Friday, July 4, 2008

CERITA ENAM PULUH SEMBILAN

Semalam terima call dari Rahim Suboh, Ketua UMNO Cawangan Fasa III, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Rakan karib saya ni juga berkawan baik dengan Y. Bhg. Dato’ Dr. Awang Adik Hussin. Kami sama-sama dalam Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Batu dulu bersama dengan Dato’ Amiruddin (Pengerusi Belia 4B WPKL merangkap Presiden Persatuan Tinju Selangor), juga orang kuat UMNO Gombak waktu itu - sekitar tahun 1998-2001. Sebut UMNO Gombak teringat Azmi kawan lama saya (bekas Pegawai Khas saudara Yuszahari, mantan ADUN Gombak Setia) Masa tu saya sebagai Setiausaha, Dato’ Amir Bendahari dan Rahim sebagai AJK. Seorang lagi yang rapat (istilah yang tepat ’intim’) dengan saya ialah saudara Daud Kentar, orang kuat Parti Keadilan. Dulu Daud adalah orang kuat UMNO Taman Dato’ Senu bersama rakannya Mat Dan. Tetapi kes Anwar Ibrahim telah memesongkan hala tuju perjuangannya. Apapun, saya respect kat dia sebab memegang teguh prinsip perjuangannya sehingga kini !

Masa saya ’diadukan’ dengan Hassan Jauma, kini Ketua Parti Keadilan Taman Dato’ Senu, dalam pertandingan satu lawan satu untuk jawatan Ketua Gerakan Belia 4B Taman Dato’ Senu (sekitar tahun 2000), seluruh komposisi GB4B Kawasan memihak kepada saya. Sayapun pelik, anak Hassan Jauma sendiri menyokong saya ! Saya agak kurang arif tentang sepak terajang politik, tetapi rupanya urusan saya untuk menentang Hassan hanya kerana mahu meminggirkan pengaruh Keadilan dan PAS dalam pergerakan itu di kawasan berkenaan. Haji Jaafar (Ketua GB4B Kawasan Batu) merancang semua ini - itulah kata seorang AJK kepada saya lama selepas peristiwa tersebut berlaku. Tapi, saya tak ambil pusing semua itu. Pada saya hasrat ahli ialah untuk ’bertukar angin’, itu yang sebenar-benarnya.

Apapun, pengaruh saya ketika itu juga agak meluas. Sebab itulah ketika pemilihan AJK yang lain, hanya saya sahaja (selaku Ketua) dari kelompok UMNO ! Majoriti kepimpinan adalah dari Keadilan dan PAS. Agak malang, sebab saya tidak dapat meneruskan agenda mentadbir GB4B Taman Dato’ Senu dengan baik selepas itu, memandangkan saya agak sibuk dengan urusan kerja dan keluarga ketika itu. Lagipun, timbul masalah bilamana arahtuju pertubuhan tersebut telah mula ’dipesongkan’ oleh beberapa orang AJK yang berkepentingan, yang cuba untuk memasukkan unsur-unsur politik di dalamnya. Walaupun saya orang UMNO, tetapi dalam NGO saya berkecuali. Itulah sebabnya yang membolehkan saya dipilih oleh majoriti ahli ! Pesan saya kepada mereka, kalau nak main politik jangan masuk GB4B. Jika tidak, hancur organisasi tu ! Memang betul, sesetengah orang menganggap GB4B itu sendiri berjenama UMNO, tetapi bagi saya pergerakan tersebut adalah berasaskan 'kesukarelaan' semua kelompok masyarakat setempat. Tidak mengira anutan parti. Jika dicampuradukkan, maka bercelarulah ia !

Hari ini Rahim mengajak saya bertemunya selepas solat Jumaat di Bandar Baru Sentul. InsyaAllah, kalau tak ada apa aral, saya akan ke sana. Semoga bertemu kembali...

No comments: