Saturday, March 8, 2008

CERITA DUA PULUH EMPAT

Saya baru saja balik dari mengundi di Sekolah Rendah Agama Raudatul Muttaqin, Taman Dato' Senu, Sentul. Nasib saya baik kerana setiba saja di sana saya tidak payah berbaris panjang. Masuk dan terus mengundi. Mudah. Seperti saya katakan, saya pasti akan mengundi BN. Calonnya kali ini adalah anak mantan Presiden Gerakan, Lim Si Pin menentang calon favourite PKR, Tian Chua. Dari cakap-cakap dengan beberapa pengundi dan petugas parti BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), nampaknya pertarungan tersebut akan berlangsung dalam keadaan yang agak sengit ! Tetapi, saya tetap optimis dengan kemenangan calon BN. 'Sure' punya !

Sebagai bekas warga Taman Dato' Senu, dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Gerakan Belia 4B, saya tidak mampu mengelak dari bertemu dengan rakan-rakan yang bukan dari parti pilihan saya. Selepas berada agak lama di 'pondok panas' BN di mana saya bertemu dengan Ketua UMNO tempatan, abang Hassan, saya ke pondok 'sebelah lagi satu' iaitu pondok PKR. Di sana saya bertemu dengan abang Hassan Jauma (orang-orang nama Hassan ni cukup popular kat sini). Beliau merupakan Ketua Cawangan PKR Taman Dato' Senu. Yang saya mis untuk bertemu ialah dengan saudara Daud Kentar (kawan rapat saya sewaktu dalam Gerakan Belia 4B hingga sekarang), yang juga merupakan salah seorang 'tenaga terpenting' parti tersebut. Apapun, saya mampu berasa bangga sebab saya masih dilayan seperti mana dulu biarpun mereka 'cukup tahu' parti yang saya sokong ! Itulah uniknya rakan-rakan saya di Taman Dato' Senu ini. Tidak pula kedengaran pilihanraya kali ini dicemari dengan pergaduhan seperti PRU Ke-11 dulu. Syukurlah gitu...

Pusat mengundi di sekolah tersebut adalah merupakan pusat yang baru diwujudkan. Dulu-dulu kalau nak mengundi, orang dari taman ni mesti kena keluar ke sebelah Sentul Pasar. Kebanyakannya di sekolah-sekolah rendah Cina yang berdekatan. Sekurang-kurangnya orang kat taman tu dapatlah budget time diaorang kali ini. Yalah, pagi-pagi kena ke pasar atau buat kerja-kerja rutin yang lain dulu. Kalau ada waktu senggang barulah boleh pergi menjalankan tanggungjawab untuk mengundi. Eloklah tu, tetapi kadangkala kena tengok keadaan cuaca jugak. Sejak musim pemanasan global ni, macam-macam yang tak dijangka boleh berlaku !

Teringat saya samasa mengundi pada Pilihanraya Ke-11 dulu. Punyalah panjang berbaris...tahu-tahu sampai lebih kurang lagi sepuluh orang untuk 'turn' saya, rupanya pusat mengundi sebenar saya di sekolah yang lagi satu yang agak jauh juga dari situ. Pulak ! Rasanya kalau letak minyak petrol kat kepala ni, terus 'terbakar' gitu ! Tak payah cucuh api pun. Apa taknya, punyalah lama berbaris...tup-tup dah kena tukar tempat ! 'Mangkok sambal belacan betul !'. Mujurlah banyak kereta yang menanti untuk membawa pengundi ke pusat-pusat pengundian tersebut. Kalau tak, 50-50 jugak (nak balik ke tidak ?). Berkat kesabaran mengundi, calon tu menang jugak. Lepas tu, sesekali bila ke Parlimen untuk bertugas, dapatlah tengok wakil rakyat tu di sana. Cuma 'sekali' sempat menyapanya kat kantin. Malang sikit, sebab suaranya 'jarang-jarang' kedengaran. Low profile betul. Harap-harap yang bakal dipilih nanti mampu mengutarakan masalah rakyat dengan lebih 'ganas' lagi. Tengoklah macam Seri Gading, Larut (sayang sekali dah bertukar ke DUN Dato' Raja kita tu) dan juga Kinabatangan. Power beb !

Menjadi wakil rakyat perlu ada aura. Perlu ada umphhh ! Bukan nak puji, orang-orang macam Dato' Badaruddin Amiruldin (Jerai) dan Dr. Tan Seng Giaw (Kepong) dan beberapa nama lagi memang mengujakan bila berdiskusi di Parlimen. Dulu Tan Sri Lee Lam Thye (pengerusi PLKN)menjadi ikon jurucakap rakyat, di mana beliau cukup disegani di kalangan ahli-ahli dewan. Kepada saya, seseorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara perlu berhujah dengan penuh berhemah, tidak terlalu emosi di samping bersekali dengan fakta yang sebenar dan terkini. Juga, perlu ada 'sense of humor'. Jangan main hentam keromo je macam sesetengah wakil rakyat. Buatlah 'home work' sikit. Barulah wujud check and ballance dan the good governance sepertimana yang dihasratkan oleh pengundi anda. Kalau tidak, sia-sia jelah undi yang diberi. Kata orang Negeri Sembilan, 'buek mengabihkan bogheh yo !'.

Secara peribadi saya terlalu ingin melihat pemidato-pemidato hebat berada di Parlimen. Barulah kata orang 'kena buku dengan ruas'. Jika tidak, hambar je setiap hari. Saya harap Khairy Jamaluddin (KJ) menang di Rembau. Melayu sebenarnya memerlukan orang-orang macam anda, Dato' Shahrir Samad, Dato' Ruhanie Ahmad (Ron) mantan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbencer) - yang pernah saya bantu sewaktu menjadi calon kawasan Parit Sulong dulu - (masih ingatkah Dato' dengan lagu 'Sanggam' yang saya nyanyikan pada satu malam ketika kempen Dato' dulu ?). Saya melihat mereka mampu bertindak selaku kumpulan pendesak, atau menyambung warisan 'ultra Melayu'. Dah terlanjur menyebut nama Dato' Ron ni (harap Dato' sabar walau 'tak lekat' menjadi calon lagi kali ini), mohon saya menyentuh sedikit tentang aktiviti terbaru beliau. Ramai orang kenal Dato' Ron terutama pelayar-pelayar yang singgah di blog 'Kuda Kepang'nya. Setelah memerhati dengan penuh minat, rasanya ada sesuatu yang harus 'difikirnilai' semula. Sebagai orang Melayu, saya harap Dato' janganlah asyik 'belasah' Pak Lah (PM kita bersama) dan menantunya KJ saja. Bukan apa, nanti 'ludah ke langit kena batang hidung sendiri' pulak ! Yang untung 'orang lain'. Musuh-musuh Melayu ataupun musuh-musuh negara kita. Takkan tak ada langsung yang baiknya. 'Common'lah Dato'. Berilah masa pada Pak Lah. Tun M pun selepas 22 tahun mengaku masih tak mampu ubah orang Melayu. Alon-alon Dato' ! "KLCC (pun) tidak dibina dalam masa sehari".

Kalau ada yang tak suka KJ tak pa, sayapun tak kenal dia sangat. Tetapi percayalah, Melayu tidak mudah 'diperlekeh' jika orang-orang macam ni ada. Tak silap saya, KJ lah orangnya yang pernah kata depan-depan suruh Tun M berhenti dan beri jawatan PM kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), sewaktu satu pertemuan antara Tun M dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara sedikit masa lalu. Kalau orang lain tidak memandangnya hebat, saya tetap (saya ulangi : saya TETAP) 200% kata beliau hebat ! Jangan bimbang, saya adalah 'peminat nombor satu' saudara, dan tetap mendoakan kejayaan saudara di Rembau hari ini. InsyaAllah.

Maaflah, kerana hari ini saya banyak menyentuh mengenai politik tanahair. Sebagai medium perkongsian pintar, anda boleh melontarkan pandangan di ruangan ini...itupun jika anda sudi atau berminat tentangnya (politik). Kalau tidak, tak mengapa. Lain orang lain cara pemikirannya. Oh ya, masa masih ada lagi...pergilah mengundi sebelum waktu tamat. Selamat mengundi ! Jumpa lagi...

No comments: