Thursday, February 14, 2008

CERITA LIMA

24 Februari tarikh penamaan calun, 8 Mac tarikh pembuangan undi. Itu keputusan SPR. Muktamad ! Jadi, marilah sama-sama kita menjalankan tangungjawab kita, untuk mengundi calun-calun pilihan yang bakal menentukan arahtuju pentadbiran Kerajaan selanjutnya. Bagi saya, saya tetap dengan pilihan yang lalu. BN, dulu, kini dan selamanya ! Saya harap anda menghormati pilihan saya, sepertimana saya menghormati pilihan anda. Biar kita berbeza pandangan asal kiblat kita tetap sama.

Cuma satu harapan saya selaku rakyat marhaen kepada anda wakil rakyat yang bakal dipilih. Jangan sesekali berlagak sombong, angkuh, bangga diri, ego yang tak bertempat atau apa saja yang bernilai negatif selepas mandat rakyat diperolehi. Kerana anda dipilih berdasarkan kebolehan, ketrampilan, komitmen, ikhlas, bersifat kepimpinan, baik di mata umum ataupun kerana parti anda yang sememangnya kukuh. Ingatlah bahawa, tanpa sokongan rakyat tidak mungkin anda berada di persada DUN dan Parlimen.

”Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi-tinggi gunung-ganang”.

- Surah al-Isra’ ayat 37

Sering-seringlah melawat kawasan untuk menjenguk pengundi anda. Dengar-dengarlah keluhan mereka. Jangan hanya tiba pada musim memilih kembali barulah sibuk nak enter frame, mencari semula ketayap lama, buku telefon lama, peta kawasan lama, nota perbincangan lama ataupun sibuk bertanyakan alamat rumah tok ketua yang pernah dua tiga tahun dulu menulis surat minta derma tiga biji kompang (sebagai tambahan) untuk persatuan belia kampung (kasihan, pemain kompang dua belas orang, tiga tak ada kompang dok pukul periuk lama). Tunggu peruntukan kompang wakil rakyat, periuk barupun kena belasah !

Ikutlah resemi pemimpin lampau. Contohilah wakil rakyat sepertimana yang pernah saya ceritakan seperti posting terdahulu. Kadang-kadang mereka tu bukan nak peruntukan pun, seperti ibu bapa kita di kampung - asal jenguk muka sudahlah. Kalau tak, tunggu jelah waktu itu ! Pernah sewaktu di Kedah dulu (masa tu saya bertugas di pertengahan 90an) ada pengerusi Rukun Tetangga (RT) boleh warning wakil rakyat kerana tak hadir majlis anjurannya. Dengan hanya berbekalkan sekawah meehoon katanya, dia boleh kasi konar sokongan rakyat setempat kepada wakil rakyat tu. Tu dia, ’ganas tak ganas’ tengok !

Lain pula senario semasa saya bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (Datin Paduka kini Tan Sri Datin Paduka Sri Hajah Zaleha Ismail), di mana pernah seorang wakil rakyat (DUN) yang memberi kata dua kepada beliau, hanya kerana gagal membekalkan peruntukan dua buah komputer ke kawasannya. Antara isi dalam surat itu : ”Ingat Datin, dulu dalam MT nombor berapa, jangan sampai kali ini tak ada nombor langsung...” kalau tak silap saya waktu tu Menteri saya hanya berada pada rangking ketiga atau keempat tercorot. Hah ! yang ini jangan pulak gatal-gatal nak tiru. Bukan apa, bimbang nanti ”Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Kalau tidak takut dengan manusia (BPR), takutlah dengan Allah. ”Jangan memperaga duri sebatang kepada landak”. Jumpa lagi nanti...

No comments: