Wednesday, August 27, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH TIGA

TAHNIAH kepada YB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim (DSAI) yang telah berjaya dalam PRK Permatang Pauh semalam. Undi yang diterima oleh beliau sebanyak 31,195, manakala dua lagi calon iaitu YB Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN dan Sdra. Hanafi Hamat dari AKIM, masing-masing menerima undi sebanyak 15,524 dan 9. majoriti undi 15,671, undi rosak 447, manakala peratusan keluar mengundi sebanyak 81.01%. Pada PRU12 yang lalu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah bt. Wan Ismail mendapat undi sebanyak 13,398. Apapun, hakikatnya demokrasi masih teguh wujud di Malaysia !

Dengan kehadiran DSAI di Parlimen nanti, maka diharapkan tahap perbahasan akan meningkat dan pembangkang BN akan berupaya menjadi check and ballance yang berkesan. Jikapun ada desas desus mengenai acara ’lompat’ pada 16 September nanti, biarlah ianya juga berlangsung dalam tertib dan aman. Namun, sebagai orang BN, saya harap ianya tidak akan berlaku sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Biarlah PRU13 menentukan arah tuju parti-parti yang telibat. Jika berlaku lompat melompat, Kerajaan yang dibentuk nanti akan menjadi seperti nasib di Pakistan. Fikirkanlah !

Hari ini saya akan menemui Encik Adnan di MASSCOM UiTM. Ada sedikit perbincangan mengenai kemasukan saya (kalau jadi) di UiTM semula. Saya harap tidak ada apa-apa halangan, kerana nawaitu saya hanya untuk menambah nilai diri yang kerdil ini.

Kepada anak-anak kembar saya, selamat menghadapi peperiksaan UPSR yang akan berlangsung sedikit hari lagi. Pesan saya, fokus dan sentiasa berhati-hati tatkala menjawab soalan. Jangan lupa solat. Abah doakan agar anak-anak abah berjaya mendapat result yang baik dan cemerlang nanti. Mila, harap-harap lepas naik kelas ni akan terus mengikuti jejak jaya kakak-kakak Mila tu, yang juga sentiasa mahukan adik tunggal mereka ini berjaya macam mereka.

Kabarnya hari ini di KKLW ada tayangan gambar ’Hati Malaya’ sempena program Kemerdekaan Negara Ke-51. Best jugak tu. Sahabat saya Roslan Tembichik (Lan TC) pergi dengan kengkawan Minda yang lain. Saya tak pergi. Apapun, saya bersyukur kerana pembabitan saya dalam Fiesta Usahawan Luar Bandar tempohari telah melunaskan niat saya untuk bersama terlibat dalam setiap sambutan kemerdekaan secara berterusan tanpa henti sejak 29 tahun lalu. Terima kasih KEMAS !

Sebut pasal program kemerdekaan ni, Mimi (anak saudara saya) akan membuat persembahan pakaian beragam di sekolahnya malam nanti. Nyahlah yang paling sibuk buat itu ini. Pakaian Mimi dijahit oleh kawan Nyah. Saya sekadar membelikan topi merdeka dan sedikit bendera. Dan, ianya telahpun saya serahkan kepada Nuri petang semalam di Asia Jaya. Semoga Mimi berjaya. ”Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke-51 kepada semua rakyat Malaysia !!!". Bye...

Tuesday, August 26, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH DUA

Terlalu banyak perkara yang menarik untuk diperkatakan di sepanjang seminggu dua ini. Pertamanya, pertaruhan DSAI dalam pilihanraya Permatang Pauh menentang YB Datuk Ariff Shah (BN) dan Hanafi Mamat (AKIM). Hari ini, seramai 57,969 layak untuk mengundi dengan 490 pengundi telahpun menunaikan tugas mereka pada Sabtu lalu melalui undi pos. Keputusan malam ini akan menentukan arahtuju parti PKR, yang sekiranya tewas akan menyebabkan DSAI terkubur secara tragis ’di kandang sendiri’ ! Jika menang, YB Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sudah bersedia untuk bertanya soalan berkaitan liwat di Parlimen. Itu menurut kenyataan Menteri yang menjaga Parlimen seminggu dua yang lalu. ”Mari kita tengok siapa yang kena !”, kata arwah Pak Berahim Pendek dalam filem yang popular dengan ayat : Ngiyat nginseng mata kaaaji sembarang nginsong ! Harap-harap biarlah semuanya berlangsung dalam suasana yang ’terbaik’ dan ’elok-elok’ saja. Budaya luar yang ’ganas’ tidak langsung sesuai di sini. Yang penting, pemenang dihormati, yang tewas di hargai. Itu saja.

Kita tinggalkan isu politik sekejap. Saya nak ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Encik Mu’min Mubarok (37), dari Indonesia yang mendapat markah 91.5 peratus dan Puan Fatimoh Harati (52) yang mendapat 92.83 peratus, dari Thailand yang telah dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Ke-50 yang telah diadakan di Taman Tamaddun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu malam tadi. Peserta kita bagi kategori qariah, Cik Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Radiuzzaman mendapat 91.5 (peratusan markah yang setara dengan johan qari) mendapat tempat kedua. Manakala, qari kita tewas untuk merebut sebarang tempat utama. Tempat kedua bagi kategori qari disandang oleh Encik Abdul Karim Elbaki Allah (Iran) dengan 89.332 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Raza Mohd. Poor (Iran) dengan 88.92 peratus. Sementara itu, tempat ketiga kategori qariah dimenangi oleh Nurfaezah Emran (Brunei Darussalam) dengan mendapat markah sebanyak 87.62 peratus. Mereka menerima hadiah masing-masing daripada Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Hadiah kemenangannya ialah RM28,552 untuk johan, kedua RM10,164 dan ketiga RM6,776.

Pagi ini kecoh si Mangis, lagu saya ’Aku Kedua’ ciptaan Herman Tino berkumandang di Klasik FM. Semua pakat dengar. ”Eh, lainlah”, kata kak Kiah Jantan. Itu suara usia dua puluhan Hajah oooiii ! ’Teruna’ lagi. Lagu tu adalah lagu terakhir yang saya rakamkan untuk album kelima. Sengsara sungguh masa tu dengan penerbit album S. Atan. Dideranya saya cukup-cukup. Garang bukan main ! Lagu tu dahlah dicipta oleh Herman Tino, nak saya nyanyi style dia jugak. Tu la pasal saya tak puas hati tu. Tapi nak buat camna ? Penerbit dah tentukan, belasah jelah. Tapi, peliknya lagu tulah yang menduduki tempat keempat terbaik dalam LPMI Radio Nasional selama beberapa minggu. Terima kasihlah pada DJ-DJ, AK (Anuar Kamaruddin), abang Ainol Jama Zainal, kak Shahizan Jelas, Kak Fauziah Zakaria (kak Posh), abang Chuari Selamat dan kak Noraini Ibnu yang memasangnya secara kerap melalui konti RTM.

Okey, cerita balik pasal Tilawah ni, satu perkara pada saya ada semacam tak kena. Ini soal hadiah. Mengapa tidak dinaikkan nilainya ? ’Koman’ sangat ! Hadiah untuk kumpulan One Nation Emcee - juara Gengstarz, USD100,000. Ditambah lagi hadiah bernilai RM10,000 sebagai kumpulan yang menerima undi paling banyak.

Ini peringkat Antarabangsa bukan calang-calang. Akademi Al-Quran pun hadiah utamanya Kereta Proton dan wang tunai. Itu belum bab Akademi Fantasia dan beberapa program realiti yang lain. Harap-harap perkara ini dipandang serius oleh semua pihak yang berkaitan ! Lihatlah juga pada Lee Chong Wei, dapat pingat perak Olimpik Beijing menerima hadiah dari Kerajaan sebanyak RM300,000 dengan pencen mencecah RM3,000 sebulan. Bukan itu saja, dapat pulak pingat yang membawa gelaran ’Datuk’. Jurulatih beliau juga, Haji Misbun Sidek bakal menerima RM60,000 dan anugerah gelaran ’Datuk’ dari Kerajaan Melaka. Dan, mudahlah nanti bila nak berlatih. Tak kekoklah jurulatihnya. Mungkin macam ini antara dialog diaorang. ”Tok betulkah cara saya main ni ?”, soal Datuk Lee Chong Wei. ”Okeylah tu Tok...”, jawab pula Datuk Misbun Sidek. ”Saya rasa okey Tok-Tok”, sambut pulak Datuk Nazmi Salleh, Presiden BAM.

Jadi kesimpulannya, jika dikira pemenang ’kedua’ peringkat antarabangsa (dunia), tentulah qariah kita akan mendapat jumlah hadiah dan penghargaan yang sama. Harap-harap pertandingan-pertandingan berbentuk agama begini tidak disisihkan oleh pihak Kerajaan dan swasta serta taikun-taikun Melayu seperti pengasas Al-Bukhary dan yang lain-lain. Angkatlah martabatnya agar agama kita terus dihormati oleh penganut-penganut agama yang lain.

Ada dua lagi cerita yang nak saya kongsikan bersama sebenarnya. Kes peruntukan JAIS nak diagihkan sebanyak 30% kepada aktiviti agama lain. Tak sesuai rasanya cadangan ini. Tapi, kalau betul tahniahlah Menteri Besarnya. Bagi semuanyapun tak apa. Nanti kita serah wang zakat fitrah pulak ! Apa ada hal ? Janji DAP gembira !!! Penyokong Pakatan Rakyat akan terus tepuk dan tepuk. Takbirrrr !!!

Satu lagi cerita, rupanya kat Malaysia ni ada 29 buah pusat tahanan seperti penjara, pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan perlindungan dan Sekolah Henry Gurney, di mana ianya mengumpul seramai 37,717 banduan sehingga 4 Ogos lalu, menurut Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Itu tidak termasuk di pusat-pusat akhlak di bawah JKM seperti Pusat Pemulihan Akhlak Sri Putri Batu Gajah, Durian Tunggal, Melaka dan Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi. Boleh wujud satu kawasan Parlimen !

Kalau ikut pecahan mengikut kaum, Melayu seramai 14,057, Cina 3,482, India 3,429 dan kaum-kaum lain 1,742. Warga asing mencakupi seramai 15,007 orang. Situasi ini tentulah menambahpeningkan lagi kepala para pemimpin kita terutama mereka yang menduduki kerusi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan beberapa lagi yang relevan.

Saya mempunyai anak, anda juga pastinya ada. Kita juga memiliki adik beradik dan kaum keluarga yang tinggal di merata ceruk rantau. Tentulah kita amat berasa bimbang dengan situasi ini. Lalu, apakah langkah yang harus kita lakukan untuk membendung gejala ’keluarga banduan’ daripada meresapi family kita ? tanpa prejudis, marilah kita sama-sama mencari kaedah terbaik untuk ’mengurangkan jumlah penjara’ di Malaysia. Yang pasti, jika kita sudah ’termasuk’ dalam kalangan penghuni penjara (terkecuali pegawai dan staf penjara), maka kita akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Berubah jadi baik atau terus jadi jahat ! Yang kedua itu potensinya amat nyata !

Suatu ketika dulu, saya pernah menghalang satu keluarga daripada menghantar anak mereka yang agak nakal ke pusat pemulihan akhlak JKM ketika menjadi Pegawai Khas Menteri berkaitan dulu. Ini kerana, anaknya mungkin sekadar handal melakukan satu kesalahan, tetapi di ’sana’ ianya ’berpeluang’ mencambah ilmunya dengan sepuluh, dua puluh atau ratusan rakan-rakan yang sama waktu dengannya yang memiliki ’kecekapan dan kepandaian’ yang berbeza. Daripada sekadar pandai mencuri, mungkin pula pandai merompak. Dari sekadar pandai mencuri motosikal, mungkin lebih advance lagi sehingga berupaya mencuri kereta polis ! Dari pandai bergaduh, mungkin pandai pula membunuh ! Inilah hakikatnya.

Dalam kebimbangan ini, saya masih tercari-cari jawapannya. Dengan arus kehidupan yang agak kritikal masa kini dan melalui kecanggihan globalisasi, kita tidak mungkin berupaya mengurangkannya. Namun, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita membudayakan kembali amalan ’mengambiltahu’ hal jiran sebelah menyebelah. Bukan unsur yang negatif, tetapi sebaliknya. Jika ada anak jiran kita yang melakukan benda tak senonoh, tegur-tegurlah. Jangan tengok jer. Dan, penjaga mereka jangan pulak melenting tak tentu hal. Tanggungjawab itu kita rangkumkan bersama. Amalkan juga perpaduan, kerana ”PERPADUAN TERAS KEJAYAAN”. Selamat menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke 51 pada 31 Ogos 2008 ini. Jumpa anda nanti...

Monday, August 25, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH SATU

Saya bertemu Mamat Ibrahim (Mamat Kutty) sempena program Fiesta Usahawan Luar Bandar di Kg. Sri Batu, Kuala Lumpur pagi semalam. Sebenarnya saya di sana kerana menjadi pengacara majlis bersama kak Zainun dari KEMAS Wilayah Persekutuan. Tahun lalu, saya juga menjadi pengacara program yang kali pertama diadakan di Dataran Merdeka. Terkejut juga bila disapa Mamat. Rupanya dia membawa peserta pertandingan kompang dari Kalumpang. Mamat beritahu Darus (abang Doi, Dobot, Leha, Hussein dan Under) baru meninggal dunia. Kalau tak silap Mamat juga ada kena mengena dengan keluarga arwah Darus melalui perkahwinan kakaknya dengan Doi. Sebut pasal Hussein family, teringat Mat Copot bekas orang kuat persatuan bolasepak Perak tu.

Saya bila terjumpa orang kampung mesti teruja punya. Sebenarnya saya nak Mamat tunggu sebelum balik semalam, sebab saya nak hadiahkan baju yang saya pakai pada program tu padanya. Takpa lah, lain kali kalau ada rezeki, saya akan hadiahkan baju tu. Lagipun bosnya, YB Datuk Khusairi Termizi (ADUN Slim) call suruh dia cepat balik !

Sebenarnya dah beratus program peringkat Kebangsaan yang saya jadi pengacaranya sejak tahun 1980. Tapi, program ini menjadi satu-satunya yang saya tidak terlibat dalam sesi raptai. Tak silap siapa, silap jangkaan saya jugak. Hari Sabtu mereka ada raptai pada jam 6.00 petang. Saya tiba di lokasi dengan kereta KEMAS (pemandunya sdra. Jamal abang kepada pelakun Nasir Bilal Khan). Dari Bangi saya terperangkap dalam jem yang teruk, kerana ’peminat’ MAHA hari terakhir. Kabarnya 1.3 juta berkunjung MAHA kali ini. Syabas YB Tok Pa. Penghargaan juga perlu dikalungkan kepada mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah mempelopori usaha tersebut.

”Terima kasih saudara Shah, pengacara import - dari mana Shah ?”, mukadimah spontan KSU sewaktu menyampaikan ucapan perasmian penutup. Saya terkedu...kemudian jerit dari bawah, ”Orang Asli !”. Dalam hati saya...sampai bila kat JHEOA entah ? Balik dari program tu saya belikan kerepek ubi untuk Manja. Satu plastik besar ! 10 kali raya belum tentu habis !!! Banyak tuu !!! (Taklah, gurau jer...).

Esok pilihanraya Permatang Pauh. Pilihanraya yang penting bagi DSAI dan Pakatan Rakyat. Ikut ’jeninnya’ lanskap politik Malaysia bakal berubah jika DSAI menang. Saya pula optimis BN mampu menang kali ini. Saya fikir, pemilihan calon amat penting. Sebab tu Tok Uban (Datuk Ariff Shah) dipilih. Saya dengan dia cakap Cina kat TV hari tu. Kalau tak tengok, pasti saya ingat Ah Kow, Ah Lan atau Ah Ah berucap !

Rayuan saya kepada semua pengundi agar keluar mengundi. Gunakan hak anda untuk memilih wakil yang disokong. Jangan memilih berdasarkan emosi. Dan, jangan pula memilih bersandarkan kepada janji manis calon yang belum tentu dapat ditunaikannya. Saya suka membuat ramalan : BN 25,000, PKR 18,000, AKIM 40. Yang lain, undi rosak ! Ada juga kengkawan yang pelawa ke sana (Permatang Pauh). Maaflah, sebab sibuk sangat dengan hal-hal rutin, terpaksa tolak pelawaaan tersebut. Lagipun kengkawan dari UMNO Bahagian Batu tentu dah ramai yang ke sana kot...Semoga BN berjaya !

Ada kawan bawak cerita tentang majlis kahwin anak mantan 'pegawai besar' JHEOA, sabtu lalu. Katanya jemputan 1,000, yang datang tak sampai 100. Betul ke ni ? Macam tak percaya pulak. Bukankah dia ni selalu mendakwa buat majlis yang hebat dan ’perfect’ ? Kalau orang lain buat majlis, selalunya dia akan tegur, komen dan belasah cukup-cukup. Berbulan tak habis cerita tu dari mulutnya ! Majlis dia ni agaknya bertahunlah pulak dia nak lupa kot ? Bye...

Friday, August 22, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH

Sewaktu sibuk membeli ikan di Pasar Seksyen 1, Bangi seminggu sebelum pengumuman pilihanraya Permatang Pauh, tiba-tiba saya terserempak dengan Datuk Haji Kamaruzaman Hj. Mohd. Noor, Setiausaha Pilihanraya (SPR) Malaysia juga sedang melakukan aktiviti yang sama. Tak nampak Datin pun Tok, tapi ’Datin Manja’ berkepit selalu dengan saya. Beliau adalah mantan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). ”Hai Tok seluar katok jer ?”, sapaan spontan saya. Lepas tu, kami borak kejap pasal dulu-dulu sewaktu Datuk Kamaruzaman di JLKN. Sebenarnya saya duduk dalam Jawatankuasa Induk PLKN yang dipengerusikannya (saya mewakili JHEOA). Tugas itu saya buat hingga sekarang. Memang peranan saya agak penting, kerana YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak minta supaya kes-kes PLKN yang membabitkan Orang Asli diberikan perhatian penting.

Saya tergerak menyebut nama Datuk Kamaruzaman ni adalah kerana suasana sekarang. Senang cakap, Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh. Pada saya pegawai-pegawai dan petugas SPR ni cukup profesional, amanah, tekun dan dedikasi. Dulu masa Encik Saleki Ahmad Januri di posisi PRO, saya sering berhubung untuk mendapat info terkini berkaitan SPR dan PRU11. Encik Saleki adalah Ketua Unit saya sewaktu di Pentarama, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia dulu. Kini beliau bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Penerangan Labuan.

Sebelum PRU12 lalu, Pengerusi SPR setengah mati kena ’belasah’. Macam-macam tohmahan yang dilempar. Semuanya kecaman yang bersifat negatif. Namun, itu semua tidakpun melemahkan semangat mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Lepas menang, pembangkang BN (Pakatan Rakyat) tidak pula memberikan kredit kepada Pengerusi dan seluruh isi warga SPR. Kesian mereka. Sepatutnya kita harus punya rasa pertanggungjawaban dan saling memahami tugas dan etika kerja masing-masing. Jangan tuduh sembarangan atau sembrono jer !

Kini PRK Permatang Pauh (pilihanraya pertama sejak PRU12) akan dilangsungkan. Hendaknya, janganlah mana-mana pihak mengeluarkan pandangan-pandangan yang bersifat negatif atau serong kepada SPR. Mereka hanya menjalankan tugas mengikut apa yang telah digariskan. Saya pasti, mereka telah membuat penambahbaikan ekoran kritikan dan pandangan daripada semua pihak yang terbabit.

Saya pun bangga jugak, kerana bos saya Dato' Dr. M. Manogran (mantan Ketua Setiausaha (KSU) KPNPM) turut berada dalam senarai Ahli Lembaga SPR. Seperti yang saya pernah ceritakan, saya menjadi Pegawai Khas beliau yang akhirnya oleh kerana ’sedikit salah faham’ dalam satu forum telah ’menyingkirkan’ saya ke JPN. Seminggu saya di JPN dan kemudian saya menyertai JHEOA sehingga waktu ini. Esok-esok tak tahu lagi...

Saya mengharapkan agar pilihanraya di Permatang Pauh nanti dapat berlangsung dengan aman dan tenteram. Sahabat saya sdra. Daud Kentar dan sdra. Hassan Jauma pemimpin PKR Sentul agaknya akan ke sana juga ya ? Harap-harap anda dapat ’settle’kan apa saja masalah kat sana yang berkaitan parti anda. Jangan pula anda berdua yang ’melatah’. Saya kenal anda berdua sejak kita sama-sama berada di Gerakan 4B Kawasan Batu dulu. Di Cawangan Taman Dato’ Senu saya ’tewaskan’ Hassan Jauma untuk kerusi Ketua. Tetapi Hassan tetap Hassan. Tiada dendam di hati. Malah, beliau turut sedia membantu saya dalam program-program yang diadakan. Salah satunya ialah Kursus Kepimpinan Belia yang mendapat sambutan hangat dari remaja dan belia sekitar Sentul. Daud juga begitu. Apapun, saya masih menaruh harapan agar Daud akan menyertai semula UMNO (beliau adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Dato’ Senu, Sentul). Sebagai orang UMNO dan BN, saya tetap mendoakan agar YB Datuk Ariff Shah yang petah berbahasa Mandarin itu menang sepertimana kemenangannya di peringkat DUN dulu.

Sebelum berakhir cerita kali ini, saya nak ucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada sahabat karib saya sdra. Rasa Selvam dari Seksyen Kewangan JHEOA, yang telah dipilih sebagai antara 30 "Tokoh Nasional" yang diberikan penghormatan istimewa dalam perarakan Hari Kemerdekaan ke 51 di Dataran Merdeka nanti. Anda hebat, biarpun 'mereka-mereka' di sekeliling anda masih bersikap 'membutakan mata' dan 'memekakkan telinga' terhadap anda ! Pada saya, anda adalah ikon belia yang hebat ! Syabas !!! Jumpa lagi...

Wednesday, August 20, 2008

CERITA LAPAN PULUH SEMBILAN

Apa kabar orang Kampung Kuala Slim dan Kampung Jaya ? Saya harap semuanya sihat-sihat belaka. Nyah call pagi ni beritahu adik saya Emi yang duduk di Sibu tu turun KL. Nak cari dodol katanya. Ikut Nyah, dia nak tolong cari kat Kompleks PKNS, Shah Alam petang ni. Saya kata nak beli kat Chow Kit. ”Kat kedai yang ’gigi emas’ tu ker ?”, tanya Nyah. Yalah, kat Chow Kit tu penuh dengan peniaga Indonesia yang bergigi emas. Dah macam Jakarta. Dari 10, satu belum tentu jumpa peniaga Melayu yang asli. Imigresen dan DBKL pleaselah, jangan buat-buat 'buta' !

Pagi ni pertama kali saya minum kat NZ Jalan Ampang. Kedai mamak baru yang serba serbinya nampak canggih ! Dengarnya, kos lebih RM dua juta untuk bina tempat tu. Itupun pasal teman saya si Mangis yang ajak. Biasalah mamak, modal sebesar tu, sekejap jer dia cekup balik ! Syaratnya harga mesti kaw-kaw punya ! Tapi harap kedai jer canggih, servicenya ya rabbi lintang pukang. Tunggu roti telur dekat ’seminggu’ baru sampai. Itupun pasal saya pi sergah tukang masak dari Bombay tu ! Saya harap pihak Imigresen tengok-tengok sikit kat situ, sebab ramai betul pendatang yang bekerja tapi tak reti Bahasa Melayu langsung. Entah-entah baru tiba pagi tadi dengan keretapi barang tak...?

Dah tercerita bab mamak ni, teringat saya kat ’mamak’ yang sorang ni - Tun Dr. Mahathir. Saya baca chedet.com pagi ni menyirap darah satu badan. Bukan sangat pasal saya orang UMNO totok. Kerja Tun ni kalau tak belasah Pak Lah, DSAI. Ini dua orang ni memang seteru dia yang paling besar. Tajuk blog dia terkini 'Rasuah Dalam UMNO'. Amboi sedapnya tajuk. Bebudak hingus bolehlah kelentong. Zaman Tun dulu berapa banyak penyangak yang telah Tun lahirkan ? Berapa bilion duit rakyat yang disonglap ? Istilah kroni yang popular itu wujud zaman siapa ? Baca buku baru ”Membina dan Memusnah Malaysia’ ? Saya tak ingat penulisnya, tetapi ianya adalah hasil tulisan bekas orang kanan Tun Razak dan Tun Mahathir sendiri satu ketika dulu. Semuanya ada dalam buku tu. Janganlah buat-buat lupa Tun. Atau, Tun memang spesis Melayu Yang Mudah Lupa ? Tanya Ezzam, kenapa sehingga kini dia meluat sangat dengan Tun. Tanya juga sebilangan orang PAS dan PKR termasuk Zunar (pelukis kartun) tu pun tak jemu-jemu mengkritik Tun dalam satira politiknya. Pikir-pikir betul jugak komen Nobita dalam blog Tun tu...

Saya pernah merumuskan tentang PRU 12 yang lalu, bahawa antara faktor kekalahan BN dalam PRU 12 adalah oleh tindak tanduk Tun (mantan PM) sendiri. Saya telah catatkannya dalam blog saya ini pada beberapa siri yang lalu. Dan, ianya bukanlah sangat kerana UMNO tak kuat. Tetapi kerana unsur-unsur khianat seperti ini. Sudah-sudahlah tu Tun. Kami tahu Tun bukan orang UMNO lagi. Jadi, Tun boleh belasah macam DSAI belasah UMNO ! Tapi, pikir-pikirlah sikit rakyat macam kami ni. Kasihanilah. Dah tak larat dah nak tengok adegan-adegan drama dalam kancah politik Malaysia ni.

Ketahuilah hakikat bahawa di kalangan anda sendiri ada antaranya yang cukup dikenali di peringkat global, kerana sebab-sebab tertentu. Saya ke Mekah hari tu pun jemaah dari serata dunia Islam yang saya temui asyik sebut nama Tun. Hebat tu ! Jadi, kenapa tidak dibina negara ini dengan kombinasi kerjasama antara anda dan orang-orang yang anda pernah pimpin dulu ? Saya bimbang, jika berterusan kita asyik tuduh menuduh, kata mengata, kutuk mengutuk begini, yang untung nanti ialah musuh-musuh kita di luar sana. Termasuklah musuh-musuh Islam. Tidak hairanlah, jika sudah ranap semuanya, baru pemimpin-pemimpin datang mencari rakyat untuk mendapatkan mandat. Bahawa kita perlu mempertahankan negara ini dari ancaman musuh. Pooodahhh ! Apa punya haprak ! Kesentosaan dan kesejahteraan apakah ini ?

Orang macam Tun boleh pergi mana-mana dalam dunia ni seperti yang Tun suka, sebab Tun ada duit, ada pengaruh. Saya masih ingat komen Tun untuk duduk di luar negara kalau DSAI memerintah. Baguslah ! Tapi, rakyat marhaen macam saya, di bumi inilah tempat tinggal dengan keluarga sehingga kami di penghujung nyawa. Usah kata nak keluar negara, nak balik kampung sesekalipun belum tentu dapat, dek duit yang memanjang saja tak cukup ! Tolonglah sesekali dengar rintihan kami.

Jika Tun teruskan jugak aktiviti tersebut, saya pasti DSAI akan menang mudah di Permatang Pauh. Tapi, perlu diingat bahawa faktor kemenangannya bukan kerana dia 'sangat' kuat, tetapi kerana orang-orang macam Tun ! Sehubungan itu, saya merayu pada Tun supaya membiarkan Pak Lah dan jentera BN menentang DS Anwar Ibrahim (yang nampaknya beriya-iya benar nak ke Putrajaya) dan sekutunya di sana.

Malang sedikit kerana imej mereka agak tercalar hari ini, kerana dua anggota EXCOnya di Perak disiasat oleh BPR atas tuduhan rasuah. Nampaknya akan ada pilihanraya kecil yang baru nanti, jika kes ini ada bukti yang kukuh. Kes di Selangor, mengenai penangkapan anggota Band NRG dan pengunjung kelab malam oleh JAIS pun telah mula menimbulkan bibit-bibit yang kurang enak antara PKR dan PAS. Begitu juga dengan isu kuota 10% bukan Bumiputera UiTM dan sokongan padu DSAI pada Hindraf yang boleh menambahrenggang pakatan yang rapuh itu. Kita tunggu sajalah akhirnya nanti ending sandiwara-sandiwara ini...Wasallam.

Tuesday, August 19, 2008

CERITA LAPAN PULUH LAPAN

Saya mendapat panggilan daripada beberapa kengkawan lama masa kat kampung dulu ekoran cerita semalam. Malek dan abang Dolah Ali juga turut menghantar mesej kat saya, dan tentunya mereka dahpun baca cerita semalam. ’Ada’ hantar mesej kat ruang blog ni kata seronok baca, dan katanya kalau lama lagi borak hari tu tentu lagi banyak isi ceritanya. Memangpun...

Oleh kerana kita semuanya telah terpisah-pisah dek kerana tugasan masing-masing, jadi saya fikir eloklah direncanakan satu hari, ’Aidilfitri’ ini misalnya; untuk kita semua reunion kembali. Harap abang Dolah Ali, Uda Atan, Ateh Wak, Mamat Kutty, Anjang Isa, Mejer Naim (M), Alan Mohammad, Ada, Ajak, Namat, Pi’ee Ripin, Mail Montok atau siapa-siapa lagi kengkawan kita dapat usahakan perkara ni. Saya boleh bantu untuk gunakan blog ini sebagai medium hebahannya. Harap-harap ianya menjadi kenyataan.

Semalam saya terima call dari Encik Adnan UiTM, yang memaklumkan mengenai arahan TNC UiTM untuk menghubungi saya berkaitan satu perkara. Apapun, minggu depan saya akan membuat temujanji dengan pihak mereka. Terima kasih Y. Bhg. Prof. Dato’ Seri Ibrahim bin Abu Shah yang begitu prihatin...

Balik dari kerja semalam, saya telah membuat kerja-kerja ukiran kraf yang telah saya rangka sejak dua minggu lalu. Alhamdulillah, Manja telahpun menggantungkannya di ofisnya sebentar tadi. Cantik katanya. Sebenarnya saya memang suka kerja-kerja seni ni. Tidak hanya menyanyi, malah melukis potrait, kartun dan karikatur juga menjadi hobi yang cukup lama saya praktikkan. Saya pernah melukis kartun untuk Majalah BPR (komik) sekitar tahun 80an, penerbitan TNB, Majalah Muhibah, Akhbar Jiran, JPN, KPNPM, JHEOA dan beberapa lagi.

Juga, saya banyak terlibat dalam aktiviti penulisan genre kreatif di media cetak. Kadang-kadang terdapat juga rencana saya yang terlekat. Pernah juga rencana saya disiarkan dalam majalah MASSA (dah tutup kedai). Yang kerap ialah di ruangan komentar (Surat Pembaca) akhbar Utusan Malaysia. Kadang-kadang saya menggunakan nama Sharudin Abdullah, Hashah, ataupun Shah Bangi saja. Banyak juga isu yang saya timbulkan itu mendapat perhatian oleh pihak-pihak terbabit. Sebagai contoh, isu kasut yang diletakkan berselerak di ruang siar Masjid KLCC. Satu lagi, surat pembaca saya di ’kod’ oleh saudara Hishamuddin Rais, penulis dan aktivis reformasi yang pernah lari ke luar negara akibat tindak tanduknya yang berbaur ’kiri’ dalam buku terbarunya. Saya turut catatkan dalam blog ini terdahulu (harap dapat semak cerita ke berapa ?).

Hari Jumaat lepas, saya bertemu sahabat saya saudara Rahim Subuh yang menawarkan diri untuk menduduki Jawatankuasa UMNO Bahagian Batu, Kuala Lumpur. Sempat juga Rahim hulur Kad Keahlian UMNO saya (No Ahli : 03037922). Ada banyak perkara yang kami bincangkan sewaktu di pejabat beliau (rumah lamanya di Bandar Baru Sentul Fasa III yang diubahsuai menjadi sebuah pejabat).

Terus terang, saya suka berkawan dengan Rahim (Ketua Cawangan UMNO di situ). Sekarang Rahim dah senang, sebab tengok daripada penampilannya bersama ’Mercedes mata belalangnya’ - saya tahu beliau kini sedang meniti hari-hari yang penuh gemerlapan. Pesan saya, kalau memandang bintang di langit, jangan pula lupa rumput di bumi. Kesenangan dan kemewahan itu cuma kosmetik duniawi.

Rahim juga cerita bab dia dibelasah dalam satu blog. Saya kata sabar. Saya tahu, anda boleh bereskan tanpa sengketa. Saya kenal anda ketika kita di GB4B dulu. Masa tu regu kita bertiga (bersama Daud Kentar) kerap membuatkan pemimpin NGO-NGO belia yang lain seakan ’ngeri’ dan kerap menikus jer bila kita mula sahut bersahut berhujah. So, apa bezanya kini ? ’Rahim Subuh’ pada saya adalah satu jenama kukuh dan merupakan pewaris kepimpinan utama UMNO Bahagian Batu pada masa akan datang. ’Selamat maju jaya !’ Wasallam...

Monday, August 18, 2008

CERITA LAPAN PULUH TUJUH

Kalau tanya saya tarikh yang mana dalam hidup saya yang paling saya ingati, saya akan sebut dengan tepat dan pantas iaitu tarikh 17 Ogos 2008 (Ahad). Bertempat di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, saya melalui situasi yang cukup membahagia dan menceriakan. Apa tidaknya, setelah berpuluh tahun berkelana di perantauan, saya ketemu kembali ’orang kampung’ dalam jumlah yang begitu ramai pada satu majlis.

Itu berlaku sempena majlis perkahwinan Abdul Aziz dan Ezza Nadiah anak Uda Atan (Aziz Mastam) dan isterinya cikgu Ezah (guru saya ketika bersekolah dulu). Pagi tu, saya dan Manja terlebih dahulu ke majlis kahwin rumah jiran emak di Sungai Chua, Kajang. Sebaik tiba di BTHO, kami parkir kereta kat selekoh masuk ke situ. Kami agak dah, depan rumah Uda Atan dan rumah Pak Long (sebelah menyebelah) dah tak ada parking. Selepas salam dengan Uda Atan dan cikgu Ezah, saya berpelukan dengan Pak Uteh (towkeh kedai runcit Kuala Slim). Saya pernah bekerja di kedai Pak Uteh (di bahagian getah sekerap). Masih terasa-rasa lagi aroma getah sekerap tu yang menusuk qalbu ! Kha kha kha...

Kemudian salam dengan abang Mi dan Cho (anak-anak Pak Uteh). Ternampak jugak kelibat Mak Uteh (baru), kak Miah dan Tam. Agak sama macam dulu. Tam dulu kecik jer, selalu buat muka kalau kena usik. Sekarang dah ada anak lima kau ! Lepas tu terus ke rumah Pak Long sebab Mak Long nak ikut sama kenduri tu. Kesian Pak Long masih terlantar kat katil. Kak Long Shidah keluar, ada date kot...sedang Ita sibuk masak kueh tiaw. Kalaulah Pak Long ada menantu, kan meriah rumah tu. Adalah ’heronya’ ! Kabarnya, hari ini Haniza (anak angkat Pak Long yang jadi guru di Sabah) akan pulang ke KL. Bagaimana agaknya kes dia dengan suaminya ?

Sebaik tiba kat kemah, saya bertemu dengan Ada (tuan punya IBR Ukur Consultant) dan tanya ayah dia cikgu Sahak kat mana. Minta maaflah cikgu, walaupun tengah makan, saya redah dan cium tangannya. Panik jugak dia. Siapa pulak 'malaon' ni ? Cikgu Sahak masih macam dulu. Masih ingat abang saya Shahrom. Dari situ, saya terpandang abang Zakaria @ Kariya (kawan bapak saya dan Uda Luai masa kat SKC yang sama-sama ber’bos’kan Mat Gajah). Mula-mula diapun tak kenalkan saya. Yalah, muka dah lain. Gemuk ! Dia kata wajah saya tak ada iras ’Pak Dolah’ (bapa saya) langsung ! Kami borak lama jugak. Kemudian muncul Akar dan beberapa lagi.

Nampak saja kelibat Ateh Wak (yang ketika ini bertugas di Pakistan), saya terus sapa dan bersalam. Kami pernah bertemu di Seri Melayu, masa saya jadi Residen Artis kat sana dulu. Lepas tu datang pula Ajak (adik Uda Atan) dan kak Ro (isteri abang Kariya). Melalui kak Ro, saya juga menemui emak Uda Atan, yang duduk berseorangan di sebelah pelamin. Meskipun pendengarannya dah tak berapa baik lagi, tetapi ingatannya tetap ok. Masa kat kampung dulu, saya cukup mesra dengan ibu dan arwah bapa Uda Atan ni. Sebab tu, bila jumpa dia saya rasa macam jumpa emak sendiri pulak ! Walaupun arwah emak ramai yang tak suka, tapi emak Uda Atan okey jer...

Ajak kata kejap lagi Mamat Ibrahim (Mat Kutty), Mail Montok, abang Dolah Ali dan Anjang Isa akan sampai. Saya tak sabar nak tengok wajah mereka. Antara mereka, saya sempat akrab kembali dengan Mail Montok sekitar 1998, masa Commonwealth Games di KL. Masa tu Mail sibuk buat bisnes jual mineral water kat Stadium Bukit Jalil. Dia berurusan dengan saya (masa tu selaku Pegawai Khas Menteri) untuk menguruskan bantuan wheel chair emaknya.

Sebaik jumpa, Ateh Wak tanya Mamat siapa saya. Terkedu jugak dia. Lepas pikir kejap, sepontan dia jawab : ”Kau mesti ucap terima kasih dengan Atan (Uda Atan), sebab dia yang mula-mula suruh aku beli keset kau !”. Kemudian dia kuiz pulak dengan Anjang Isa siapa saya. Bila Anjang Isa pun terkedu, dia siap bagi clue lagi : ”Niiiih !”, sambil Mamat buat aksi pegang microphone. ”Ohhhh....main golf !”. Sebenarnya kami saja yang tahu apa maknanya ’main golf’ tu.

Saya kemudian menemui abang Dolah Ali yang sedang makan. Dia senior Nyah Normah (kakak saya), tetapi adik dia (dah lupa pulak namanya) adalah rakan kelas saya masa sekolah rendah. Lepas tu, ke meja Malek Marhaba dan anak-anaknya. Terkejut giler dia bila saya muncul. Katanya anak diapun pernah cuba masuk AF, tapi sekadar peringkat saringan untuk TV jer. Sayang, saya tidak menemui adiknya Khalid (Holet) yang kabarnya telah membuka syarikat Kawalan Keselamatan di Tanjung Malim.

Kami berborak kat tepi kemah makan yang ’dipengerusikan’ oleh cikgu Sahak. Gelak sakan bila sentuh bab cerita-cerita lama. Ada cerita Kidi, Anep, Bakar (abang Mamat) dan cerita Polis Jamil Kencong. Segala nostalgia tersebut semacam masih subur dalam ingatan kami. Kalau ada Uda Atan lagi gempak. Tentu boleh cerita pasal kes 'toyol' kat padang bola tu. Tapi iyelah, dia kan tuan rumah. Sibuk memanjang layan tetamu. Apapun, kami semua sempat merakamkan kenangan dan bergambar bersama dengan Ketua Kampung, 'Namat' anak arwah Haji Rashid imam tua masjid lama. Harap-harap kengkawan yang mengambil gambar tu dapat hantar (email) pada saya untuk dimuatkan dalam ruangan ini kelak.

Oh ya, saya juga dapat tahu melalui sembang-sembang tu bahawa Pi’ee Ripin (ketua darjah kelas saya dengan Mejer Naim, Alan Mohammad, arwah Suhaily, Ri Luai, Zam Mat Yengki, Rosnah (adik Anjang Isa) dan Maimun Hamid) baru saja ’pasang’ lagi satu. Alhamdulillah. Ada lagi 'dua' kuota tu Pi’ee...

Yang teringin sangat saya nak jumpa ialah cikgu kelas saya masa darjah satu dulu - cikgu Noraini. Alhamdulillah, saya dapat melunaskan hajat saya hari tu. Kebetulan cikgu Ghazali (Dato’) dah nak berjalan balik. Saya tak sedar mereka ada dalam kalangan ramai-ramai tetamu tu. Saya sempat bukak cerita dengan kedua-duanya tentang rahsia saya masa kecik dulu. Sebenarnya, saya ni selalu kena tegur dengan cikgu Noraini pasal tak reti menulis. Dan, sebenarnya jugak, saya bukannya tak pandai menulis, tetapi dek suka sangat dengan aroma tangan cikgu, sampai sanggup buat-buat tak pandai menulis. Apa lagi cikgu pun peganglah tangan saya. Manja betul !

Yang mahalnya, kedua-dua mereka masih ingat lagi kat saya. Kebetulan pulak kami pernah berhubung ketika saya masih menjadi Pegawai Khas kepada Tan Sri Hajah Zaleha Ismail dulu. Kalau ikut protokol, Cikgu Ghazali sekarang bergelar YDH Toh Tan Dewa Sakti Dr. Haji Ghazali bin Abdul Wahab, BHMS., MDHB (New Delhi), AMP, BKT, PJK, JC, PPL., Orang Besar 32, Perak Darul Ridzuan. Beliau masih aktif dalam kegiatan NGO khususnya yang melibatkan OKU peringkat Negeri dan Nasional.

Na (kakak Kuka) yang selalu saya usik masa kecik dulu tu pun, tak kenal kat saya. Itulah, punya bertahunnya tak jumpa mereka. Masa nak balik, saya sapa kak Ramnah (adik Anjang Isa, kakak Rosnah) yang satu kelas dengan Nyah. Terkejut beruk dia tengok saya. Saya kenalkan Manja dan biar dia berborak dengan Nyah di talian. Dah kebetulan lalu kat tempat karaoke tu, apa lagi saya pun belasah satu lagu khas untuk pengantin. Lagu Gambus Jodoh (Ahmad Jais). Lepas salam dengan Uda Atan, abang Mi dan cikgu Sahak, saya dan Manja pun beredar.

Saya juga teringat kawan-kawan saya yang lain iaitu Azeri dan Ayoi. Kat mana mereka sekarang ? Kalau sebut Azeri (Zeri) ’kembar’ Ateh Wak, terbayang masa kami ’tercuri’ ayam Ah Leng (satu-satunya keluarga Cina dalam kampung tu) dulu. Mereka menyewa rumah Pak Cik Baharin (bapa ’Duan’, bomoh ubat gatal Chow Kit). Masa tu Ateh Wak dan Ayoi pun ada sama. Punyalah terer, Masa nak sembelih lagi ngam. Tengok mulut si Zeri kumat kamit. Lepas sembelih, ayam tupun blackout ! Okeylah tu, janji ayam tu dah ’sah’ sembelih. Jahat betul kami masa tu kan ? Jahat ker ? Tak lah, nakal jer kot...Tu belum lagi kes ’belasah’ tembikai, tebu dan kacang tanah Ah Seng ! Yob Ajit (bapa tiri Zeri) pun dah tak kuasa nak tegur...

Yang sedih tu, ada juga kengkawan yang dah 'pergi' terlebih dahulu dari kami. Suhaili misalnya (kawan baik saya), begitu juga abang Ta (’killer’ regu Uda Atan dan Kariya dalam permainan sepaktakraw). Masa tu sebut saja pasukan takraw kampung kami, kecut perut kawasan lain. Bolasepak kuat jugak. Tapi jangan silap sikit, satu lori boleh sampai. ’Maniam’ Lima Blas Estetpun respect !

Antara cerita yang cukup menarik masa sembang-sembang tu ialah :

1. Tentang motor yang melintas kampung kami, mesti kena bagi tumpang. Kalau tak, sampai Slim River atau melintas lagi sekali kat kampung mesti kena henjut.
2. Tentang Kitan yang sesat balik kampung, sebab pokok besar (mercu tanda) dekat rumah Malek dah kena tebang. Sesat sampai simpang nak pergi Estet Nombor Tiga.
3. Tentang cikgu SKKS buat ’beating’ siapa yang dapat suruh Anip (sekelas dengan Ateh Wak) tampil depan kelas. Akhirnya cikgu Hasnah yang berjaya.
4. Tentang Anjang Isa main teka dengan Malek, siapa yang keluar dari kawasan dewan pada satu malam. Tekaannya, ’Bakar’ (abang Mamat). Kuncinya ’lenggang rokok’ dia. Malek respect habis part ni !
5. Tentang Man A’ek (Man Kamis) yang membelasah arwah bapaknya (guru silat kampung).
6. Tentang Anjang Isa yang begitu 'pengingat' mengenai nombor telefon Kampung Kuala Slim yang pertama. Sayapun dah lupa, nantilah tanya kat dia kemudian...

Apapun, semua kenangan itu menjadi memori indah yang tak mungkin dilupakan dan semestinya takkan menjelma lagi. Saya berdoa agar kami dapat bertemu kembali di masa-masa yang akan datang. At last, saya amat berharap agar dapat bertemu kembali dengan mentor pertama saya, Cikgu Abdullah Hassan Ahmad yang mula-mula mengajar kami ’berdemonstrasi’ ketika darjah enam dulu. Kalau ada kengkawan yang tahu, harap dapat maklumkan. Bye...

Thursday, August 14, 2008

CERITA LAPAN PULUH ENAM

Kalau tak ada apa aral, saya akan berubah angin ke tempat baru awal Oktober akan datang. Tempat baru suasananya pun baru. Cara kerja baru. Kengkawan baru. Tapi yang mahal, tugasnya menepati jiwa saya. Khusus. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana rupanya ’masih ada terowong di hadapan’. Manja selalu memberikan semangat kepada saya. Begitu juga bos saya Encik Bakar yang tidak henti-henti memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saya doakan bos agar cepat naik pangkat ! Kalau kebetulan singgah di Seremban nanti, kita pasti berjumpa. Encik Bakar pun sebenarnya akan kembali ke Negeri Sembilan menggantikan Tuan Haji Razak yang akan mengambilalih tempatnya di posisi sekarang.

Mari kita sentuh cerita sukan sekejap. Malam tadi berita kekalahan dua lagi pemain badminton kita di Olimpik Beijing, Wong Mew Choo dan bergu Khoo Kien Kiat dan Tan Boon Leong. Sebelumnya, Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah tunduk bersama ‘sipemusnah’ Wong Choon Han. Kini badminton sekadar diwakili oleh anak didik Misbun Sidek, Lee Chong Wei. Harap-harap beliau tidak mengecewakan seluruh rakyat negara kita. Saya amat yakin dan percaya bahawa beliau akan mampu memecah kebuntuan mencari kilauan pingat emas kali ini. Sama-samalah kita doakan.

Persembahan yo-yo pemain Malaysia amat membingungkan. Wong Choon Han cukup baik persembahannya di Beijing sehingga berjaya menumbangkan bekas pemenang pingat emas yang lalu dari Indonesia, Taufik Hidayat. Namun malang sungguh, beliau kemudiannya terpaksa akur akan kehebatan pemain tidak ternama dari Taiwan. Kesal jugak, sebab bergu Farizuan Tazari dan rakannya tidak terpilih. Budak-budak tu tampak lebih menyakinkan dari bergu Tan Fook dan Wan Wah. Apapun, semuanya telah berlaku.

Dulu, saya paling gemar bersukan. Bolasepak adalah menjadi hobi utama yang paling mendapat tempat di hati saya. Masa jadi emcee anak saudara Cik Zuraidah baru-baru ini, saya berkesempatan naik kereta Yazid (abang tiri Eddy - pengantin). Saya duduk di sebelahnya, dan spontan Yazid bagitahu saya bahawa ’Careca’ (bekas pemain bolasepak kebangsaan Brazil, rakannya) turut duduk di sit tersebut. Yazid adalah bekas penyelaras Kelab Bolasepak Brazil di Malaysia. Kini beliau sedang mengusahakan sebuah akademi bolasepak untuk kanak-kanak peringkat rebung di Kuala Lumpur. Seronok sembang dengan Yazid, banyak informasi tentang bolasepak yang saya dapat.

Saya juga bertanya Yazid tentang komen pengurus Chelsea yang mendakwa padang Stadium Shah Alam teruk. Dia kata memangpun. Di luar negara khususnya di England, padangnya sentiasa dipantau secara berkala dan mendapat penjagaan yang secukupnya. Contoh lain, pada setiap separuh masa pertama, mesti ada petugas yang menyelenggara semula padang dengan menampal kembali rumput yang sudah ’terkeluar’. Rumput mereka juga adalah dari jenis yang paling baik.

Sebut pasal bolasepak ni, saya cukup terkilan dengan pasukan negara kita sekarang. Saya teringat kata-kata dari adik Cik Zuraidah (pengadil berkelayakan) bahawa Mokhtar Dahari pernah memberitahunya : ”Pemain dulu main bola, pemain sekarang bola main dia !”. Begitulah falsafah bolasepak Mokhtar Dahari, pemain paling bernilai di Malaysia.

Saya sendiri masa kat kampung. pernah berpeluang menyaksikan permainan Allahyarham Mokhtar Dahari (Super Mokh). Masa tu pasukan Selangor mengadakan perlawanan persahabatan di tempat kami di Slim River. Dia bukan calang-calang player. Kata adik Cik Zu, pernah seorang pemain pertahanan Korea Selatan memberitahu, ”Pasukan kami boleh menang dengan Malaysia kalau pemain jersey nombor 10 tiada di padang”. Begitulah hebatnya nama Super Mokh ! Kini skuad Kebangsaan kita tah apa-apa ! Asyik layu sebelum berkembang...OK, nanti kita sembang lagi...

Wednesday, August 13, 2008

CERITA LAPAN PULUH LIMA

Seperti saya pernah sentuh, sekitar tahun 90an saya menuntut di UiTM (dulu ITM). Masa tu ambil PJJ kursus DPA dekat Jalan Othman, PJ. Antara pensyarah saya Prof. Tan Sri Syed Aidid, TNC UIA. Seronok dan selesa belajar kerana 100% para pelajarnya dari kalangan bumiputera. Masa tu, Prof. Syed Aidid mengajar subjek Bahasa Inggeris. Sebijik perkataan Bahasa Melayu pun dia tak benarkan diucap waktu dalam kelas. Sebab tu, saya rasa pelajar UiTM adalah antara yang terlaris di pasaran kerja oleh kerana standardnya.

Bila MB Selangor kata UiTM perlu dibuka kepada kaum-kaum lain (10%) bagi menggalakkan persaingan di kalangan pelajar Melayu, saya jadi terkedu. TS Khalid ni cakap pasal kuota kepada kaum lain, macam cuba nak provok bangsa sendiri jer. Pesan saya, usah JUST orang Melayu. Tahu JUST tu apa ? ”Jangan Usik Sarang Tabuan”.

Pimpinlah negeri Selangor tu baik-baik. Had yang lain-lain tu biarkan mereka yang arif serta pakar menjalankannya. Satu ingatan saya, jangan keterlaluan dalam menerima segala bentuk permintaan dari rakan Pakatan Rakyat terutama oleh DAP ! Orang Melayu yang benar-benar Melayu, pasti tidakkan mengkhianati bangsanya !

Sekalung tahniah kepada pelajar-pelajar UiTM yang telah menunjukkan ketegasan dan keberanian anda. Macam ginilah baru dikatakan HERO MELAYU ! Cuma yang agak malang, bilamana perhimpunan membantah program anjuran Bar Council yang baru lalu, semacam hambar ekoran kurangnya sambutan. Apapun, tahniah kepada YB Zulkifli Nordin yang mengepalainya. Inilah baru digelar Melayu Islam yang sejati ! Tak kisahlah YB, biarpun kita berlainan anutan politik, tapi bila timbul bab-bab begini, di mana ’orang lain' mula memperlekeh Islam dan Melayu maka seluruh komuniti Melayu wajar bersatu dan menentangnya habis-habisan !

Saya pasti bilamana DSAI jadi PM nanti (insya-Allah TIDAK !), agaknya apa saja yang jadi hak Melayu dan Islam akan cuba dipertikai dan dimusnahkan. Saya menyeru kepimpinan Melayu dan Islam dari semua peringkat agar dapat duduk semeja dengan penuh rasa pertanggungjawaban demi membincangkan isu ini. Renunglah dengan sedalamnya. Jangan biar kan pepatah ”menang sorak kampung tergadai” menguasai kita. Kalau ini berlaku, maka bersedialah kita untuk menghadapi kehilangan apa yang kita ada selama ini. Jumpa lagi...

Monday, August 11, 2008

CERITA LAPAN PULUH EMPAT

Hari Jumaat lalu (08.08.08) - sama dengan pembukaan Olimpik Beijing, saya telah mengacarakan majlis Glamourous Nurses Nite Kolej MAHSA, Batch 1/06, bertempat di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam. Seperti saya katakan, mantan TKSU KPLB (juga mantan KSU Kementerian Belia dan Sukan), Y. Bhg. Dato’ Mohd. Ariff Abu Bakar adalah individu yang bertanggungjawab membawa saya untuk mengendalikan (sebagai emcee) bagi program tersebut. Terima kasih la Dato’. Terima kasih juga pasal duit tu. Saya ingat lagi email Dato’ kata nak tambah lagi RM200 setelah harga awal saya tetapkan RM500 (harga kengkawan). Eh eh, tak alih-alih ada lagi RM50. Apa ni Tok ? Tak best la macam tu...(Lain kali tambahlah lagi). Tetamu kehormat mereka ialah Puan Zaleha Saad, selaku Pengarah Kejururawatan Kolej MAHSA.

Masa rehearsel saya mendapat kerjasama penuh dari Rodi, Ketua Pengarah Program dan Wan (wakil ketua pelajar). Begitu juga dengan AJK mereka yang lain. Memang glamour sungguh malam tu. Siap ada red carpet lagi. Sempat juga saya pekena lagu Lambaran Terakhir (Ahmad Jais). Kata puan Esah (tenaga pengajar MAHSA) : ”Bebudak ni kalau masa kat class, kekadang tu cuma ikat satu tocang jer. Malam ni, berbeza sungguh. Melaram habis !”.

Saya terpaksa akui kebenaran kata-katanya. Semuanya nampak cantik. Semuanya manis. Semuanya menawan. Semuanya glamour. Teringat jugaklah masa tengah glamour jadi artis dulu, diapit oleh peminat-peminat. Tapi, mereka tu bukan peminat saya. Mereka sahabat-sahabat saya yang sporting. Banyak jugak posing maut yang saya aksikan tatkala bergambar kenangan dengan group-group mereka. Kalau ada Manja ni, jahanam aku !!!

Manja terpaksa duduk rumah Awai dulu kat Shah Alam tu. Sekitar jam 11.30 malam, Awai dan Zarinah (isteri) konvoi Persona Manja untuk ambil saya di Hotel Carlton Holiday. Risau manja agaknya bila tengok ramai awek misi ’daring-daring’ yang masih berlegar kat depan hotel tu. Jangan risau, ”awak” tidak ada duanya !

Esoknya, saya menjadi pengacara untuk majlis perkahwinan Eddy dan Syaz di Dewan Presint 16. Spoil sikit sebab selawat tak ada. Itula pasal kalau selawat pakai CD. Mungkin teknikal problem kot...Tapi, majlis berjalan lancar jugak, pasal ’orang lain’ tak tahu apa pengisiannya. Apapun, itu mungkin iktibar paling berguna kepada yang berkaitan. Memang nampak mudah majlis seperti itu. Emcee macam saya walaupun hanya menyediakan skrip (pantun dan seloka) dan mengacarakan majlis, tetapi saya mengutamakan profesionalisme. Macam hari tu, rostrum emcee pun tak ada pada awalnya. Microphone pun ’sebu’ semacam jer. Tapi, berkat dari pengalaman, semuanya beres. Terima kasih pada Cik Zuraidah Amiruddin (bekas bos saya di KPNPM) kerana saguhati yang agak ’lumayan’ tu.

Memang penat sungguh. Kerana sebelum itu, saya di Kuala Lipis mengacara function PM. Sampai tak boleh nak ikut Manja ke PD sempena majlis birthday Farhana. Tapi sempat juga kami belikan dia t-shirt Chelsea nombor 8 (Frank Lampard). Juga, purse Bonia dan kotak keronsang yang cute. Okey lah tuu...

Oh ya, masa kat Hotel Carlton Holiday tempohari, saya terserempak dengan group Akasia (Gang Starz). Sempat borak sekejap. Masa belum top ni, ala-ala jer lah. Nanti bila dah terkenal dan buat album sendiri tentu glamour dik ! Apapun tahniah kepada mereka yang telah berjaya ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 24 Ogos ini. Akasia terdiri daripada Siti Halijah Dollah, Noorhafizah Sulaiman, Suria Mawarni Ramlan (sedap namanya), Nurul Ramdani Ahmad Khuzairi dan Ezdianie Hayatie Omar. Mereka akan berentap dengan One Nation Emcees, Paragon Child, 3.5 dan D’reborn. Kesian juga kepada kumpulan berbakat D’ Raz yang tewas malam tadi. Berdasarkan prestasi persembahan setiap minggu, saya meramalkan kumpulan dari Filipina, Paragon Child untuk juara musim kedua Gang Starz bagi meraih hadiah 100 ribu USD (RM310 ribu).

Sebenarnya sayapun tak tengok, sebab pergi mengecat bilik ofis baru Manja di Asia Jaya. Habis semua cat lebih-lebih kat rumah dulu saya kerjakan. Tinggal sikit lagi, sebab Manja nak pakai colour baru. Dari 6.45 petang hingga jam 10.45 malam baru selesai. Kerja kuat sungguh ! Itu first time saya masuk ofis Manja. Itupun selepas dia minta izin dari bosnya, Encik Wan.

Sebelum ke lokasi mengecat, singgah rumah Kak Long Shidah menziarah Pak Long. Kata Kak Long, mujur ada Haris (suami Shimah) ambil Pak Long dari hospital ke Cheras hari Jumaat lalu. Kalau tak, terpaksa tunggu Isnin pulak ! Dia dah minta kebenaran untuk ambil saya. Apapun, nampaknya Pak Long makin sihat. Cuma salam jer tak boleh, sebab tangannya masih sakit. Okeylah, kita jumpa lagi...

Thursday, August 7, 2008

CERITA LAPAN PULUH TIGA

Hari tu lepas buat pembetulan skrip emcee kat pejabat RISDA Lipis dengan Puan Zaniah Ahmad, saya dibawa oleh pemandu jip RISDA ke rumah Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin. Itu sekitar jam 8.30 malam. Kalau tak silap nama tamannya Taman Lipis Baru. Kagum habis saya. Terus call Manja. Punyalah banyak kereta, macam-macam jenis. Menurut rakan supir kita tu, kalau nak tahu Dato’ Siti Nurhaliza dan suami balik Lipis, kena tengok lampu tingkat atas tu menyala terang benderang. Oooo...ada yang skodeng yek ?

Saya kagum dengan lay-outnya, lanskapnya, dekorasinya, dan colournya (kat luar jer). Wuih..nampak grand sungguh ! Saya fikir tentu nilainya jutaan ringgit jugak. Dan, saya percaya...Siti sebagai anak seni yang berjaya, kalaupun bukan berkahwin dengan Datuk K yang kaya raya tu, pasti hidupnya senang lenang jugak ! Sejuk perut ibu yang mengandung. Cuma sekarang agak cool sikit...

Saya diberitahu juga, bahawa rumah pertama yang dibeli kat situ hanya jadi tempat bela kucing. Eh, ye ke abang driver ni ? Apapun, saya cukup teruja dengan apa yang telah saya lihat. Tentulah setiap warga taman tu serta Lipis khususnya, berasa bangga dengan pencapaian anak tempatan mereka. Sebut bab Dato’ Siti ni, tertanya-tanya jugak, bilalah Kerajaan nak bagi anugerah Dato’ pada Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, penyanyi rakyat dari Temerloh yang juga penyanyi nombor satu Asia satu ketika dulu ? Kalau Tan Sri P. Ramlee dapat masa dah tiada, tak mustahil Sudir juga layak, kerana dia adalah ikon seni kebanggaan rakyat semua kaum (selain penyanyi, beliau juga memiliki Ijazah dalam bidang Undang-undang UM).

Semasa hayatnya, saya kerap juga bersama beliau di majlis-majlis rasmi PAPITA atau SENIMAN. Pernah sekali di Stadium Merdeka, ketika beliau rancak berborak dengan Mama (Allahyarhamah Puan Sri Saloma) sempat bagi signal ’bagus’ apabila saya tunjukkan spek jenama Sudir yang saya pakai. Masa tu top spek gulung Sudir tu.

Saya juga akrab dengan abang Dhalan Zainuddin. Kalau bab main bola, memang saya suka ikut group dia. Abang Dhalan ni adalah merupakan pemain bolasepak Malaysia B, yang pernah bermain di luar negara seperti di kejohanan Piala Kemerdekaan Vietnam, Piala Raja Thai dan Laos. Zaman saya, yang top main bola untuk artis (PAPITA) selain abang Dhalan selaku kapten ialah Raffi Hussein, Ben Nathan, Razis Ismail, Dharma Harun Al-Rashid, ND Lala, Hanafiah Yunus, A.R. Badul dan beberapa lagi. Saya main sebagai simpanan saja. Sesekali bila ada yang pancit, dapatlah tunjuk skil. Itu pun ada jugak pasukan dari luar negara yang nak beli. Tahu negara mana ? Entahlah, saya pun dah tak ingat...(Kelentonglah tu...).

Encik Rashmiz tanya kenapa pagi-pagi pergi Lipis ? Ooo...sebab hari tu kami kena rehearsel jam 9.00 pagi kalau tak silap. Itula pasal subuh sa’i dah pergi. Almaklum, tiga empat jam jugak nak tiba sana. Mujur brother supir kita (saya panggil ’orang muda’) cekap bawak bas tu. Memang orang kat KKLW semuanya komited dalam tugas. Oh ya, semalam lupa nak beritahu yang dalam bas tu ada juga Cik Ruby, PRO KKLW dan PRO INFRA. Mereka duduk depan saya.

Semalam juga Manja balik dari Alor Setar. Risau saya. Iyalah, siapa tak sayang isteri beb ! Dia turun kat stesen bas Jalan Duta. Lepas Manja solat jamak dan pekena nasi lemak Chow Kit dua bungkus yang saya beli, baru balik. Kereta park kat tempat kerja Manja di Asia Jaya.

Oh ya, kelmarin Nyah hantar mesej kata anak Kak La (bekas warganegara 28H) nak kawin pada 9 Ogos ni. Alamak, saya tak dapat pergi sebab dah komit dengan Cik Zuraidah untuk jadi emcee kahwin anak saudara dia (Eddy dan pasangannya Syaz) kat Komples Kejiranan Precint 16, Putrajaya. Sorilah Kak La. Nyah pun kata dia tak dapat pergi sebab ada hal lain. Apapun, didoakan agar majlis yang berlangsung akan berjaya sepertimana yang dirancangkan. Insya-Allah.

Sentuh sikit bab DSAI. Hari ini beliau didakwa di Mahkamah. Kini badan kehakiman yang bakal menentukan nasibnya. Saya simpati jugak kat Saiful tu, kerana dia jugak berhak untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya. Jika PKR mengagung-agungkan keadilan rakyat, inilah masanya harus ditunjukkan kerelevanan slogan keramat parti tu. Biar Mahkamah memutuskan. Sembilan orang lawyer rasanya berbaloi. Allah maha tahu dan maha bijaksana. Kebenaran akan berpihak kepada yang hak ! Sebagai rakyat, kita harus terus berdoa agar apa yang berlaku ini tidak akan menjadikan negara kita terus terjerumus dalam kancah seperti masa lalu. Bye...

Wednesday, August 6, 2008

CERITA LAPAN PULUH DUA

Rasa bangga juga bilamana mendapat peluang menjadi pengacara majlis sempena perasmian Agropolitan Gahai, Kuala Lipis, Pahang semalam. Terima kasih kepada Datuk KSU, Dato’ TKSU (S) dan Puan Zaniah Ahmad, SUB (BWK) yang mencadangkan nama saya. Saya harap sahabat saya sdra. Mat Rahman dari FELCRA tidak berasa apa-apa walaupun sekadar menjadi standbye emcee. Yang penting, kita telah melakukan yang terbaik. Selebihnya, kita serahkan saja pada yang layak untuk mengadilinya.

Majlis yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri (yang turut disertai oleh Datin Sri Jeanne Abdullah), adalah merupakan majlis PM yang pertama bagi saya pada tahun ini sebagai emcee. Turut hadir dan memberikan ucapan dalam program live telecast itu ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan YAB Dato’ Seri Haji Adnan Yaacob, Menteri Besar Negeri Pahang yang diiringi oleh isterinya Datin Sri Hajah Junaini Kassim. Turut sama Tan Sri Mohd. Sidek Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara.

Pertama kali dapat naik bas KKLW. Semua ’orang BWK’ (Bahagian Wilayah dan Kawasan). Pagi ke Putrajaya saya naik kereta pakwe Cik Shahira Nur Zolkepli yang selepas itu akan ke Johor. Jenuh jugak dia nak cari rumah saya subuh-subuh buta tu (4.40 pagi). Kami bertolak ke Kuala Lipis lewat sikit sekitar jam 6.30 pagi. Cari jugak KPSU mereka Cik Roslinda Ulang yang cantik tu. Rupanya, sibuk dengan buku programnya.

Puan Zaniah Ahmad memang bos yang baik. Saya rajin jugak gurau dengannya. Berbeza dengan ’budak-budaknya’. Garang ke bos tu ? Takdelah...Saya tinggal sebilik (Hotel Lipis) dengan Encik Lokman Affandy Yahya. Bagus pegawai tu. Komited ! Saya juga suka dengan pegawai-pegawai mereka yang lain, Encik Nurul Azuan Abdullah, Puan Norli Karim, Encik Zamri dan lain-lain. Lela pun baik jugakkkk...tapi nakal macam biasa !

Kat sana jumpa KP saya Tuan Haji Mohd. Sani Mistam dan Encik Abdul Wahid Akmal Omar, Pengarah JHEOA Negeri Pahang. Apapun, yang paling best hari tu, dapat ’offer’ dari seorang Ketua Pengarah yang cukup saya hormati...Siapa ? Tungguuuuu !!!! Jumpa lagi...