Friday, March 14, 2008

CERITA TIGA PULUH SATU

Semalam dapat call dari kak La. Dia tanya tentang life, tentang kerja. Mana satu nak jawab dulu ya ? Rewind balik, kak La ni kurus ramping je dulu. Antara adik beradik kak Esah yang saya rapat. Lagi sorang saya cuma kenal Hassan. Saya dengar anak Hassan pun dah dua. Cepat betul masa belalu...Ok lah, kalau ada masa nanti kita sembang panjang ya kak La.

Kembali kepada kisah saya dulu. Selepas bekerja di Restoran Sate Anika, Bukit Bintang Plaza, saya mendapat tawaran bekerja di dalam sektor Kerajaan iaitu di Bahagian Sivik dan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia. Masa tu pejabat dan studionya terletak di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur (belakang Mahkamah Tinggi Persekutuan). Di situ saya diletakkan di Unit Pentarama dengan bidang tugasnya adalah bagi menjalankan kempen-kempen yang dicetuskan oleh pihak Kerajaan.

Bos besar masa tu (sebagai Menteri) ialah Dato’ Mohamad Rahmat (Tok Mat). Sementara Dato’ Mohd. Kaus menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, manakala Dato’ Osman Said (bapa kepada Dato’ Azalina Osman) bertindak selaku Pengarah Bahagian. Allahyarham Sheikh Abdul Rahman di posisi Ketua Pentarama, dan arwah Encik Shahabuddin serta arwah Encik Ghaffar sebagai Ketua Unit. Dalam carta organisasi unit tersebut pula, pelakun Karim Latiff sebagai Pengarahlakun, Azman dan Zain selaku Ketua Artis.

Sebenarnya, saya menganggotai kumpulan kesenian terbabit secara kebetulan saja melalui adik angkat abang Ai, ’kak Yan’. Kak Yan juga merupakan adik kepada penyanyi Malek Ridzuan, Abdullah Shahrin dan Laila Shahrin. Penyanyi-penyanyi 80an yang genre muziknya lebih terarah kepada pop dangdut. Kak Yan akhirnya menjadi ’kakak angkat’ saya yang cukup prihatin dan penyayang serta juga ’cukup kebal’ mengawal saya. Dia panggil saya ’adik’. Boyfriendnya Faimi, panas dingin alam bercinta, dan akhirnya mereka berkahwin serta mempunyai ramai anak. Yang saya ingat anak yang tua bernama Amal. Kemudian Faimi bernikah lain dengan rakan artis dari Kampung Baru, Liza dan menetap di sana. Saya dan Liza juga pernah ada hubungan intim. Kak Yan turut bernikah lain dan kini menetap di Johor.

Sebut pasal ’Amal’ anak Faimi ni, masa peringkat Tabikanya ada satu cerita yang saya sangat suka dengar. Satu hari kata Faimi, dia balik dari sukaneka kelas. Excited betul nak cerita kisah dia. ”Tadi abang pecut kuat-kuat, abang dapat potong tiga orang sekali". Dalam pada tu, Faimi hairan kenapa tak ada apa-apa hadiah kalau menang. ”Sebab abang tak dapat kejar yang lagi lima kat depan abang”. Ohhh...dapat nombor enam rupanya. Merosakkan gegendang telinga je.

Banyak yang menarik pasal di Pentarama ni. Dari mula auditions sampailah berhenti kerja. Sekitar 14 tahun gitu. Saya janji saya akan ceritakan semuanya nanti.

Mari kita singgah bab isu politik negara sekejap. Hingga kini, kerusi panas MB Perak masih belum diisi. ’Ding-dong, ding-dong...’, macam-macam hal ada. Bolehkah saya ’menujuminya’ ? Saya fikir PKR akan buat satu tindakan drastik yang mengejutkan gabungan parti altenatif lain. Tiga daripada calon mereka (Melayu) mungkin akan keluar ’menyeberang’ ke BN untuk mencukupkan jumlah 31 kerusi dewan (BN la ni ada 28 kerusi). Ketiga-tiga mereka pula mungkin akan mendapat kerusi exco. Saya fikir ia satu 'kautim' yang adil dan setimpal. Ini saja jalan penyelesaian bagi kemelut tersebut ! Dan, demi maruah serta survival politik Melayu di Perak. Mungkinkah ramalan ini tepat ? Entah, sayapun main ’belasah’ je ? ’Nujum’lah katakan. Jumpa semula...

No comments: