Wednesday, February 13, 2008

CERITA TIGA

La ni sibuk orang cakap pasal pilihanraya. Rugi rasanya kalau tak ambil pot. Bila sebut pasal pilihanraya ni, teringat saya ketika kecil-kecil dulu. Itu era pemimpin yang tak gila nak berebut jadi calun. Kebanyakannya cikgu-cikgu. Kawasan saya nama wakil rakyatnya Haji RM Idris. Itu tahun-tahun 70an. Seingat saya, wakil rakyat saya ni memang seorang yang dikenali oleh semua orang di kampung. Puncanya, setiap kali ada keramaian dia ada. Sukan di sekolah tak pernah mis. Kalau ada kematian kerap juga dia datang. Lagi satu sebab, dia ada suku sakat kat kampung Kuala Slim, walaupun dia tinggal di Tanjung Malim. Tubuhnya agak besar. Pakai kereta kalau tak silap saya Mercedes Benz lama. Depan ada bendera Negeri Perak.

Arwah Tok Ujang (Ujang bin Talib), Ketua Kampung kami selalu dilihat bersama dengannya. Maklumlah, mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Arwah Tok Ujang putih, wakil rakyat saya tu agak hitam kulitnya. Tetapi, walaupun begitu mereka tidak berkasta-kasta. Masalah kampung selalunya dapat diselesaikan. Kalau diimbas, tak banyak manapun masalah pada waktu itu. Kerajaan Perikatan (lambang Kapal Layar) memang kuat (ketika itu). Yalah, kita masih dalam langkah awal mengisi kemerdekaan. Terlalu muda negara kita masa tu. Nak cerita masalah besarpun, peringkat nasional lagi besar. Rakyatpun tak pandai sangat minta itu ini. Kalau adapun mereka nak dewan, nak tiang gol, atau bantuan-bantuan baja getah.

Dulu-dulu budak sekolah rendah pemikirannya agak dewasa. Tubuhpun besar panjang. Tak macam sekarang. Nak kendong beg sekolahpun tak larat ! Itulah, walaupun saya masih di sekolah rendah waktu itu, tetapi saya dapat ingat dan boleh sedikit-sedikit berfikir bila ada pilihanraya. Saya dapat memahami hasrat Kerajaan (melalui ucapan pemimpin ataupun bakal calun yang bertanding). Yang syoknya, pilihanraya kali itu mereka akan tanam tiang letrik. Pilihanraya akan datang pula pasang wayar. Hinggalah pilihanraya seterusnya sambung letrik. Tunai tetap tunai. Waktu itu, negara kita tak ada sumber sangat. Perbelanjaanpun ikut kemampuan semasa negara. Itu pasallah penggal ketiga kekadang tu baru dapat elektrik ! Senario yang berbeza pada pemerintahan terkini di bawah Barisan Nasional (BN).

Saya cukup teruja kalau ada ceramah kempen pilihanraya. Masa tu riuh rendah suasana kampung. Pentas pidatonya kecil di kawasan padang sekolah. Cukup untuk pemidato saja. Tiangnya ialah dari tong drum minyak disel yang telah kosong. Dilapikkan sekeping playwood. Alat siaraya (speaker) Jabatan Penerangan kadang-kadang bunyi serak-serak payau (dek digunakan secara kerap). Kalau meragam jawabnya hanya heller (corong) yang mampu digunakan. Dalam gitu, letih juga menepuk sana sini. Nyamuk, agas macam-macam ada ! Naik berbintat tubuh. Apa ada hal ? Yang penting ucapan Haji RM Idris harus didengar beb !

Suasana malam ceramah tu bak ’malam raya’. Macam-macam gaya. Kebanyakannya hanya berpelikat dan berkain batik. Yang lelaki songkok tak lekang. Yang perempuan dengan kelompok mereka. Masing-masing penuh minat mendengar isu-isu yang dibangkitkan. Naik kematu tangan dok bertepuk selalu. Yang menjual ais krim, kacang putih, kacang kuda, kuih bom mewah sungguh ! Lepas bersurai macam biasa, padang penuh dengan sampah ! Tinggal gitu je, macam sekarang ! Esok sibuklah tukang kebun sekolah bereskan semuanya. Macam sekarang juga, lain orang buat sampah, lain orang tukang cuci ! Mentaliti 50 tahun agak tak berubah. Apapun, setiap kali pilihanraya, tak pernah pun lihat pembangkang berceramah di kampung saya. Macam kubu Perikatan. Tapi kabarnya sekarang ni dah lain. Menurut sumber, pembangkang (PAS) dah ada cawangan kat sana. Tak apalah, kan negara ini negara demokrasi ! Pilihlah siapa saja yang anda suka, tetapi biarlah memilih dengan ketelusan mata fikir ! Jumpa lagi...

1 comment:

maarofkassim said...

Shah, saya juga blogger. Boleh tak bagi tahu dimana YB Datuk R.M. Idris sekarang? Sila lihat pos saya 'Merdeka'.