Thursday, August 14, 2008

CERITA LAPAN PULUH ENAM

Kalau tak ada apa aral, saya akan berubah angin ke tempat baru awal Oktober akan datang. Tempat baru suasananya pun baru. Cara kerja baru. Kengkawan baru. Tapi yang mahal, tugasnya menepati jiwa saya. Khusus. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana rupanya ’masih ada terowong di hadapan’. Manja selalu memberikan semangat kepada saya. Begitu juga bos saya Encik Bakar yang tidak henti-henti memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saya doakan bos agar cepat naik pangkat ! Kalau kebetulan singgah di Seremban nanti, kita pasti berjumpa. Encik Bakar pun sebenarnya akan kembali ke Negeri Sembilan menggantikan Tuan Haji Razak yang akan mengambilalih tempatnya di posisi sekarang.

Mari kita sentuh cerita sukan sekejap. Malam tadi berita kekalahan dua lagi pemain badminton kita di Olimpik Beijing, Wong Mew Choo dan bergu Khoo Kien Kiat dan Tan Boon Leong. Sebelumnya, Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah tunduk bersama ‘sipemusnah’ Wong Choon Han. Kini badminton sekadar diwakili oleh anak didik Misbun Sidek, Lee Chong Wei. Harap-harap beliau tidak mengecewakan seluruh rakyat negara kita. Saya amat yakin dan percaya bahawa beliau akan mampu memecah kebuntuan mencari kilauan pingat emas kali ini. Sama-samalah kita doakan.

Persembahan yo-yo pemain Malaysia amat membingungkan. Wong Choon Han cukup baik persembahannya di Beijing sehingga berjaya menumbangkan bekas pemenang pingat emas yang lalu dari Indonesia, Taufik Hidayat. Namun malang sungguh, beliau kemudiannya terpaksa akur akan kehebatan pemain tidak ternama dari Taiwan. Kesal jugak, sebab bergu Farizuan Tazari dan rakannya tidak terpilih. Budak-budak tu tampak lebih menyakinkan dari bergu Tan Fook dan Wan Wah. Apapun, semuanya telah berlaku.

Dulu, saya paling gemar bersukan. Bolasepak adalah menjadi hobi utama yang paling mendapat tempat di hati saya. Masa jadi emcee anak saudara Cik Zuraidah baru-baru ini, saya berkesempatan naik kereta Yazid (abang tiri Eddy - pengantin). Saya duduk di sebelahnya, dan spontan Yazid bagitahu saya bahawa ’Careca’ (bekas pemain bolasepak kebangsaan Brazil, rakannya) turut duduk di sit tersebut. Yazid adalah bekas penyelaras Kelab Bolasepak Brazil di Malaysia. Kini beliau sedang mengusahakan sebuah akademi bolasepak untuk kanak-kanak peringkat rebung di Kuala Lumpur. Seronok sembang dengan Yazid, banyak informasi tentang bolasepak yang saya dapat.

Saya juga bertanya Yazid tentang komen pengurus Chelsea yang mendakwa padang Stadium Shah Alam teruk. Dia kata memangpun. Di luar negara khususnya di England, padangnya sentiasa dipantau secara berkala dan mendapat penjagaan yang secukupnya. Contoh lain, pada setiap separuh masa pertama, mesti ada petugas yang menyelenggara semula padang dengan menampal kembali rumput yang sudah ’terkeluar’. Rumput mereka juga adalah dari jenis yang paling baik.

Sebut pasal bolasepak ni, saya cukup terkilan dengan pasukan negara kita sekarang. Saya teringat kata-kata dari adik Cik Zuraidah (pengadil berkelayakan) bahawa Mokhtar Dahari pernah memberitahunya : ”Pemain dulu main bola, pemain sekarang bola main dia !”. Begitulah falsafah bolasepak Mokhtar Dahari, pemain paling bernilai di Malaysia.

Saya sendiri masa kat kampung. pernah berpeluang menyaksikan permainan Allahyarham Mokhtar Dahari (Super Mokh). Masa tu pasukan Selangor mengadakan perlawanan persahabatan di tempat kami di Slim River. Dia bukan calang-calang player. Kata adik Cik Zu, pernah seorang pemain pertahanan Korea Selatan memberitahu, ”Pasukan kami boleh menang dengan Malaysia kalau pemain jersey nombor 10 tiada di padang”. Begitulah hebatnya nama Super Mokh ! Kini skuad Kebangsaan kita tah apa-apa ! Asyik layu sebelum berkembang...OK, nanti kita sembang lagi...

No comments: