Friday, September 12, 2008

CERITA SERATUS

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga destinasi ke seratus saya (tolak posting pendahuluan) ! Sebenarnya, menulis memerlukan ketekunan, komitmen dan deria rasa yang cukup tajam. Keprihatinan atas sesuatu perkara atau isu penting perlu diambil kira. Keutamaan kepada kestabilan dan keharmonian negara pula menjadi keutamaan yang tiada tolok bandingnya. InsyaAllah, setakat ini saya masih mampu mengawal jemari ini daripada melakukan sesuatu yang di luar dari batas etika penulisan.

Imbasan cerita, kisah ataupun kenangan-kenangan lalu menjadikan blog ini disinggahi oleh mereka-mereka yang berkaitan. Teman-teman sepejabat, sepermainan, sepersekolahan, serumah, sekampung, senegeri dan senegara. Untuk anda semua saya ucapkan terima kasih dan diharapkan agar blog ini dapat memberi sedikit manfaat kepada diri anda sekalian. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Semalam saya menerima satu berita ’menggembira dan menyedihkan’ dari yang empunya diri. Apa tidaknya, pengurus pasukan saya ke Festival Pantun Antara Kementerian 2008, Cik Roslinda Ulang (yang kiut miut tu) dah kena ’kidnap’ dengan JPJ. Beliau mendapat kenaikan pangkat PTD Gred 52 di sana. Seronok tak terkira dia, sebab dah lama beliau impikan untuk ’keluar’. Sayapun tak tahu apa sebabnya, tapi mungkin ada kaitannya dengan proses penambahbaikan/pengalaman. Tulah, yang sedih tu bilamana dia ’terpaksa’ dengan berat hati meninggalkan team pantun, yang baru nak pulih semangatnya selepas ’kehilangan’ seorang peserta PTD baru-baru ini. Tahun lalu tiga peserta PTD yang dah komit awal-awal tarik diri last minit. Agak-agaknya cuma ’kakitangan sokongan’ saja yang sesuai atau layak untuk program pesta-pestaan macam tu ? Tapi, InsyaAllah, saya tidak akan serik dengan apa yang berlaku...Demi maruah KKLW, saya akan tetap berusaha untuk memantapkan lagi peserta yang sedia ada !

Semalam juga saya menghubungi anak-anak kembar saya serta juga yang bungsu Mila. Ada berita positif dari mereka, bahawa mereka yakin dapat 5A. Alhamdulillah. Dida (anak Aidie Khalil bekas adik ipar saya dan Shafikin - anak Hasnal adik ipar saya yang sekarang) tak tahu apa cerita. Masa hari pertama tu call Dida, dia kasik tahu boleh jawab dengan baik. Oraitlah tu ! Sebenarnya Dida ni rapat dengan anak-anak saya. Kalaulah mereka dapat belajar bersama-sama kan bagus. Lagi bertambah semangat mereka agaknya. Ni, jauh sangat, seorang di KL dua di Alor Setar !

Benar, bahawa setiap ibu bapa pasti mengingini yang terbaik untuk anak-anak mereka terutama dalam pelajaran. Saya nak anak-anak saya tahu bahawa saya amat menyayangi dan merindui mereka, dan amat mengimpikan bahawa pada satu hari nanti mereka akan menjadi warganegara yang terbaik dalam segala segi. Sebagai bapa yang sering berjauhan dengan mereka, kerinduan ini hanya untuk mereka.

Mila masih tak mampu berpuasa. Anak saya yang satu tu ada lelah. Selalu juga terpaksa telan ubat. Saya harap bila usianya meningkat nanti, semua itu tidak akan menghalang dia dari mengerjakan ibadat berpuasa. Biasalah, seperti saya sering sebutkan, dah namanya si bungsu manjanya lebihlah sikit dari yang lain. Hari tu dapat nombor tiga dalam kelasnya, okey jugaklah kata saya. Not so bad !

Semoga Ramadhan al-Mubarak memberikan pelbagai hikmah kebaikan kepada diri kita bersama. Dan, berdoalah agar kita diketemukan dengan malam 1,000 bulan (Lailatul Qadar) yang menjadi impian semua umat Islam ! Wassalam...

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah pada Cik Roslinda Ulang yang glamor ! Kalau kerja kat JPJ tu jaga-jaga jgn ada kes 'bawah meja' ya...