Thursday, February 14, 2008

CERITA EMPAT

Sah sudah Parlimen Ke 11 dibubar. Tahniah kepada yang bakal jadi calun. Syabas kepada yang bakal menang. Sekalung penghargaan untuk mereka yang tewas, kerana telah menjadi sebahagian daripada penerus proses demokrasi negara. Menang atau kalah, bukan persoalan. Apa yang penting adalah tidak tanduk kita selepas ini. Menang jadi wakil rakyat. Kalah jadi rakyat biasa. Terimalah hakikat !

Banyak memori yang terpahat tatkala mengimbau musim pilihanraya ketika mana saya dan rakan-rakan berkelana dalam Unit Pentarama, menjelajah ke seluruh pelusuk tanahair membawa mesej-mesej rasmi Kerajaan serta menghurai pelbagai isu masyarakat. Sebut saja dalam negara ini dari era YABhg.Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, semua Menteri atau wakil rakyat pernah berucap atau berpidato di pentas Pentarama. Saya teringat zaman Allahyarham Datuk Asri Muda, mantan Presiden PAS, ketika kami mengadakan kempen di Kelantan sekitar tahun 80an. Sedihnya, waktu dinihari kami diarah balik ke Kuala Lumpur atau lebih tepat keluar terus dari negeri Cik Siti Wan Kembang kerana menurut pihak polis pentas kami akan dibakar oleh penyokong fanatik mereka esok malam.

Maka pulanglah kami meskipun baru saja menjejakkan kaki di hotel penginapan. Kekadang susah juga jadi orang gomen ni fikir saya. Macam-macam tafsiran. Meskipun di kalangan kami sendiri tidak tahu parti mana yang dipangkah oleh rakan taulan pada pilihanraya. Yang pasti undi itu rahsia, dan menjadi hak mutlak mereka (individu yang berkelayakan mengundi) untuk menentukan parti atau calun mana pilihan masing-masing ? Jelas sekali, walaupun saya sebagai Ketua Artis dan penyokong kuat UMNO, namun saya tidak pernah menjalankan kempen secara domestik untuk meminta rakan-rakan saya supaya mengundi parti pilihan saya. Ia berlainan apabila saya memakai topi parti ketika menjalankan tugasan parti di kawasan sendiri.

Pilihanraya di Parit Raja, Batu Pahat paling saya ingati. Ketika itu calun Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah bertanding satu lawan satu dengan calun BN. Pada malam tersebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohamad Muhd Taib dan Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhiyuddin Yassin berkongsi pentas Pentarama. Sedang kusyuk mendengar ucapan, tak semena-mena kecoh dengan hingar bunyi deruman puluhan motorsikal berpelekat Semangat 46 mengelilingi pentas. Suasana menjadi hingar bingar, naik bingit telinga dibuatnya ! Mujur dapat dikawal oleh anggota polis yang bertugas. Peristiwa tersebut berlanjutan pula ketika kami di Tanjung Lumpur, Kuantan (tempat kempen berdekatan dengan rumah Allahyarham Mona Fendi). Oleh kerana pentas kami juga begitu hampir dengan pentas Semangat 46, maka tidak hairanlah jangkaan akan berlaku perkara buruk di situ. Saya terpaksa menenangkan keadaan (ketika itu turut bertindak selaku pengacara majlis) apabila batu-batu kecil mula menghujani pentas. Kesian arwah Pak Roman (pemain muzik kami) dan Izni Ghani atau Nani (bekas isteri Jamilul Hayat). Kedua-duannya turut tercedera kecil dek bahana batu sesat ! Ianya berlaku juga di Ampang Jaya dengan calun BN ketika itu YB Datuk Ong Tee Kiat. Kecoh sungguh !

Adalah diharapkan agar piliharaya kali ini tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Usahlah diikutkan perasaan kepartian. Patuhilah setiap prosedur yang ditetapkan. Kasihan anggota polis kita. Negara kita ini kecil. Pusing Perlis, konar ke Kelantan, u-turn dengan ’belon’ ke Sabah atau Sarawak, balik-balik muka orang itu juga yang ditemui. Janganlah membenci sehingga tidak boleh langsung bertegur sapa. Bila majoriti telah bersuara, padukan kembali ukhwah dan silaturrahim demi meneruskan pembangunan negara tercinta ini. Ketemu lagi...

No comments: