Friday, July 4, 2008

CERITA TUJUH PULUH

Saya tercari-cari apakah bahan lain yang ’lebih penting’ hendak saya tulis pada hari ini ? Rupanya saya masih belum mencatat tentang kejayaan anak-anak saya dalam pelajaran dan ko-kurikulum mereka. Pada 2hb. Julai 2008 lalu, Amalia dapat hadiah pelajar cemerlang untuk dua kategori iaitu anugerah Terbaik Aliran dan Terbaik Bahasa Melayu (Penulisan) di sekolah mereka di Alor Setar. Manakala Mila (adik yang kecil) dapat anugerah minggu depan kerana mendapat nombor tiga dalam kelas. Kakak mereka Lidiya (kembar Amalia) hanya dapat nombor 29 dalam aliran daripada 140 orang murid keseluruhannya. Tapi yang membanggakan, Lidiya juga aktif dalam persatuan dan mempengerusikan Persatuan Bahasa Malaysia di sekolah tersebut. Lidiya juga telah membuat persembahan sempena majlis anugerah itu. Mila sempat beritahu yang dia duduk di kerusi VIP bersama mamanya. Syabas puteri-puteri abah !

Saya kadangkala risau bila Lidiya sering ’tertinggal’ kepada adiknya. Berbanding masa di Tabika dulu, Lidiyalah yang paling menonjol dan sering dapat hadiah. Pernah sekali tu, ketika satu majlis anugerah yang disampaikan oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah, cikgu mereka terpaksa membelikan dua hadiah yang 'sama' kerana si kakak enggan mengambil hadiah kalau adiknya tidak mendapat hadiah yang sama. Tapi sekarang dah jadi terbalik ! Apapun, saya sering berdoa agar anak-anak saya sentiasa maju jaya dalam bidang pelajaran mereka dan menjadi warga yang cemerlang bukan saja untuk diri dan keluarga, malah demi agama, bangsa dan negara tercinta ! Pada Lidiya saya pesan hari tu supaya jangan bersedih dan dia patut berbangga kerana punya adik-adik yang pintar. ”Adik siapa, adik kakak jugak kan ?”, pujuk saya lembut.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa anak-anak saya tinggal di Alor Setar. Mereka tinggal dengan bekas mertua saya di Anak Bukit. Bekas isteri saya telah berkahwin lain dan tinggal menetap di kawasan yang berhampiran dengan anak-anak saya. Setiap bulan saya pasti menghantar wang perbelanjaan untuk mereka sebanyak RM 1,000.00 tanpa mis ! Tanggungjawab tidak pernah saya ketepikan meskipun kini saya telah berkahwin baru.

Saya amat berharap agar anak-anak saya tidak akan melupakan saya, meskipun mereka tidak tinggal sebumbung bersama saya. Namun, saya pastikan bahawa ikatan itu tidak putus kerana setiap mereka saya bekalkan dengan telefon bimbit. Saya juga boleh dikatakan selalu juga melawat mereka di Alor Setar bila ada kesempatan. Cuma problemnya, bila waktu nak berpisah pasti Mila buat perangai ! Biasalah sibongsu...

Sebenarnya mereka cukup baik dan mesra dengan isteri saya yang sekarang. Mereka memanggilnya Umi. Mila kalau tidur mesti berkepit dengan Uminya. Pernah satu hari saya kena ’halau’ dengan dia kerana dia mahu Uminya seorang saja yang membelainya. Kerana terlalu dimanjakan, apa saja yang diingininya selalu dapat. Itulah yang sering ’menjelouskan’ kakak-kakaknya. Nasib badanlah kakak oiii...

Bab telefon ni, ada problem jugak. Kerap sangat habis topup. Mila kata kakak, kalau dalam rumahpun buat call kepada kakaknya. Mampus ! Ini macam, gunung Everestpun boleh runtuh nakkk... ! Tapi, tu lah bebudak kan ? Bukan dia tahu macamana susahnya nak cari duit. Pada mereka, apa saja yang diingini mesti perlu dipenuhi oleh emak bapak. Untungnya bebudak sekarang. Masa saya dulu, pergi sekolah ada duit 20 sen dalam poket tu dah kira kaya sangat. Macam jutawan ! Sekarang bagi duit banyak tu,...nak beli congkil gigipun tak lepas kata mereka ! Tapi memang betul pun.

Bersyukurlah kerana kita dianugerahi dengan negara yang makmur seperti Malaysia ini. Harap-harap kepada yang nak 'berdemonstrasi' pada Ahad ini (kabarnya), fikir-fikirkanlah kembali kesannya. Kasihanilah kami warga yang tak punya kepentingan apa-apa ini ! Saya hormati perjuangan anda, tetapi anda juga harus menghormati warga negara yang lain, yang juga berhak untuk mendapat sedikit kedamaian dalam negara yang sama-sama kita cintai ini. Salam...

1 comment:

Anonymous said...

Hai Pak Tam. dh lama atih x buka blog pak tam. mc dh 2 mggu. pastu msk ofis cbuk plk utk mpkpmoa. atih suka baca cter psl anak-anak pak tam. seronok ek. ayah mana yg x mengharapkan kejayaan dan kebahagiaan anak-anak. Syabas Pak Tam sbb jd ayah yg baik :-)