Thursday, April 3, 2008

CERITA EMPAT PULUH LIMA

’Belasungkawa’ di atas pemergian ke rahmatullah Allahyarham Kak Yusni Jaafar yang meninggal dunia pada 1 April 2008 lalu. Saya amat sedih kerana saya pernah rapat dengan keluarga kak Yusni satu ketika dulu. Lama sebelum sahabat saya Sheqal kahwin dengan Raja Ema. Allahyarham Jaafar Sidek (Pak Kojong) bapa kak Yusni, bekerja dengan saya di Pentarama sebagai ketua pemuzik bersama anaknya adik lelaki kak Yusni, abang Yusno. Abang Yusno berkahwin dengan kak Latifah dan menetap di Kampung Nakhoda, Batu Cave. Kak Latifah bersepupu dengan Saniah (bekas isteri pertama Salleh Yaakup) dan Mashita atau Opik (ketiga-tiganya senior saya di Pentarama). Mutakhir, saya dengar abang Yusno dah ikut kegiatan tabligh. Alhamdulillah. Oh ya, saya pernah 'berkawan' dengan Opik semasa mula-mula masuk Pentarama dulu.

Tentang Raja Ema, semasa usianya sekitar 14 tahun pernah mengiringi beberapa persembahan saya dengan group penari kak Yusna (adik kak Yusni). Antara persembahan tersebut ialah konsert tour kumpulan Kembara di Kelantan yang turut disertai oleh Mazwin Hamzah, Osman Ghani (pencipta lagu 'Lizawati' - dipopularkan oleh Rahim Maarof), Kumpulan band 'One For All' serta pelawak-pelawak kumpulan Wak Ser dan Osman Kering (masa tu masih 'hijau' lagi dalam dunia seni lawak).

Saya juga pernah membuat persembahan di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah bersama kak Sukarni (seorang lagi adik kak Yusni) bersama rakan lawaknya A.R.Badul. Manakala suku sakat group The Booty Boys, Surya, Kesuma dan Purnama (ibu mereka Allahyarham Kasma Booty adalah anak tiri Pak Kojong) memang rapat dengan saya, sementelah lagi album saya yang diterbitkan oleh S. Atan dirakamkan di Booty Boys Studio (berhampiran Tasik Titiwangsa).

Masa Ema dan Sheqal kahwin, saya juga kerap ’mengekor’ mereka dalam beberapa aktiviti seni selain melihat sendiri kejayaan bisnes saham Sheqal. Keraplah saya menumpang Mercedes baru mereka ketika itu. Wow, hebat betul mereka masa tu !

Dengan Allahyarham kak Yusni, kami pernah menjayakan beberapa persembahan pentas terbitan RTM. Bagi saya, beliau seorang yang komited dalam tugas dan tidak terlalu cerewet. Allahyarham Sudirman Haji Arshad (Sudir) begitu akrab dengannya. Kalau ada show Sudir, kak Yusni mesti ada. Kak Yusni memang baik. Saya dengar kabar, tak lama dulu ada problem antara Allahyarham dengan anak-anaknya sehinggakan pernah Khairil Khamis (abang Azizul dan Nina) mengambl langkah untuk menjaga kak Yusni dalam saat ’terbuang’ begitu. Bila saya baca akhbar semalam, terdapat kenyataan bahawa anak-anaknya turut bersama beliau pada saat-saat akhir Allahyarham. Alhamdulillah, syukur. "Bahawa syurga itu berada di bawah di telapak kaki ibu". Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di zumrahkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin...

Di mana Sheqal sekarang sejak kahwin baru ya ? Dulu pernah bisnes ’alam kubur’ kat Rawang. Saya teringat semasa satu show di Labuan, di mana sewaktu membantu Sheqal ’backup’ lagu nusantaranya, kami diminta untuk membuat gimmick slot Ulik Mayang. Hairan, tak semena-mena ribut taufan melanda pentas persembahan yang terletak kat tepi pantai tu. Dalam segmen tersebut kami (termasuk penyanyi Raza, Rosli Derani - penerbit Klasik FM, Jasmani (kumpualn lawak Pang Yau) dan Ann Ways mengusung Sheqal yang dikafan ke tengah pentas. Manakala Nazri Lempo seorang lagi anggota kumpulan lawak Pang Yau membuat ritual dengan mayang di tangan. Tu lah, tak semena-mena cuaca malam yang elok tetiba menjadi tak keruan. Habis melayang segala backdrop dan juga beberapa peralatan P.A system termasuk alat muzik. Berterabur kami lari ! Penonton apatah lagi. Peliknya, hujan tak turun tapi angin ribut pulak yang ’mengamuk’. Memang, menurut ceritanya ulik mayang merupakan salah satu daripada acara ritual puja pantai di Terengganu yang membabitkan acara 'semah' dan sebagainya. Tak boleh dibuat main-main kata yang ampunya cerita. Entahlah, saya sukar nak percaya, tapi kekadang nak ’terpercaya’ jugak ! Ketemu lagi...

1 comment:

Anonymous said...

Shah,
Kalau boleh kau citelah tentang kisah hidup kau yang terkini pulak ! Boleh gak jadi panduan pada pelayar macam aku ni...