Monday, September 15, 2008

CERITA SERATUS SATU

Hari ini saya menulis ke akhbar Utusan Malaysia mengenai isu klise drama TV kita. Saya sebenarnya agak kurang gemar dengan drama Melayu yang mengulang-ulang benda yang sama. Lagi satu bab ialah mengenai penghayatan pelakon yang tah apa-apa. Bosan tengok pelakon yang ala-ala macam gini ! Semasa era pelakon veteran Karim Latif dulu, saya (sewaktu itu di Pentarama) diajar cara dan kaedah melakunkan watak yang betul. Dengan abang Karim ni, kalau silap sikit habis 'benda yang sulit-sulit' turut tersembur sama. Kengkawan seperjuangan seperti Jamal Abdillah, Shidee, Salleh Yaakop, Jamilul Hayat Norsheila Amin, Hayati Tasrip, Shariffah Mona, Laila Shahrin, Ramzeylah, Ann Ways dan lain-lain faham benar perkara ini. Oh ya, apa kabar abang Karim sekarang agaknya ? Didoakan semoga sihat wal'afiat selalu hendaknya. Anda boleh melihat lakonan pelakon ini dalam filem-filem P. Ramlee seperti Keluarga 69 dan lain-lain.

Saudara Pengarang,

Tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam ruangan Getaran Seni hari ini sepatutnya memberi input dan rangsangan kepada para penggiat senilakon kita samada drama ataupun filem untuk menambahbaik dan menambahnilai hasil kreativiti seni masing-masing pada masa akan datang. Sebenarnya terlalu banyak unsur klise dalam industri seni kita khususnya drama. Saya amat bersetuju dengan Ku Seman atas beberapa contoh yang diutarakan.

Ketahuilah, bahawa khalayak penonton kita sekarang sudah bijak menilai isi sesuatu drama TV atau filem. Tentulah kelakar sekiranya budak-budak peringkat prasekolah sekarang pun sudah boleh meneka jalan cerita (plot) selanjutnya pada sesebuah cerita yang dipaparkan. Peliknya, tekaan atau telahan mereka kerap kali betul !

Nampaknya para pelakon sekarang cukup mudah mendapat status selebriti filem atau drama. Saya tidak pasti apakah mereka ini pernah dilatih untuk menjadi pelakon sebenar atau sekadar pelakon bidan terjun, faktor nasib atau sekadar berbekalkan wajah yang menarik ? Kadangkala tiada penghayatan langsung. Sedangkan faktor penghayatan itu amat penting dalam bidang lakonan. Saya pasti kita biasa melihat aksi pelakon membawa beg pakaian besar dengan wajah bersahaja. Nak dikatakan beg itu tidak berat mustahil, sebab mana ada orang berpergian membawa sebuah beg besar sekadar berisi sehelai baju dalam ? Tunjuklah sedikit susah payahnya memegang beg seberat itu. Inilah apa yang dimaksudkan dengan penghayatan.

Satu kes lagi, bab pelakon bangun dari tidur semalaman dengan menampilkan wajah yang disolek dengan make up seperti nak ke parti sosial. Kalau statusnya anak dara mungkin, kerana aktiviti larut paginya. Tetapi apakata yang melakonkannya watak makcik-makcik. Watak isteri yang baik-baik pula. Lebih haru kalau melihat adegan solat di mana shot menunjukkan pelakon wanitanya berdoa sehingga menitiskan air mata, lalu titik ke bibir yang menyala lipstiknya !

Nampaknya penggiat seni kita khususnya pelakon, perlu menambahnilai diri mereka jika ingin terus bertahan sebagai pelakon yang disegani di persada seni tanahair. Janganlah sekadar memikirkan penampilan diri yang secara tak langsung menjejaskan mutu lakonan sehingga memalukan diri sendiri sahaja. Belajarlah dari pelakon-pelakon yang berwibawa seperti Datuk Aziz Sattar, Datuk Aziz Singah, Datuk Rahim Razali, Eman Manan, Ogy Ahmad Daud, Ahmad Tarmimi Siregar, Rubiah Suparman, Azean Irdawaty dan ramai lagi yang kekal terpahat populariti mereka hingga kini.

1 comment:

Anonymous said...

Heh ! Heh ! Heh ! Tengok Kluangman lagi bagussss !!!!