Thursday, September 18, 2008

CERITA SERATUS ENAM

Namanya Encik Jamil Habib bin Mohammad. Berusia sekitar lingkungan 45 tahun. Berasal dari Kuala Lumpur. Bertugas di DBKL. Sejak lama saya melalui Jalan Ampang dengan berjalan kaki dari Putra LRT KLCC, jarang saya tidak ketemu orang ini.

Rutin setiap pagi saya ke tempat kerja dari rumah di Bandar Baru Bangi seawal jam 6.30 pagi, Manja dan Personanya akan membawa saya hingga stesen Putra LRT Universiti. Kemudian saya akan meneruskan perjalanan dengan transport awam yang kemuncak operasinya sempena Sukan Commonwealth di Bukit Jalil sekitar tahun 1998 itu. Lapang dada, tak ada jem, tak ada roti !

Seperti saya sebutkan, hampir setiap kali melalui Jalan Ampang, saya pasti akan bertemu dengan seorang petugas DBKL. Dan, setiap kali juga saya akan menyapanya dengan meneriak : ”Good morning Sir !”. Seperti biasa, dia akan mengangkat tangan sambil tersenyum ke arah saya. Itulah Encik Jamil Habib Mohammad, yang bertugas menyapu sampah di jalan paling sesak di Kuala Lumpur ini. Sekitar jam 6.30 pagi, beliau memulakan tugasnya dari Australlian Embassy, Jalan Yap Kwan Seng dan berakhir di hadapan Hotel Crown Princess, Jalan Tun Razak sekitar jam 1.30 tengahari.

Mula-mula dulu saya ingatkan dia beragama Hindu. Dah tahu tu, la ni, saya tambah : ”Assalamualaikum. Good morning Sir !”. Saya dapat rasakan kebanggaannya. Tentulah dia merasa dihormati oleh masyarakat, biarpun kerjanya cuma sekadar menyapu sampah ! Murni tu !

Sebenarnya kita patut menghargai kerjaya yang dilakukan oleh Encik Jamil Habib dan rakan-rakannya yang lain. Ketika orang lain belumpun tiba di pejabat, mereka telah bersusah payah bagi membantu untuk ’clear’kan sampah sarap yang mungkin akan mengganggu perjalanan trafik saban hari.

Tanggapan saya, bahawa tugasan yang dilakukan oleh Encik Jamil adalah profesion yang paling tidak popular di kalangan warga Malaysia. Namun hakikatnya, kita perlu sedar bahawa tanpa orang-orang macam mereka, walau macam mana canggih sekalipun pun Bandaraya kita, namun jika tidak bersih apalah maknanya...

Semalam Datin Fauziah Ramly (Ahli SPA) datang ke pejabat. ’Kak Cik’, panggilan mesra saya padanya. Beliau masih seperti dulu. Di JHEOA ini ramai juga yang masih diingatinya. Datin adalah juga merupakan Presiden Persatuan Siswazah Malaysia. Di kalangan PTD tentulah Kak Cik antara yang digeruni. Yalah, dia kan salah seorang daripada penemuduga kenaikan pangkat mereka ?

Kak Cik nak buat program dengan Unit Roslan Tambichik, kawan baik saya. ”Jangan lupa bawak Shah ni sekali nanti !”. Tegas Datin pada bos baru saya, Puan Noriza.”InsyaAllah”. OK, semoga kita bertemu lagi

1 comment:

Anonymous said...

En Shah, kirim salam saya dekat En Jamil tu ye...

Tahnaj gak sebab dapat masuk opis kat Jalan Ampang juga nanti Okt ini.