tu !

Dengan Allahyarham kak Yusni, kami pernah menjayakan beberapa persembahan pentas terbitan RTM. Bagi saya, beliau seorang yang komited dalam tugas dan tidak terlalu cerewet. Allahyarham Sudirman Haji Arshad (Sudir) begitu akrab dengannya. Kalau ada show Sudir, kak Yusni mesti ada. Kak Yusni memang baik. Saya dengar kabar, tak lama dulu ada problem antara Allahyarham dengan anak-anaknya sehinggakan pernah Khairil Khamis (abang Azizul dan Nina) mengambl langkah untuk menjaga kak Yusni dalam saat ’terbuang’ begitu. Bila saya baca akhbar semalam, terdapat kenyataan bahawa anak-anaknya turut bersama beliau pada saat-saat akhir Allahyarham. Alhamdulillah, syukur. "Bahawa syurga itu berada di bawah di telapak kaki ibu". Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di zumrahkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin...

Di mana Sheqal sekarang sejak kahwin baru ya ? Dulu pernah bisnes ’alam kubur’ kat Rawang. Saya teringat semasa satu show di Labuan, di mana sewaktu membantu Sheqal ’backup’ lagu nusantaranya, kami diminta untuk membuat gimmick slot Ulik Mayang. Hairan, tak semena-mena ribut taufan melanda pentas persembahan yang terletak kat tepi pantai tu. Dalam segmen tersebut kami (termasuk penyanyi Raza, Rosli Derani - penerbit Klasik FM, Jasmani (kumpualn lawak Pang Yau) dan Ann Ways mengusung Sheqal yang dikafan ke tengah pentas. Manakala Nazri Lempo seorang lagi anggota kumpulan lawak Pang Yau membuat ritual dengan mayang di tangan. Tu lah, tak semena-mena cuaca malam yang elok tetiba menjadi tak keruan. Habis melayang segala backdrop dan juga beberapa peralatan P.A system termasuk alat muzik. Berterabur kami lari ! Penonton apatah lagi. Peliknya, hujan tak turun tapi angin ribut pulak yang ’mengamuk’. Memang, menurut ceritanya ulik mayang merupakan salah satu daripada acara ritual puja pantai di Terengganu yang membabitkan acara 'semah' dan sebagainya. Tak boleh dibuat main-main kata yang ampunya cerita. Entahlah, saya sukar nak percaya, tapi kekadang nak ’terpercaya’ jugak ! Ketemu lagi...

Tuesday, April 1, 2008

CERITA EMPAT PULUH EMPAT

Kelmarin ke Kraftangan semula. Beli mini seterika antik daripada tembaga buatan Terengganu. Sebut Terengganu, teringat mantan MBnya yang saya anggap sebagai perintis pembangunan hadhari di sana. Teringat semula kisah lalu, di mana kami adik beradik menggunakan seterika (iron) yang menggunakan arang tersebut, yang bukan saja berfungsi bagi melicinkan ’komot’, malah dalam masa yang sama untuk mengeringkan pakaian yang lembab. Tetiba terjumpa Abon dan Wan Razak (penyanyi lama dari Kelantan) kat tepi pentas sebelah gerai batik sutera. Berborak sakanlah pulak. Abon ke situ kerana ada undangan show. Begitu juga dengan abag Wan Razak yang membuat persembahan bersama kumpulan ’Balle Balle’.

Syok dan teruja bercerita dengan Abon dan abang Wan Razak pasal topik N.D Lala dan Rosli Selasih (komposer) yang dah jadi ’jutawan multilevel’. Cerita jugak kisah-kisah show yang pernah kami jayakan bersama. Dah terlanjur, sempat saya tanyakan kisah bagaimana ilham yang begitu 'baik' muncul untuk ’mencantikkan’ lagu ’Apa Dah Jadi’ versi lawak yang dinyanyikan oleh Ali Mamak dan Abon. Menurut Abon, pada satu ketika Ali Mamak call dia di rumah sekitar jam 1 pagi, mintak dia datang ke studio rakaman di KL. Dia yang masih mengantuk dan otak yang ’beler’ meredah pagi ke studio tu berseorangan. Tatkala tiba dilihatnya Rosli dan Ali macam ’orang mati bini’. Kusut masai wajah mereka. Maklumlah, bergelut sedari pagi hingga membawa ke pagi semula dok buntu untuk menyiapkan lagu Apa Dah Jadi tu. Kerana menurut Abon, Tan Sri S.M Salim bagi syarat pada Rosli Selasih, supaya andai lagu tu mahu dirakamkan semula ianya mestilah lebih baik lagi daripada apa yang pernah dihasilkannya. Itulah kata orang, idea ni jika dicetuskan secara kolektif pasti 'menjadi'.

Hasil kombinasi jitu abang Ali, Abon dan Rosli Selasih, maka jadilah lagu tu macam yang kita dengar hari ini. Jujur saya katakan bahawa kolaborasi Ali Mamak dan Abon memang ’menjadi’ terutama ketika beraksi di pentas lawak jenaka. Nak gamat lagi tambah Harun Salim Bachik. Baru ngam choiii ! Haru biru pentas dibuatnya. Pada Li (Rosli Selasih) dan N.D (Lala), selamat maju jaya dalam bidang bisnes multilevel tu.

Semalam posting komen untuk blog YB Datuk Raja Ahmad Zainuddin melalui Agenda Daily. Saya memang suka dengan Datuk Raja ni terutama kalau dia berhujah di Parlimen. Pasti ’kurang seri’ sikit kalau tak ada dia dengan Datuk Badarudin Amiruldin (bekas Ahli Parlimen Jerai). Kerana ’duo’ ini memang hebat berdebat ! Apapun, teruskan perjuangan anda dalam membela nasib rakyat di semua peringkat walau dengan apa cara sekalipun. Yang penting nawaitu kita. Namun, selepas proses ’overhaul’ ni, saya percaya BN akan kembali ’menyengat’ seperti waktu-waktu lalu ! InsyaAllah. YB Datuk Raja, jangan undur dalam FAM pulak !

Semalam Nyah kata nak hantar gambar reunion tempohari. Saya harap dapat candidshot masa potong kek tu. Sebut kek rasa 'seram' kat tekak ni ! Sebenarnya saya tidak gemar makan kek. Hari tu jamah sikit je. Punyalah 'menahan'. Harap kak Esah dan kakak-kakak lain tu tak berkecil hati. Entahlah, kekadang tu hairan jugak dengan kerongkong ni. Menu macam pizza, laksa Johor, spagetti, kek dan kueh almond London langsung tak pernah hinggap kat tekak ! Semua orang kata sedap. Sedap kat mana tak tahulah ? Masa kat KPNPM dulu, Kelab Sukan dan Kebajikan kami selalu jugak anjur majlis hari jadi, majlis perpisahan dan majlis-majlis keraian yang lain. Yang tak bestnya, bila bab menu mesti ada laksa Johor, spagetti atau kek. Tu lah pasal, orang macam saya ni terpaksalah dok belasah buah je kat tepi-tepi sudut. Apalah punya nasib !

Oh ya, pada kengkawan lama di KPNPM dulu tu, saya berharap agar mereka sudi untuk singgah sekejap ke blog ini. Mana tahu, ada cerita baru yang nak dikongsikan bersama. Dulu kan kita pernah anjur reunion kat hotel terkemuka di belakang Ampang Park tu. ’Best giler’ ! Amacam, buat sekali lagi nak tak ? Apa komen Cik Zuraidah, Encik Inau dan Encik Anuari, mantan-mantan pengerusi, Encik Sharudin dan sahabat saya saudara Abdul Aziz Haji Man di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rubakyah (PRO Kementerian Pelajaran), Encik Kamaruddin (Jabatan Pendaftaran Negara WP), kak G (JPM) dan lain-lain ? Jumpa lagi...