Tuesday, April 22, 2008

CERITA LIMA PULUH SATU

Emi dan keluarganya balik Sarawak pagi ini dengan Air Asia. Semoga selamat dalam perjalanan. InsyaAllah. Ya lah, bab-bab benda terbang ni kalau boleh saya sendiripun tak mahu naik. Kalau ada bas pergi ke Malaysia Timur (Sabah/Sarawak/WP Labuan) tu rasanya saya lebih rela naik biarpun terpaksa menempuhi jarak waktu berhari. Dulu kita ada feri ’cruise muhibbah’ ke sana, tapi la ni dah tak ada. Bila ada kapalterbang yang terbabas dan melanggar mati 21 orang di sebuah negara Afrika baru-baru ni, saya jadi kecut perut. Siapa tak takut mati bro !

Saya pernah menaiki pesawat tentera antaranya Charlie, Caribou dan Nuri. Fokker MAS pun saya pernah naik sewaktu di Sabah. Dan, pengalaman sulung naik kapalterbang/pesawat ni adalah di sekitar tahun 1970 di kampung saya di Kuala Slim, Slim River, Perak. Sebelah kampung saya ada padang kapalterbang estet kelapa bali (kini menjadi perkampungan warisan). Emak modalkan RM15 masa tu untuk ’merasakan’ kami naik kapalterbang (yang digunakan oleh pihak estet untuk menabur baja kelapa sawit). Saya naik bersama Alom abang saya, Allahyarham Rosli @ Suhaili (satu kelas dengan saya dan Ri sewaktu di sekolah rendah). Suhaili juga adalah anak saudara belah Mak Yong (ibu saudara saya), bapa saudara saya Uda (Luai) dan anaknya Ri (Shariman). Ri punyalah menjerit dan mengamuk bila kat udara tu, Tuhan aje yang tahu. Sampai termuntah-muntah !

Tak tahu pulak kenapa kami berdua beradik (saya dan abang) tak menangis atau berasa takut waktu tu. Mungkin dah ada ’wakil’ yang menjerit kot. Juruterbang pesawat seorang warga British yang kami panggil ’Tuan’ dan berseluar katok di temani oleh seorang India. Seingat saya, kami diberitahu bahawa kami sedang berada di atas bandar Tanjung Malim semasa kapalterbang tu u-turn untuk berpatah balik. Lima belas minit di udara seronok pulak rasanya. Tak pernah termimpi. Kalau nak ikutkan masa tu emak, bapa, Yong dan Nyah sendiripun tak pernah umur naik pesawat lagi. Begitulah pengorbanan emak. Sanggup keluar duit termasuk duit mengayam tikar dan hasil kueh di kedai Pakcik Helaluddin semata-mata mahu membahagiakan anak-anak ! Dah besar panjang ni, saya cuma ada impian untuk bawa Nuri naik kapalterbang pulak ! Dia seorang saja dari kalangan kami adik beradik ’tak merasa’ lagi naik pesawat !

Kalau tak silap ”Nuri” (Mohd. Nuri) mendapat nama sewaktu Allahyarham YAB Datuk Seri Kamarudiin Mat Isa (mantan MB Perak) melawat kampung kami (kampung pemindahan mangsa banjir dari Kuala Slim) yang kemudian dikenali sebagai Kampung Jaya. Jadi, nama Nuri diambil dari pesawat Nuri yang membawa MB, dan kalau tak silap juga masa tu emak sedang dalam proses melahirkan Wi (Nuri).

Yang paling baru saya naik pesawat ialah semasa tugasan sebagai pengacara majlis program Projek Luar Bandar Agropolitan yang dirasmikan oleh PM di Pulau Banggi, Sabah. Sebelum tu sewaktu menunaikan umrah. Dan, esok seperti saya sebutkan, saya akan ke Miri, Sarawak. Kali akhir saya ke Sarawak ialah pada sekitar tahun 1985. Merata tempat di negeri tu saya singgahi atas urusan kerja. Tapi paling best, masa saya berkunjung ke Kampung Budaya ! Saya masih lagi menyimpan passport di dalam kampung tersebut.

Berbalik semula pasal kapalterbang. Benda ni risikonya tinggi. Tragedi di Tanjung Kupang, Johor yang mengorbankan ramai nyawa termasuk seorang Menteri Kabinet Persekutuan dan satu lagi tragedi di Kampung Air, Kota Kinabalu yang membabitkan Allahyarham Tun Fuad Stephen, Yang Dipertua Negeri Sabah di mana agak memberi kesan dalam nubari saya. Ini kerana di kedua-dua tempat tu saya berpeluang pergi ’menjeguk’ ketika sehari dua berlaku kemalangan berkenaan ! Semoga Allah merahmati kita di mana jua kita berada. Kata Manja, nak mati atas katilpun mati ! Saya berserah kepada Allah. Apapun yang nak jadi, hanya Taqdir saja yang maha mengetahuinya ! Selamat berjumpa di lain waktu...

No comments: