Monday, February 11, 2008

CERITA SATU

Kerap berlaku apa yang kita rangka tidak menjadi suatu realiti. Itu maknanya kita adalah makhluk yang serba kekurangan, serba kelemahan. Hari Khamis lalu, mak saudara saya (Wan Nyah) meninggal dunia di Mengelembu, Ipoh. Namun saya bersyukur, kerana dua minggu sebelumnya saya sempat menziarahnya di Hospital Besar Ipoh. Saya teringat bahawa saya belum lagi menulis di ruangan ini seperti yang saya janjikan. Lepas satu, satu halangan. Esoknya Farahana (anak saudara saya di Kampung Chuah, Port Dickson) kena gigit lipan bara. Kesian budak tu. Biru jarinya. Kemudian hadir kenduri cukur jambul cucu Mak Lang. Terus lupa apa nak buat. Maklumlah, blog baru. Lupa semanjang...

Apapun, semua itu ada hikmahnya. Kata Zubir Ali (Kumpulan Harmoni) - ”Penantian Itu Suatu Penyiksaan”. Menulis bukan suatu yang sukar. Yang payah adalah mengintai isinya. Lebih baik bungkam berkaitan seratus hal yang seharusnya diungkapkan, daripada mengungkapkan satu hal yang tidak perlu diungkapkan - Geronimo Cordono.

Lahir dalam keluarga besar yang daif bukanlah pilihan kita. Itu kerja Allah, jangan sesekali dikesali. Bersyukurlah kerana kita dilahirkan ke dunia untuk merasai nikmat alam ciptaan Tuhan ini. Saya anak keempat dari enam beradik. Arwah bapa saya menjadi boroh di sebuah lombong bijih timah. Manakala arwah emak penoreh getah. Kedua mereka tidak pernah bersekolah. Tetapi apa yang paling mahal ialah, soal pelajaran emak sanggup bergolok bergadai demi memastikan anak-anak berjaya. Saya bangga juga, sebab biarpun tak berapa pandai, tapi merasa juga ke peringkat IPT. Saya pernah belajar di Jalan Othman, Petaling Jaya (ambil PJJ Diploma Pentadbiran Awam, ITM). Dek kesibukan mencari duit hingga menjejas fokus, maka satu sem saja dah ’belayar’. Teman-teman saya di Asyik FM, RTM pun kabarnya ’blah’ juga. Hinggalah joint kolej IPRM yang ketika itu diketuai oleh Prof. Datuk Hamdan Adnan, dapatlah segulung diploma. Nanti kita cerita bab belajar kat sana.

Satu perkara yang paling melekat dalam diri kami adik beradik ialah, amanat emak bahawa kalau berambut panjang, bersubang, merokok, minum arak - bukan anak emak ! Masa itu sibuk budak-budak lelaki kampung yang duduk kat KL bila balik memperagakan subang sebelah. Begitu juga gejala hippies merebak dengan meluasnya. Cara orang kampung macam mak saya mungkin betul. Nak tahu, sampai dah besar panjang beginipun masih ingat dan ikut perintah emak. Terngiang-ngiang lagi ungkapan keramat emak yang cukup terkesan itu...

Kalau emak tak mengaku anak, macam si Tengganglah jadinya. Hisshhh, sisih Malaikat 44 ! Peliknya sekarang, anak-anak pulak buat amanat macam tu pada ibu bapa. Kalau tak beri mereka harta, tanah ke, duit ke, emak bapakpun mereka boleh buang. Yang baik sikit, letak kat rumah orang-orang tua. Lepas tu lupa terus (tak percaya tanya kat orang JKM). Kesian, 9 bulan tanggung kat dalam perut, keluar jadi malaun ! Marilah kita sama-sama menginsafinya. Siapalah kita tanpa mereka ?

Sampai besar, seboleh-bolehnya saya tak mahu menyusahkan orang lain. Masa sekolah rendah misalnya, kalau nak pergi sekolah saya akan berbisik dengan emak. Saya takkan tinggikan volume suara. Waktu belajar di peringkat kolej, saya sanggup membaca menggunakan lampu bilik air dengan pintu di buka sedikit, demi untuk tidak mengganggu orang lain. Bagi saya, kalau mereka terganggu dengan perbuatan saya, saya rasa macam bersalah sangat. Kalau boleh biarlah perangai ni kekal begitu. Bila orang terganggu dengan perbuatan kita, maknanya pakej gangguan mencakupi perasaan dalaman dia. Tak baik kan....Oh ya, andai anda terganggu dengan kealpaan saya menulis, maafkan saya. Esok kita jumpa lagi...

No comments: