Tuesday, February 19, 2008

CERITA SEMBILAN

Remaja dulu dengan sekarang terlalu jauh bezanya. Sejarak langit dengan bumi. Apa tidaknya, perlakuan-perlakuan negatif atau perangai ’brutal’ yang kurang sesuai dengan budaya dan peradaban kita yang berlaku hari ini, hampir tiada dalam kamus remaja dulu-dulu. Kepatuhan dan penghormatan kita pada orang tua (ibu dan bapa) atau mereka yang lebih tua, kekal terpahat sehingga kini. Dulu-dulu, kalau orang tua kita sedang bersembang, kita tidak boleh join atau menyampuk. Amarah mereka hanya melalui signal mata. Kadangkala mereka hanya jeling, kadangkala bahasa berkias, atau sering juga melalui body language. Faham-faham jelah. Kalau tak gheti-gheti jawabnya siaplah sat nanti ! Dulu punya ’power’ pukulan emak bapak boleh terkesan sampai bertahun-tahun. Berbaloikah kalau kita dok melawan arus ?

Sistem kekeluargaan yang diterap oleh ketua keluarga juga memainkan peranan yang penting. Kalau suam-suam kuku je, maka suam-suam kukulah disiplin mereka di rumah. Saya pernah di ikat ke pokok dengan dilumur kerengga ke badan oleh arwah emak, hanya semata-mata kerana ’terambil’ duit lima puluh sen dari ’dabai’ nya (tempat simpan duit yang berupa talipinggang yang dibuat daripada kain ’beluci’. Sebelum diikat ke pokok tu, kena seround dua rotan dulu. Tulah pasal, nak buat nakal kena campur-congak timbangtara sepuluh sebelas kali lagi.

Sekarang ? Isssh, usah kata takut kena jeling dengan emak bapak, kena tembak dengan peluru berpandupun belum tentu dia lari. Bimbang emak bapak jeling ? Buang karan je, dia nanti jeling kat emak bapak ! Haaa tu dia, ganas tak ganas bebudak zaman siber ! Saya harus akui bahawa waktu saya dulu tak ada benda-benda teknologi ni. Jadi, kuranglah gejala sosial. Lagi satu, sikap para ibu bapa juga menyumbang kepada isu salah laku pelajar dewasa kini. Apa tidaknya, anak dan bapak sama naik. Sama-sama kaki disko. Sama-sama kaki minum. Sama-sama kaki judi. Sama-sama kaki perempuan Sama-sama kaki rempit. Kesian kaki. Meskipun tangan yang buat jahat, dia juga yang kena tempelak. Iyalah, kan kaki yang membawa kita ke lembah atau arah yang tak diingini itu !

Aduhai, kalaulah boleh diputar semula jarum jam kehidupan ini, alangkah baiknya untuk berada semula di alam remaja yang penuh dengan peristiwa manis. Pastilah ketika itu saya tidak akan merungut lagi kerana kemiskinan keluarga. Kasihan bapa (apak) dengan dibantu oleh emak yang bertungkuslumus malam siang mencari sesuap nasi untuk anak-anak, sedang saya sendiri kurang bersyukur. Kerana rupa-rupanya, kemiskinan kita hanya sedikit saja jika dibandingkan dengan mereka yang lebih daif atau dalam bahasa ekonominya miskin tegar. ”Ya. Allah, cucurilah rahmatMu ke atas roh ibu dan bapaku yang telah membesarkan aku sehingga menjadi sebegini. Masukkanlah mereka ke syurgaMu yang paling mulia”. Jauh di sudut hati saya, saya amat menyesali akan segala perbuatan samada sedar atau tidak terhadap kedua mereka. Saya mengakui bahawa saya bukanlah merupakan anak yang terbaik. Tetapi percayalah bahawa, setiap pesanan yang mereka tinggalkan masih segar kukuh di sanubari ini. InsyaAllah, saya ingin terus menjadi anak yang soleh. Mendoakan ibu dan bapa tercinta pada setiap kali doa selepas solat. Manusia itu kelemahannya terlalu banyak. Kerana kita bukan maksum....

Pesan saya kepada anak-anak yang mengikuti blog ini, jangan sesekali abaikan ibu dan bapa kita. Jangan engkari perintah dan larangan mereka. Kelak, seumur hidup menjadi beban yang tak terkandung. ”Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu”. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah. Hindari dari perbuatan yang boleh melukakan hati mereka. Cintailah keluarga kita sepenuhnya, kerana keluargalah pelindung kita sewaktu panas dan hujan, sewaktu basah dan kering, sewaktu tawa dan sedih !

Di hujung cerita kita, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Atih dan Huda kerana komen jujur mereka. Jalinan ukhwah dan silaturrahim juga boleh berlangsung dengan intim andai ada keikhlasan. Semoga RETROSPEKTIF akan terus dikunjungi oleh pelayar-pelayar maya yang lain. Terima kasih, jumpa lagi.

No comments: