Friday, September 26, 2008

CERITA SERATUS DUA BELAS

Pagi ini Utusan Malaysia menyiarkan artikel mengenai perkembangan terkini tentang pelakon veteran Karim Latif (semak posting 100 dan 103). Abang Karim sekarang rupanya sedang menghidap ulser. Tapi apa yang ditulis oleh Abd. Aziz Ittar tu ada sedikit pembetulan. Setahu saya, abang Karim tidak terlibat sewaktu era Malay Film Productions di Studio Jalan Ampas, Singapura. Beliau sekadar aktif semasa di Studio Ulu Klang, di mana Tan Sri P. Ramlee dan Mama (Puan Sri Saloma) berhijrah dan tinggal menetap di Jalan Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam artikel itu juga diperlihatkan wajah kak Mah (isteri abang Karim) seorang pesara RTM. Kak mah dah 64 tahun, manakala abang Karim sendiri 72. Anak-anak merekapun dah besar panjang iaitu Izuddin Nizam (36), Izmir (35), Nur Iznita (30), Izhar (29) dan Izralfiddin (25). Begitu cepat masa berlalu.

Antara filem-filem lakonan abang Karim ialah, Anak Bapak, Ahmad Albab, Masam-Masam Manis, Gerimis, Keluarga 69, Penagih Dadah, lain Jalan Ke Syurga, Sumpah Pontianak, Selendang Delima, Samseng dan Amuk Tok Nadim. Abang Karim juga turut berlakon dalam drama TV iaitu semenjak tahun 1964. Antaranya ialah Keluarga Tompel dan Potret Pekerti serta ratusan lagi.

Sayang sekali, abang Karim tidak mencatatkan mengenai pengalaman seninya sewaktu bersama Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia yang turut saya sertai. Abang Karim adalah merupakan Pengarahlakon pertama di unit tersebut. Sewaktu itu, bapa kepada YB Datuk Seri Azalina Othman merupakan Pengarah Bahagian Sivik dan Masyarakat yang turut merangkumi unit tersebut. Siapa tak kenal Encik Othman Said masa tu ? Garang beb ! Pernah satu ketika beliau mengamuk sebab kami mogok dari membuat persembahan di Pulau Pinang. Saya adalah ’orang yang menetang’ mogok tersebut. Jadi, saya tidak balik ke Kuala Lumpur. Tinggal saya, abang Musa Makah dan seorang dua lagi. Tapi show must go on. Jadi, kami pun membuat persembahan pentas bersama belia Tanjung Pinang (yang masa tu hebat dengan Boria Tanjung Pinangnya).

Apabila balik ke Kuala Lumpur, satu pertemuan ‘tergempar’ diatur oleh Encik Othman Said. Semasa itu, studio kami ialah di dalam kawasan Kompleks Budaya Negara (KBN). Masa tu Pak Ngah (Datuk Suhaimi Md. Zain), Mahmud, Maziah, Uda (bekas suami kepada penyanyi Shariffah Mona, juga rakan saya di Pentarama), Abu, Mat Black, Jamil (adik Mahmud) dan ramai lagi adalah warga seni tari dan budaya KBN, manakala di sebelah studio kami ialah Kumpulan Budaya Felda yang turut dianggotai oleh Allahyarham R. Jaafar dan A.R Badul serta emak pelawak Yassin (tak ingat namanya).

Dalam pertemuan tersebut, Encik Othman telah memberi kata dua kepada yang terlibat mogok samada berhenti atau bekerja dengan mengikut syarat-syarat baru yang dikenakan. Masa tu kami semua hanya berstatus pekerja ‘Sementara’ saja. Dalam ramai-ramai tu, bangunlah Allahyarham Wak Rahmat (pemain saxophone). “Saya berhenti !”, kata Wak Rahmat tegas. Kesian dia, rakan-rakan yang tadinya berapi-api nak berhenti tetiba membisu seribu bahasa. Macam tikus. Akhirnya, kami kehilangan seorang pemain saxophone veteran sehinggalah muncul Jaafar Rahman (Jari) pencipta lagu Ning Baizura yang meleutup satu ketika dulu. Kini Jari sedang berkhidmat di Warisan Johor sebaik habis belajar di Berkely, USA.

Itulah sejarah bersama Encik Othman Said yang sukar untuk lenyap dari memori ingatan saya. Masih terpandang-pandang wajah merah menyalanya yang dilanda hangin satu badan tu ! Waktu tu Menteri kami ialah Datuk Muhammad Rahmat (Tok Mat), manakala abang Karim sendiri selaku Pengarahlakon.

Saya sekali lagi berharap untuk menziarahi abang Karim dan kak Mah jika berkesempatan pada hari yang mulia ini.

Pagi ni diadakan sidang tergempar MKT UMNO. Saya juga turut merasakan ’ada’ sesuatu kejutan kali ini. Ramalan yang saya nak buat ialah; Pak Lah letak jawatan dan menyerahkan tampuk kuasa pada DS Najib penghujung bulan Disember ini. Mesyuarat Bahagian-bahagian UMNO diteruskan. Dan, Tun Dr. Mahathir di terima semula ke dalam UMNO. Jumpa lagi…

1 comment:

Anonymous said...

Bro !
makin 'berisi' blog ko nie...
tahniah !