Thursday, September 11, 2008

CERITA SEMBILAN PULUH SEMBILAN

Mari kita bercakap tentang kejayaan atlit powerlifting negara, Siow Lee Chan, 37, pada temasya Sukan Paralimpik di Gimnasium Beijing University of Aeronantics and Astronauts, Beijing kelmarin. Dengan angkatan seberat 95 kg, Siow menghadiahkan pingat pertama negara setakat ini dalam sukan tersebut biarpun hanya berupa sebutir pingat gangsa. Ianya telah menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun Malaysia di persada sukan bagi OKU itu. Penyertaan kali ketiga ini nampaknya membuahkan hasil sepertimana yang diihasratkan oleh beliau biarpun emas menjadi impian setiap atlit yang bertanding. Yang penting, beliau telah turut mengharumkan nama negara kita setelah Datuk Lee Chong Wei dari sukan badminton melakar sejarah peribadinya dengan memungut pingat perak di Olimpik Beijing, pada bulan lalu.

Persoalan saya, apakah kejayaan Siow tidak membanggakan kita semua ? Akhbar-akhbar arus perdana nampaknya tidak terkesan langsung dengan kejayaan atlit tersebut. Kenapa tidak dimuatkan di muka hadapan (frontline) ?

Dengar komennya, ”Sangat teruja, sangat mencabar. Saya berpuashati dengan keputusan ini. Saya tidak fikir terlalu banyak. Saya akan terus berlatih powerlifting dan mencuba yang terbaik untuk mencapai keputusan lebih baik”.

Suara motivasi atlit OKU negara. Jika ramai atlit bersemangat waja seperti Siow, maka tidak ragu lagi bahawa kita akan melihat kebangkitan mutu sukan di negara ini pada masa-masa yang akan datang. ’Terkejut beruk’ saya apabila dilaporkan bahawa jurulatihnya ialah orang Malaysia sendiri, Encik Ghazali Osman. Sebelum terlupa, sekalung penghargaan serta tahniah saya untuk anda, yang telah turut sama membantu mengangkat martabat sukan negara di temasya sukan peringkat dunia itu. Syabas !!!

Yang berlegar di benak saya juga, apakah nanti Siow Lee Chan dan jurulatihnya Encik Ghazali Osman mendapat layanan serta penghargaan yang sama seperti apa yang diperolehi oleh Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek ? Apakah mereka tidak layak diberi gelaran ”Datuk” ? Apakah mereka tidak layak mendapat skim kemenangan sukan yang bukan sedikit jumlahnya itu ?

Saya nak ucapkan tahniah juga kepada YAB.Bhg Datin Seri Jeanne Abdullah, ’orang rumah Pak Lah’ selaku penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang sanggup menemani atlit kita di Beijing. Kita lihatlah nanti, apakah bentuk sambutan kepada Siow sehebat ketika Datuk Lee Chong Wei membawa balik pingat perak dulu ?

Saya begitu teruja untuk mendengar komen dari Menteri Belia dan Sukan mengenai kejayaan atlit tersebut. Saya harap tidak ada ’double standard’ dalam perkara ini. Jika dibuat perbandingan antara atlit OKU dengan atlit normal, saya kira tentulah cabarannya lebih memihak kepada mereka. Dengan kantung MPM yang mungkin tidak sebanyak mana, dengan segala macam titik bengik pancaroba yang terpaksa dilalui - maka sejujurnya kejayaan Siow pastilah boleh diangkat sebagai satu pemberian amat berharga untuk negara !

Semoga atlit kita dalam lain-lain acara yang masih berbaki di temasya tersebut dapat menunjukkan prestasi yang tinggi (tahap dunia) biarpun gagal meraih sebarang pingat. Kata orang, biarlah tewas dalam berlawan. Atlit handal lainpun makan ikut mulut juga (kecuali dalam kes-kes tertentu). Jadi, apa masalahnya ? Layanan oleh pihak Kerajaan dan swasta serta doa yang dititip oleh rakyat jelata pastinya mampu menyuntik semangat ’melawan’ anda untuk meraih kemenangan yang bermakna demi negara tercinta.

Dah kebetulan bercakap tentang sukan, marilah sama-sama kita sedekahkan alfatehah kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, pemain lagenda bolasepak negara yang telah lebih 17 tahun meninggalkan kita. Beliau lahir pada 13 November 1953, dan meninggal dunia pada 8 Julai 1991. Maafkan saya jika saya tersilap, apakah Mokhtar Dahari pernah mendapat gelaran ”Datuk” dari Kerajaan pusat atau dari mana-mana negeri ? Jumpa lagi...

2 comments:

Anonymous said...

Sangat setuju dengan pandangan kamu. Hrp pihak k'jaan ambil pusing isu ini.

Anonymous said...

Morning Pak Tam!masih x terlambat atih nk ucapkan selamat menjalani ibadah puasa :-) semoga ibadah kita diterrima Allah ...amin....
ni komen psl yg pak tam tulis .... mmg betoi dlm akhbar kurang pendedahan tntg sukan paralimpik ni.x taulah apa bezanya dan apa glamournya sukan olimpik org normal. nnt kita sama2 tggu dan lihat apa layanan yg mereka akan dapat....