Friday, August 22, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH

Sewaktu sibuk membeli ikan di Pasar Seksyen 1, Bangi seminggu sebelum pengumuman pilihanraya Permatang Pauh, tiba-tiba saya terserempak dengan Datuk Haji Kamaruzaman Hj. Mohd. Noor, Setiausaha Pilihanraya (SPR) Malaysia juga sedang melakukan aktiviti yang sama. Tak nampak Datin pun Tok, tapi ’Datin Manja’ berkepit selalu dengan saya. Beliau adalah mantan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). ”Hai Tok seluar katok jer ?”, sapaan spontan saya. Lepas tu, kami borak kejap pasal dulu-dulu sewaktu Datuk Kamaruzaman di JLKN. Sebenarnya saya duduk dalam Jawatankuasa Induk PLKN yang dipengerusikannya (saya mewakili JHEOA). Tugas itu saya buat hingga sekarang. Memang peranan saya agak penting, kerana YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak minta supaya kes-kes PLKN yang membabitkan Orang Asli diberikan perhatian penting.

Saya tergerak menyebut nama Datuk Kamaruzaman ni adalah kerana suasana sekarang. Senang cakap, Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh. Pada saya pegawai-pegawai dan petugas SPR ni cukup profesional, amanah, tekun dan dedikasi. Dulu masa Encik Saleki Ahmad Januri di posisi PRO, saya sering berhubung untuk mendapat info terkini berkaitan SPR dan PRU11. Encik Saleki adalah Ketua Unit saya sewaktu di Pentarama, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia dulu. Kini beliau bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Penerangan Labuan.

Sebelum PRU12 lalu, Pengerusi SPR setengah mati kena ’belasah’. Macam-macam tohmahan yang dilempar. Semuanya kecaman yang bersifat negatif. Namun, itu semua tidakpun melemahkan semangat mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Lepas menang, pembangkang BN (Pakatan Rakyat) tidak pula memberikan kredit kepada Pengerusi dan seluruh isi warga SPR. Kesian mereka. Sepatutnya kita harus punya rasa pertanggungjawaban dan saling memahami tugas dan etika kerja masing-masing. Jangan tuduh sembarangan atau sembrono jer !

Kini PRK Permatang Pauh (pilihanraya pertama sejak PRU12) akan dilangsungkan. Hendaknya, janganlah mana-mana pihak mengeluarkan pandangan-pandangan yang bersifat negatif atau serong kepada SPR. Mereka hanya menjalankan tugas mengikut apa yang telah digariskan. Saya pasti, mereka telah membuat penambahbaikan ekoran kritikan dan pandangan daripada semua pihak yang terbabit.

Saya pun bangga jugak, kerana bos saya Dato' Dr. M. Manogran (mantan Ketua Setiausaha (KSU) KPNPM) turut berada dalam senarai Ahli Lembaga SPR. Seperti yang saya pernah ceritakan, saya menjadi Pegawai Khas beliau yang akhirnya oleh kerana ’sedikit salah faham’ dalam satu forum telah ’menyingkirkan’ saya ke JPN. Seminggu saya di JPN dan kemudian saya menyertai JHEOA sehingga waktu ini. Esok-esok tak tahu lagi...

Saya mengharapkan agar pilihanraya di Permatang Pauh nanti dapat berlangsung dengan aman dan tenteram. Sahabat saya sdra. Daud Kentar dan sdra. Hassan Jauma pemimpin PKR Sentul agaknya akan ke sana juga ya ? Harap-harap anda dapat ’settle’kan apa saja masalah kat sana yang berkaitan parti anda. Jangan pula anda berdua yang ’melatah’. Saya kenal anda berdua sejak kita sama-sama berada di Gerakan 4B Kawasan Batu dulu. Di Cawangan Taman Dato’ Senu saya ’tewaskan’ Hassan Jauma untuk kerusi Ketua. Tetapi Hassan tetap Hassan. Tiada dendam di hati. Malah, beliau turut sedia membantu saya dalam program-program yang diadakan. Salah satunya ialah Kursus Kepimpinan Belia yang mendapat sambutan hangat dari remaja dan belia sekitar Sentul. Daud juga begitu. Apapun, saya masih menaruh harapan agar Daud akan menyertai semula UMNO (beliau adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Dato’ Senu, Sentul). Sebagai orang UMNO dan BN, saya tetap mendoakan agar YB Datuk Ariff Shah yang petah berbahasa Mandarin itu menang sepertimana kemenangannya di peringkat DUN dulu.

Sebelum berakhir cerita kali ini, saya nak ucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada sahabat karib saya sdra. Rasa Selvam dari Seksyen Kewangan JHEOA, yang telah dipilih sebagai antara 30 "Tokoh Nasional" yang diberikan penghormatan istimewa dalam perarakan Hari Kemerdekaan ke 51 di Dataran Merdeka nanti. Anda hebat, biarpun 'mereka-mereka' di sekeliling anda masih bersikap 'membutakan mata' dan 'memekakkan telinga' terhadap anda ! Pada saya, anda adalah ikon belia yang hebat ! Syabas !!! Jumpa lagi...

1 comment:

Anonymous said...

Udin !
Aktif sungguh blog kau ni. Tahniah !