Monday, February 18, 2008

CERITA LAPAN

Suatu ketika saya diminta untuk menjadi perantara bagi satu forum yang dianjurkan oleh kementerian. Dato’ Dr. M. Manogran (juga bekas KSU Kementerian Sumber Manusia) bertindak sebagai pengerusi, manakala Dato’ Haji Ahmad Salleh, TKSU dan Dato’ Sayed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku ahli panel. Forum diadakan sebagai menyahut saranan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) supaya sesekali diadakan forum terbuka untuk membincangkan mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan tugas dan lain-lain yang berkaitan. Saya adalah Setiausaha Bersama MBJ.

Sebagai pegawai khas KSU, satu perkara yang saya tahu mengeni beliau adalah mengenai kepantangannya jika kita menyentuh tentang keburukan menteri. Meskipun beliau tahu para pegawai atasan (di tingkat 7, 19 dan 20 malah agensi-agensi lain dalam kementerian) terutamanya, dok memendam rasa dengan sikap dan tindak tanduk menteri, namun beliau masih setia mempertahankan bosnya. Walaupun terdapat pekara yang tidak menyenangkan bagi beliau sendiri.

Sewaktu saya bertugas di Parlimen, ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan telah membidas menteri atas ketidakhadiran beliau dan beberapa menteri lain untuk menjawab soalan di Parlimen. Antara yang berhujah (kalau tak silap) ialah Datuk Muhammad Aziz, wakil Sri Gading, Dato’ Rohanie Ahmad, Parit Sulong dan Dato’ Raja Haji Ahmad Zainuddin (Larut). Oleh kerana saya tengok forum tu suram dan bungkam je, jadi sayapun mencelah untuk meminta pandangan KSU mengenai kes ketidakhadiran menteri ke Parlimen. Apa lagi, melentinglah pakcik tu. ”Stop !!!” tengkingnya. Saya jadi terkedu, sebab sefaham saya forum itu boleh berbincang apa saja mengikut track. Rupanya perkiraan saya silap. Betul punya marahlah ! Tetapi saya puas, puas kerana apa yang nak disebut atau disentuh tetapi tak terlafaz oleh pegawai-pegawai tertinggi (mungkin KSU juga) telah dapat saya ’hamburkan’. Lepas majlis, satu dua pegawai menghampiri saya dan mengucapkan tahniah. Tapi wajah masing-masing muram je. Saya tak kisah, kerana nasi dah menjadi bubur. Apa-apapun tunggu jelah...

Sebetulnya, saya dah agak dah perkara ’buruk’ akan berlaku atas ’keterlanjuran’ saya itu. Memang benarpun, petang itu juga saya dipanggil oleh KSU melalui Kak Yam, P.Anya ke pejabat. Dengan lembut KSU beritahu bahawa mulai saat itu beliau tidak mahu lagi menggunakan khidmat saya sebagai Pegawai Khas. Dan, esoknya surat yang menukarkan saya ke Jabatan Perpaduan Negara (JPN) saya perolehi dari pejabat KSU berkuatkuasa dari tarikh tersebut. Maka turunlah saya ke tingkat 7, Jabatan Perpaduan Negara dan ditempatkan di Unit Penerbitan. Bertautlah saya kembali dengan saudara Mustaffa Kamal Hashim (jurugambar) dan Ahmaluddin Ramin (pereka). Dua lagi rakan saya Abang Mad Ariff (kerani) telah bertukar ke JPN, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bertugas di Setapak, manakala Aishah Omar (pembantu penerangan juga penuli novel remaja) bertukar ke Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Agak boring juga, kerana bos lama saya Tuan Haji Hasan Samat telah bersara awal. Tak dapatlah lagi saya merasa ’belanja’ beliau makan tengahari di Jalan Tiong Nam, Chow Kit sepertimana dulu. Yang bestnya setiap kali waktu nak order, Encik Hasan mesti tunjuk lauk pauk yang murah-murah. Tetapi, jari saya selalu memilih laukpauk yang agak mahal. ’Bengkek’ je dia. Pun begitu, dia masih mahu membawa saya ke kedai makan. Begitulah kalau dah pemurah. Beliau adalah satu-satunya ’sifu’ saya dalam bidang komunikasi khususnya penulisan kreatif. Di bawah pengurusannya, saya menjadi dewasa dalam bidang yang amat saya minati itu. Beliau berkawan baik dengan Prof. Datuk Hamdan Adnan, Pesuruhjaya SUHAKAM dan mantan Presiden FOMCA yang cukup teliti dalam membeli apa jua jenis barangan keperluan. Saya ada cerita menarik mengenai pensyarah saya sewaktu di IPRM ini. Lain kali saya cerita.

Sebenarnya saya juga menganggap kedudukan itu (bertukar ke JPN) hanya transit sementara saja. Sebab saya dah ada plaining lain untuk ke Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Saya berminat ke sana kerana tawaran Encik Md. Rosnan Sulaiman, bekas Setiausaha Bahagian sewaktu di kementerian dulu. Beliau menjawat jawatan sebagaiah Ketua Pengarah di JHEOA. Kira-kiranya macam kronilah juga. Tapi bukan mudah. Banyak prosedurnya. Hampir setiap hari saya dihubungi oleh arwah saudara Malek (Pengarah Personel) supaya segera membuat urusan pertukaran di jabatan tersebut. Lalu, atas keinginan yang kuat untuk mencari angin baru, maka sayapun berpindah ke JHEOA pada awal tahun 2001. Saya akan ceritakan memori bekerja di JHEOA setelah saya mengimbau kembali kisah-kisah alam remaja dan alam muda belia saya. Jumpa lagi...

2 comments:

Anonymous said...

en shah...makin lama makin panjang en shah tulis..tak sempat sy nak abis baca dh ada cerita baru..ehehe..bagus2

Anonymous said...

emm..menarik cerita ni...boleh x en shah cerita dari awal permulaan en shah menjadi artis dan mcm mana bleh terlibat dlm kerajaan...mungkin lagi menarik ceritanya...

- imah ;p