Tuesday, August 26, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH DUA

Terlalu banyak perkara yang menarik untuk diperkatakan di sepanjang seminggu dua ini. Pertamanya, pertaruhan DSAI dalam pilihanraya Permatang Pauh menentang YB Datuk Ariff Shah (BN) dan Hanafi Mamat (AKIM). Hari ini, seramai 57,969 layak untuk mengundi dengan 490 pengundi telahpun menunaikan tugas mereka pada Sabtu lalu melalui undi pos. Keputusan malam ini akan menentukan arahtuju parti PKR, yang sekiranya tewas akan menyebabkan DSAI terkubur secara tragis ’di kandang sendiri’ ! Jika menang, YB Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sudah bersedia untuk bertanya soalan berkaitan liwat di Parlimen. Itu menurut kenyataan Menteri yang menjaga Parlimen seminggu dua yang lalu. ”Mari kita tengok siapa yang kena !”, kata arwah Pak Berahim Pendek dalam filem yang popular dengan ayat : Ngiyat nginseng mata kaaaji sembarang nginsong ! Harap-harap biarlah semuanya berlangsung dalam suasana yang ’terbaik’ dan ’elok-elok’ saja. Budaya luar yang ’ganas’ tidak langsung sesuai di sini. Yang penting, pemenang dihormati, yang tewas di hargai. Itu saja.

Kita tinggalkan isu politik sekejap. Saya nak ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Encik Mu’min Mubarok (37), dari Indonesia yang mendapat markah 91.5 peratus dan Puan Fatimoh Harati (52) yang mendapat 92.83 peratus, dari Thailand yang telah dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Ke-50 yang telah diadakan di Taman Tamaddun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu malam tadi. Peserta kita bagi kategori qariah, Cik Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Radiuzzaman mendapat 91.5 (peratusan markah yang setara dengan johan qari) mendapat tempat kedua. Manakala, qari kita tewas untuk merebut sebarang tempat utama. Tempat kedua bagi kategori qari disandang oleh Encik Abdul Karim Elbaki Allah (Iran) dengan 89.332 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Raza Mohd. Poor (Iran) dengan 88.92 peratus. Sementara itu, tempat ketiga kategori qariah dimenangi oleh Nurfaezah Emran (Brunei Darussalam) dengan mendapat markah sebanyak 87.62 peratus. Mereka menerima hadiah masing-masing daripada Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Hadiah kemenangannya ialah RM28,552 untuk johan, kedua RM10,164 dan ketiga RM6,776.

Pagi ini kecoh si Mangis, lagu saya ’Aku Kedua’ ciptaan Herman Tino berkumandang di Klasik FM. Semua pakat dengar. ”Eh, lainlah”, kata kak Kiah Jantan. Itu suara usia dua puluhan Hajah oooiii ! ’Teruna’ lagi. Lagu tu adalah lagu terakhir yang saya rakamkan untuk album kelima. Sengsara sungguh masa tu dengan penerbit album S. Atan. Dideranya saya cukup-cukup. Garang bukan main ! Lagu tu dahlah dicipta oleh Herman Tino, nak saya nyanyi style dia jugak. Tu la pasal saya tak puas hati tu. Tapi nak buat camna ? Penerbit dah tentukan, belasah jelah. Tapi, peliknya lagu tulah yang menduduki tempat keempat terbaik dalam LPMI Radio Nasional selama beberapa minggu. Terima kasihlah pada DJ-DJ, AK (Anuar Kamaruddin), abang Ainol Jama Zainal, kak Shahizan Jelas, Kak Fauziah Zakaria (kak Posh), abang Chuari Selamat dan kak Noraini Ibnu yang memasangnya secara kerap melalui konti RTM.

Okey, cerita balik pasal Tilawah ni, satu perkara pada saya ada semacam tak kena. Ini soal hadiah. Mengapa tidak dinaikkan nilainya ? ’Koman’ sangat ! Hadiah untuk kumpulan One Nation Emcee - juara Gengstarz, USD100,000. Ditambah lagi hadiah bernilai RM10,000 sebagai kumpulan yang menerima undi paling banyak.

Ini peringkat Antarabangsa bukan calang-calang. Akademi Al-Quran pun hadiah utamanya Kereta Proton dan wang tunai. Itu belum bab Akademi Fantasia dan beberapa program realiti yang lain. Harap-harap perkara ini dipandang serius oleh semua pihak yang berkaitan ! Lihatlah juga pada Lee Chong Wei, dapat pingat perak Olimpik Beijing menerima hadiah dari Kerajaan sebanyak RM300,000 dengan pencen mencecah RM3,000 sebulan. Bukan itu saja, dapat pulak pingat yang membawa gelaran ’Datuk’. Jurulatih beliau juga, Haji Misbun Sidek bakal menerima RM60,000 dan anugerah gelaran ’Datuk’ dari Kerajaan Melaka. Dan, mudahlah nanti bila nak berlatih. Tak kekoklah jurulatihnya. Mungkin macam ini antara dialog diaorang. ”Tok betulkah cara saya main ni ?”, soal Datuk Lee Chong Wei. ”Okeylah tu Tok...”, jawab pula Datuk Misbun Sidek. ”Saya rasa okey Tok-Tok”, sambut pulak Datuk Nazmi Salleh, Presiden BAM.

Jadi kesimpulannya, jika dikira pemenang ’kedua’ peringkat antarabangsa (dunia), tentulah qariah kita akan mendapat jumlah hadiah dan penghargaan yang sama. Harap-harap pertandingan-pertandingan berbentuk agama begini tidak disisihkan oleh pihak Kerajaan dan swasta serta taikun-taikun Melayu seperti pengasas Al-Bukhary dan yang lain-lain. Angkatlah martabatnya agar agama kita terus dihormati oleh penganut-penganut agama yang lain.

Ada dua lagi cerita yang nak saya kongsikan bersama sebenarnya. Kes peruntukan JAIS nak diagihkan sebanyak 30% kepada aktiviti agama lain. Tak sesuai rasanya cadangan ini. Tapi, kalau betul tahniahlah Menteri Besarnya. Bagi semuanyapun tak apa. Nanti kita serah wang zakat fitrah pulak ! Apa ada hal ? Janji DAP gembira !!! Penyokong Pakatan Rakyat akan terus tepuk dan tepuk. Takbirrrr !!!

Satu lagi cerita, rupanya kat Malaysia ni ada 29 buah pusat tahanan seperti penjara, pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan perlindungan dan Sekolah Henry Gurney, di mana ianya mengumpul seramai 37,717 banduan sehingga 4 Ogos lalu, menurut Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Itu tidak termasuk di pusat-pusat akhlak di bawah JKM seperti Pusat Pemulihan Akhlak Sri Putri Batu Gajah, Durian Tunggal, Melaka dan Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi. Boleh wujud satu kawasan Parlimen !

Kalau ikut pecahan mengikut kaum, Melayu seramai 14,057, Cina 3,482, India 3,429 dan kaum-kaum lain 1,742. Warga asing mencakupi seramai 15,007 orang. Situasi ini tentulah menambahpeningkan lagi kepala para pemimpin kita terutama mereka yang menduduki kerusi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan beberapa lagi yang relevan.

Saya mempunyai anak, anda juga pastinya ada. Kita juga memiliki adik beradik dan kaum keluarga yang tinggal di merata ceruk rantau. Tentulah kita amat berasa bimbang dengan situasi ini. Lalu, apakah langkah yang harus kita lakukan untuk membendung gejala ’keluarga banduan’ daripada meresapi family kita ? tanpa prejudis, marilah kita sama-sama mencari kaedah terbaik untuk ’mengurangkan jumlah penjara’ di Malaysia. Yang pasti, jika kita sudah ’termasuk’ dalam kalangan penghuni penjara (terkecuali pegawai dan staf penjara), maka kita akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Berubah jadi baik atau terus jadi jahat ! Yang kedua itu potensinya amat nyata !

Suatu ketika dulu, saya pernah menghalang satu keluarga daripada menghantar anak mereka yang agak nakal ke pusat pemulihan akhlak JKM ketika menjadi Pegawai Khas Menteri berkaitan dulu. Ini kerana, anaknya mungkin sekadar handal melakukan satu kesalahan, tetapi di ’sana’ ianya ’berpeluang’ mencambah ilmunya dengan sepuluh, dua puluh atau ratusan rakan-rakan yang sama waktu dengannya yang memiliki ’kecekapan dan kepandaian’ yang berbeza. Daripada sekadar pandai mencuri, mungkin pula pandai merompak. Dari sekadar pandai mencuri motosikal, mungkin lebih advance lagi sehingga berupaya mencuri kereta polis ! Dari pandai bergaduh, mungkin pandai pula membunuh ! Inilah hakikatnya.

Dalam kebimbangan ini, saya masih tercari-cari jawapannya. Dengan arus kehidupan yang agak kritikal masa kini dan melalui kecanggihan globalisasi, kita tidak mungkin berupaya mengurangkannya. Namun, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita membudayakan kembali amalan ’mengambiltahu’ hal jiran sebelah menyebelah. Bukan unsur yang negatif, tetapi sebaliknya. Jika ada anak jiran kita yang melakukan benda tak senonoh, tegur-tegurlah. Jangan tengok jer. Dan, penjaga mereka jangan pulak melenting tak tentu hal. Tanggungjawab itu kita rangkumkan bersama. Amalkan juga perpaduan, kerana ”PERPADUAN TERAS KEJAYAAN”. Selamat menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke 51 pada 31 Ogos 2008 ini. Jumpa anda nanti...

3 comments:

Anonymous said...

Kemenangan yang sudah diduga...Tahniah YB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim !

Anonymous said...

Harap-harap sahabat-sahabat BN dapat terima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan gentleman. Hidup DSAI ! Hidup PKR ! Hidup Pakatan Rakyat ! Hidup bakal PM Malaysia yang baru !!!

Anonymous said...

heheh bodoh punya peminat DSAI, ko tak tau klu dia memerintah jahanam negara ni.....