Monday, February 18, 2008

CERITA TUJUH

Pagi ini saya membaca di dada akhbar mengenai kepulangan ke rahmatullah Salamah Basiron (65), penulis lirik lagu berhantu ’Oh ! Fatimah’ nyanyian Allahyarham A.Ramlee bersama The Rythmn Boys, di rumahnya di Jurung West, Singapura sekitar jam 3.15 petang semalam. Dengan penuh rasa keinsafan saya merakamkan al-Fatehah, semoga rohnya akan dizumrahkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin. Kepada anak-anaknya Ennie Mulyani Mohd. Yunos (31), Ersin Diana (37) dan Firdaus Ilham (34), tabahlah dengan dugaan Allah ini. Saya pernah melaluinya, saya amat maklum akan situasi yang sedang dialami. Pesan saya, redha’lah dan berdoalah sentiasa untuk kesejahteraan rohnya. Ingatlah, bahawa kitapun akan ke sana jua sudahnya nanti.

Saya mengenali Allahyarham ketika menjadi pengacara persembahan hiburan mingguan di Taman Tasik, Shah Alam sekitar tahun 2004. Waktu itu memang kerap saya diundang untuk mengacarakan acara persembahan pentas di sana. Kepada saya, Allahyarham seorang yang lemah lembut, kaya dengan senyuman dan tidak lokek dengan ilmu. Agak panjang juga sesi temuramah saya dengan Allahyarham di pentas utama yang turut menampilkan penyanyi era 70an, Hail Amir, kumpulan hip-hop Ruffedge dan penyanyi genre dangdut Haiza. Manakala band pengring ialah Kombo MBSA pimpinan mantan penerbit album saya S. Atan (atau lebih mesra saya panggil abang Atan). Dunia seni kehilangan seorang lagi penulis lirik yang prolifik terutama era 60an selepas Allahyarham saudara Rosli Kamis atau Lolok (juga warganegara Singapura) pergi meninggalkan timbunan karya seni (lirik lagu) yang tidak ternilai harganya. Salamah Basiron turut menggunakan nama Hanismasra dan menulis lirik untuk Allahyarham Datin Rafeah Buang, Zam-Zam, S. Anida, A. Karim Jais, Salim I, Jeffreydin dan Ida & The Zarah.

Izinkan saya menyambung kembali cerita pada posting lepas. Namun, saya tak akan bercerita tentang peristiwa hitam di Kampung Medan. Kerana pada saya ianya adalah merupakan satu tragedi yang tidak seharusnya berlaku dalamana kita mengharungi detik gemilang negara. Siapa yang tak kenal Malaysia masa tu. Bushpun kabarnya sampai macam nak kena ambil nombor giliran untuk bercakap dengan mantan Perdana Menteri kita, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M). Tapi agak malang, kini beliau menjadi pengkritik utama kepada kepimpinan bekas timbalannya, Pak Lah. Saya amat berharap agar nasib Tun M tidak akan menjadi sama seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan kita). Di penghujung hayatnya, beliau seakan seperti terpinggir oleh masyarakat terbanyak !. Kerana pada zamannya, Almarhum Tunku juga pernah menjadi pengkritik Tun M terutama melalui kolum sensasinya di New Straits Times (NST) - ”As I See It...” Jika diperhalusi, budaya pemimpin ulung terdahulu mengkiritik pemimpin terkemudian seakan menjadi satu trend di negara ini ! Untuk rekod, Tun M pernah tersingkir dari UMNO buat beberapa tempoh akibat keaktifannya mengkritik kepimpinan Almarhum Tunku. Apakah senario ini juga bakal menjerumuskan Tun M ke dalam situasi yang sama sepertimana yang dilalui oleh Bapa Kemerdekaan kita itu ? Maka di sinilah dituntut, kebijaksanaan dan keprihatinan pihak-pihak yang terlibat yang menjadi kayu ukur dalam kemelut berskala besar seperti ini. Kita tak mahu pemimpin kesayangan bangsa kita berbalah, anasir lain menangguk di air keruh !

Dulu selalu juga saya ke Parlimen untuk bertugas. Saya suka ke sana kerana dapat bertemu dengan para pemimpin dan juga rakan-rakan setugas dari Kementerian, Jabatan dan Agensi lain. Boleh bertukar-tukar maklumat di samping melaksanakan tugas-tugas hakiki yang diarah. Kadangkala terjumpa kaum kerabat atau kenalan yang datang melawat ke Parlimen. Jumpa ’orang kampung’ katakan. Lagi satu sebab, saya gemar membeli cenderamata terutama ’pin tie’ yang terjual di situ serta ’barang-barang yang sesuai dengan kocek’ yang lain. Kantinnyapun bersih serta memiliki pelbagai menu resepi yang sedap-sedap. Tidak terlalu mahal, sebab jika mahal kelak akan bergemalah dewan dengan hujah atau soalan lazer kepada menteri berkaitan samada dari wakil BN atau pembangkang seperti Datuk Muhammad Aziz (Sri Gading) atau Mat Sabu (Kuala Kedah).

Masa itu, musim Backbencer (Kelab Penyokong Kerajaan) ’membelasah’ menteri yang tidak datang untuk menjawab soalan di Parlimen atas pelbagai alasan misteri. Kalau pembangkang memang kerja dia. Ini Beckbencer. Keliru sungguh ! Tapi, iyalah badan yang empunya diri cuma satu, sedang program harian berpuluh satu Malaya ! Jadual tak pernah kosong. Sebab itu ada menteri yang cuma beri masa ’lima minit’ sahaja kepada tetamu (terutama yang tidak penting ?) untuk berurusan. Logiknya, tempoh masa lima minit itu baru nak buka mulut untuk muqadimmah dah habis. Apa raa ! Jumpa lagi...

No comments: