Monday, August 18, 2008

CERITA LAPAN PULUH TUJUH

Kalau tanya saya tarikh yang mana dalam hidup saya yang paling saya ingati, saya akan sebut dengan tepat dan pantas iaitu tarikh 17 Ogos 2008 (Ahad). Bertempat di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, saya melalui situasi yang cukup membahagia dan menceriakan. Apa tidaknya, setelah berpuluh tahun berkelana di perantauan, saya ketemu kembali ’orang kampung’ dalam jumlah yang begitu ramai pada satu majlis.

Itu berlaku sempena majlis perkahwinan Abdul Aziz dan Ezza Nadiah anak Uda Atan (Aziz Mastam) dan isterinya cikgu Ezah (guru saya ketika bersekolah dulu). Pagi tu, saya dan Manja terlebih dahulu ke majlis kahwin rumah jiran emak di Sungai Chua, Kajang. Sebaik tiba di BTHO, kami parkir kereta kat selekoh masuk ke situ. Kami agak dah, depan rumah Uda Atan dan rumah Pak Long (sebelah menyebelah) dah tak ada parking. Selepas salam dengan Uda Atan dan cikgu Ezah, saya berpelukan dengan Pak Uteh (towkeh kedai runcit Kuala Slim). Saya pernah bekerja di kedai Pak Uteh (di bahagian getah sekerap). Masih terasa-rasa lagi aroma getah sekerap tu yang menusuk qalbu ! Kha kha kha...

Kemudian salam dengan abang Mi dan Cho (anak-anak Pak Uteh). Ternampak jugak kelibat Mak Uteh (baru), kak Miah dan Tam. Agak sama macam dulu. Tam dulu kecik jer, selalu buat muka kalau kena usik. Sekarang dah ada anak lima kau ! Lepas tu terus ke rumah Pak Long sebab Mak Long nak ikut sama kenduri tu. Kesian Pak Long masih terlantar kat katil. Kak Long Shidah keluar, ada date kot...sedang Ita sibuk masak kueh tiaw. Kalaulah Pak Long ada menantu, kan meriah rumah tu. Adalah ’heronya’ ! Kabarnya, hari ini Haniza (anak angkat Pak Long yang jadi guru di Sabah) akan pulang ke KL. Bagaimana agaknya kes dia dengan suaminya ?

Sebaik tiba kat kemah, saya bertemu dengan Ada (tuan punya IBR Ukur Consultant) dan tanya ayah dia cikgu Sahak kat mana. Minta maaflah cikgu, walaupun tengah makan, saya redah dan cium tangannya. Panik jugak dia. Siapa pulak 'malaon' ni ? Cikgu Sahak masih macam dulu. Masih ingat abang saya Shahrom. Dari situ, saya terpandang abang Zakaria @ Kariya (kawan bapak saya dan Uda Luai masa kat SKC yang sama-sama ber’bos’kan Mat Gajah). Mula-mula diapun tak kenalkan saya. Yalah, muka dah lain. Gemuk ! Dia kata wajah saya tak ada iras ’Pak Dolah’ (bapa saya) langsung ! Kami borak lama jugak. Kemudian muncul Akar dan beberapa lagi.

Nampak saja kelibat Ateh Wak (yang ketika ini bertugas di Pakistan), saya terus sapa dan bersalam. Kami pernah bertemu di Seri Melayu, masa saya jadi Residen Artis kat sana dulu. Lepas tu datang pula Ajak (adik Uda Atan) dan kak Ro (isteri abang Kariya). Melalui kak Ro, saya juga menemui emak Uda Atan, yang duduk berseorangan di sebelah pelamin. Meskipun pendengarannya dah tak berapa baik lagi, tetapi ingatannya tetap ok. Masa kat kampung dulu, saya cukup mesra dengan ibu dan arwah bapa Uda Atan ni. Sebab tu, bila jumpa dia saya rasa macam jumpa emak sendiri pulak ! Walaupun arwah emak ramai yang tak suka, tapi emak Uda Atan okey jer...

Ajak kata kejap lagi Mamat Ibrahim (Mat Kutty), Mail Montok, abang Dolah Ali dan Anjang Isa akan sampai. Saya tak sabar nak tengok wajah mereka. Antara mereka, saya sempat akrab kembali dengan Mail Montok sekitar 1998, masa Commonwealth Games di KL. Masa tu Mail sibuk buat bisnes jual mineral water kat Stadium Bukit Jalil. Dia berurusan dengan saya (masa tu selaku Pegawai Khas Menteri) untuk menguruskan bantuan wheel chair emaknya.

Sebaik jumpa, Ateh Wak tanya Mamat siapa saya. Terkedu jugak dia. Lepas pikir kejap, sepontan dia jawab : ”Kau mesti ucap terima kasih dengan Atan (Uda Atan), sebab dia yang mula-mula suruh aku beli keset kau !”. Kemudian dia kuiz pulak dengan Anjang Isa siapa saya. Bila Anjang Isa pun terkedu, dia siap bagi clue lagi : ”Niiiih !”, sambil Mamat buat aksi pegang microphone. ”Ohhhh....main golf !”. Sebenarnya kami saja yang tahu apa maknanya ’main golf’ tu.

Saya kemudian menemui abang Dolah Ali yang sedang makan. Dia senior Nyah Normah (kakak saya), tetapi adik dia (dah lupa pulak namanya) adalah rakan kelas saya masa sekolah rendah. Lepas tu, ke meja Malek Marhaba dan anak-anaknya. Terkejut giler dia bila saya muncul. Katanya anak diapun pernah cuba masuk AF, tapi sekadar peringkat saringan untuk TV jer. Sayang, saya tidak menemui adiknya Khalid (Holet) yang kabarnya telah membuka syarikat Kawalan Keselamatan di Tanjung Malim.

Kami berborak kat tepi kemah makan yang ’dipengerusikan’ oleh cikgu Sahak. Gelak sakan bila sentuh bab cerita-cerita lama. Ada cerita Kidi, Anep, Bakar (abang Mamat) dan cerita Polis Jamil Kencong. Segala nostalgia tersebut semacam masih subur dalam ingatan kami. Kalau ada Uda Atan lagi gempak. Tentu boleh cerita pasal kes 'toyol' kat padang bola tu. Tapi iyelah, dia kan tuan rumah. Sibuk memanjang layan tetamu. Apapun, kami semua sempat merakamkan kenangan dan bergambar bersama dengan Ketua Kampung, 'Namat' anak arwah Haji Rashid imam tua masjid lama. Harap-harap kengkawan yang mengambil gambar tu dapat hantar (email) pada saya untuk dimuatkan dalam ruangan ini kelak.

Oh ya, saya juga dapat tahu melalui sembang-sembang tu bahawa Pi’ee Ripin (ketua darjah kelas saya dengan Mejer Naim, Alan Mohammad, arwah Suhaily, Ri Luai, Zam Mat Yengki, Rosnah (adik Anjang Isa) dan Maimun Hamid) baru saja ’pasang’ lagi satu. Alhamdulillah. Ada lagi 'dua' kuota tu Pi’ee...

Yang teringin sangat saya nak jumpa ialah cikgu kelas saya masa darjah satu dulu - cikgu Noraini. Alhamdulillah, saya dapat melunaskan hajat saya hari tu. Kebetulan cikgu Ghazali (Dato’) dah nak berjalan balik. Saya tak sedar mereka ada dalam kalangan ramai-ramai tetamu tu. Saya sempat bukak cerita dengan kedua-duanya tentang rahsia saya masa kecik dulu. Sebenarnya, saya ni selalu kena tegur dengan cikgu Noraini pasal tak reti menulis. Dan, sebenarnya jugak, saya bukannya tak pandai menulis, tetapi dek suka sangat dengan aroma tangan cikgu, sampai sanggup buat-buat tak pandai menulis. Apa lagi cikgu pun peganglah tangan saya. Manja betul !

Yang mahalnya, kedua-dua mereka masih ingat lagi kat saya. Kebetulan pulak kami pernah berhubung ketika saya masih menjadi Pegawai Khas kepada Tan Sri Hajah Zaleha Ismail dulu. Kalau ikut protokol, Cikgu Ghazali sekarang bergelar YDH Toh Tan Dewa Sakti Dr. Haji Ghazali bin Abdul Wahab, BHMS., MDHB (New Delhi), AMP, BKT, PJK, JC, PPL., Orang Besar 32, Perak Darul Ridzuan. Beliau masih aktif dalam kegiatan NGO khususnya yang melibatkan OKU peringkat Negeri dan Nasional.

Na (kakak Kuka) yang selalu saya usik masa kecik dulu tu pun, tak kenal kat saya. Itulah, punya bertahunnya tak jumpa mereka. Masa nak balik, saya sapa kak Ramnah (adik Anjang Isa, kakak Rosnah) yang satu kelas dengan Nyah. Terkejut beruk dia tengok saya. Saya kenalkan Manja dan biar dia berborak dengan Nyah di talian. Dah kebetulan lalu kat tempat karaoke tu, apa lagi saya pun belasah satu lagu khas untuk pengantin. Lagu Gambus Jodoh (Ahmad Jais). Lepas salam dengan Uda Atan, abang Mi dan cikgu Sahak, saya dan Manja pun beredar.

Saya juga teringat kawan-kawan saya yang lain iaitu Azeri dan Ayoi. Kat mana mereka sekarang ? Kalau sebut Azeri (Zeri) ’kembar’ Ateh Wak, terbayang masa kami ’tercuri’ ayam Ah Leng (satu-satunya keluarga Cina dalam kampung tu) dulu. Mereka menyewa rumah Pak Cik Baharin (bapa ’Duan’, bomoh ubat gatal Chow Kit). Masa tu Ateh Wak dan Ayoi pun ada sama. Punyalah terer, Masa nak sembelih lagi ngam. Tengok mulut si Zeri kumat kamit. Lepas sembelih, ayam tupun blackout ! Okeylah tu, janji ayam tu dah ’sah’ sembelih. Jahat betul kami masa tu kan ? Jahat ker ? Tak lah, nakal jer kot...Tu belum lagi kes ’belasah’ tembikai, tebu dan kacang tanah Ah Seng ! Yob Ajit (bapa tiri Zeri) pun dah tak kuasa nak tegur...

Yang sedih tu, ada juga kengkawan yang dah 'pergi' terlebih dahulu dari kami. Suhaili misalnya (kawan baik saya), begitu juga abang Ta (’killer’ regu Uda Atan dan Kariya dalam permainan sepaktakraw). Masa tu sebut saja pasukan takraw kampung kami, kecut perut kawasan lain. Bolasepak kuat jugak. Tapi jangan silap sikit, satu lori boleh sampai. ’Maniam’ Lima Blas Estetpun respect !

Antara cerita yang cukup menarik masa sembang-sembang tu ialah :

1. Tentang motor yang melintas kampung kami, mesti kena bagi tumpang. Kalau tak, sampai Slim River atau melintas lagi sekali kat kampung mesti kena henjut.
2. Tentang Kitan yang sesat balik kampung, sebab pokok besar (mercu tanda) dekat rumah Malek dah kena tebang. Sesat sampai simpang nak pergi Estet Nombor Tiga.
3. Tentang cikgu SKKS buat ’beating’ siapa yang dapat suruh Anip (sekelas dengan Ateh Wak) tampil depan kelas. Akhirnya cikgu Hasnah yang berjaya.
4. Tentang Anjang Isa main teka dengan Malek, siapa yang keluar dari kawasan dewan pada satu malam. Tekaannya, ’Bakar’ (abang Mamat). Kuncinya ’lenggang rokok’ dia. Malek respect habis part ni !
5. Tentang Man A’ek (Man Kamis) yang membelasah arwah bapaknya (guru silat kampung).
6. Tentang Anjang Isa yang begitu 'pengingat' mengenai nombor telefon Kampung Kuala Slim yang pertama. Sayapun dah lupa, nantilah tanya kat dia kemudian...

Apapun, semua kenangan itu menjadi memori indah yang tak mungkin dilupakan dan semestinya takkan menjelma lagi. Saya berdoa agar kami dapat bertemu kembali di masa-masa yang akan datang. At last, saya amat berharap agar dapat bertemu kembali dengan mentor pertama saya, Cikgu Abdullah Hassan Ahmad yang mula-mula mengajar kami ’berdemonstrasi’ ketika darjah enam dulu. Kalau ada kengkawan yang tahu, harap dapat maklumkan. Bye...

4 comments:

Anonymous said...

A'kum Udin,

Ini ADA (anak cikgu Sahak). Seronok baca cerita ni. Memang nostalgia terutama dgn nama-nama mereka yang hanya kita je yang tau dan kenal. Agaknya kalau lagi lama bersembang semalam lagi panjang cerita kat blog ni. Anyway, keep up the good work. Salam

Anonymous said...

En Shah,
Seronok baca citer en Shah lama-lama yek ! Tapi jangan lupa, s'rang dah tuaaa....
Adios !

Anonymous said...

UDIN,
Sorry, Shah Efendy hidup lagi engko ? Aku setuju kalau ada kawan-kawan yang nak buat reunion tu. Sokong 100% !!!

Anonymous said...

Horrayyyy !
Reunion anak perantau Kg. Kuala Slim.Tak sabar nak tengok awek-awek lama yang dah tak ada gigi tu...Heh heh...Mamat Kutty hitam lagi ke dier tu ??? Aku tau nombor kau Din. Bila2 nanti aku call. Chow !