Friday, February 15, 2008

CERITA ENAM

Saya pernah berkhidmat selaku pegawai khas di pejabat Dato’ Seri Dr. Hajah Siti Zaharah Sulaiman selama kira-kira tiga bulan selepas era Tan Sri Hajah Zaleha Ismail (kini pengerusi LPPKN) menduduki kerusi menteri, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Masa tu KSUnya Datuk R. Theivandran menggantikan Dato’ (kini Tan Sri) Dr. Haji Zainul Ariff Hussien (kini pengerusi Universiti Putra Malaysia) yang bertukar ke ICU, dan tak lama kemudian digantikan pula oleh Dato’ Dr. M. Manogran. Bertugas bersama-sama saya ialah sdra. Rosli Dahamin (mantan perantara TV3) yang bertindak selaku Setiausaha Akhbar (SUA) manakala Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) ialah YM Raja Noor Zaedah Raja Ahmad (kini Timbalan Pengarah Kanan (Cawangan Skim Perkhidmatan) Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA). Malang sedikit, SUSK sebelumnya saya terlupa namanya. Tetapi seingat saya, orangnya baik dan agak sederhana perawakannya. Manakala kerusi SETPOL merangkap Setiausaha Kerja Wanita UMNO dipikul oleh Zuraidah Musib (yang pernah berlakun peranan utama drama radio terbitan RTM, Rumah No. 5 Persiaran 1 sekitar tahun 80an).

Masa tu bos saya masih memegang tugas selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Dan, yang menariknya ketika beliau di kementerian tersebut selepas di naikkan pangkat dari Timbalan Menteri Pengangkutan adalah musim pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Meskipun pernah menang ’ciput’ dalam perebutan sengit dengan mantan terdahulu Dato’ Seri Rafidah Aziz, tetapi kabarnya Dato’ Dr. Siti Zaharah mendapat sokongan yang mantap di peringkat grassroot. Pak Sheikh (Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan TPM) pun kabarnya konfiden bos saya itu akan berjaya memandangkan sokongan padu (?) kepada beliau ketika itu. Tapi, akhirnya satu dunia tahu, bahawa Dato’ Seri Rafidah Aziz dinobatkan semula selaku ketua kepada salah satu daripada sayap kanan UMNO itu.

Pengalaman bekerja dengan menteri berkenaan memang menyeronokkan. Tetapi lebih banyak yang ’kurang menyenangkan’. Saya akui bahawa di pejabat tersebut saya agak tidak popular kerana ’adik beradik ipar duai’ membayangi tugasan. Begitulah juga apa yang dialami oleh dua tiga SUSK yang silih berganti menduduki kerusi panas Tingkat 20, Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Sebab itulah setelah beberapa lama di situ saya minta izin menteri melalui TKSU untuk bertugas Tingkat 19 (pejabat KSU). Saya ceritakan semuanya kepada TKSU (Datin Hajah Fauziah Ramly) kerana beliau amat prihatin serta mudah dibawa berbincang. Tambahan pula, saya agak ’manja’ dengan beliau dan menganggap ’Kak Chik’ macam kakak saya sendiri. Sebenarnya satu kementerian tu suka kat dia. Begitu juga rakan-rakan di KBS dan Kementerian Penerangan (tempat tugasan terdahulu Kak Chik. Sifatnya yang ’betul-betul holiaw friendly’, kelakar, penyayang, tetapi pasal kerja beliau cukup serius. Janganlah ingat nak main cincai-cincai atau sembrono je, tak pasal-pasal kena ’belasah’. Namun, amarahnya hanya seketika - tidak pernah melarat panjang. Itulah Datin Fauziah yang amat akrab dengan Pak Ya (Dato’ Zakaria Ahmad) mantan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara.

Kenapa saya nak turun ke Tingkat 19 ? Kat atas tu kan glamour ! Ada sebabnya. Salah satunya ialah kerana perselisihan faham antara saya dengan ’adik saudara’ Dato’ Dr. Siti Zaharah. Mana taknya, pejabat tu lepas pukul lima dah jadi macam pejabat kawasan kalau takpun macam pasar malam. Tak ada sistem langsung ! Surat-surat tak kira yang rasmi ke, tak rasmi ke main pukul rata. Boleh buka dan baca ikut suka. Dua kali surat Perdana Menteri (Tun M) kepada menteri hilang. Ianya ada kaitan dengan perpindahan jabatan atau agensi seperti LPPKN, HAWA dan JHEOA ke kementerian lain. Dalam banyak hal ’misteri’ kehilangan itu, sayalah ’mangsa tunjuk’ yang menjadi kambing hitamnya. Mana boleh tahan beb ! Pada satu ketika yang meruncing, saya dengar mamat tu pekik kat CC Khong (ketua kerani kementerian) nak lempar keluar tingkap mesin fotostat. Mentang-mentanglah dulu menteri duduk kat Putrajaya, semua serba baru. Datang kat pejabat Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ’hampeh’. Penat dah mesin tu dok kena repair je. Tapi, kalau nak tukarpun pelan-pelanlah. Zaman menteri lama tak kisahpun bila kami dok guna benda tu sama-sama dengan pejabat Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen. Sepontan saya jerit, ’Hoi itu bukan bapak kau punya ’gheta’ (harta) !’. Saya cerita semua kat Datin Fauziah, dia senyum kelat je. Ekoran itu Datin Fauziah sarankan supaya saya turun bekerja kat Tingkat 19.

Selepas Datin Fauziah, tampil pula Dato’ Haji Ahmad Salleh Sariff, mantan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Datuk Bandaraya Ipoh selaku TKSU. Manakala KSUnya Dato’ Dr. M. Manogran, dengan saya sendiri bertindak selaku pegawai khas beliau. KSU ini seperti juga Datuk Theivandran adalah seorang yang lemah lembut perawakannya. Yang tak berapa seronok, era beliau berlaku peristiwa Kampung Medan yang mencalar tahap perpaduan negara kita. Dan, yang lebih tak seronok era beliaulah saya keluar dari kementerian itu. Nanti saya sambung cerita lagi...

No comments: