Monday, March 17, 2008

CERITA TIGA PULUH EMPAT

Kepakaran seseorang kadangkala baik untuk digunapakai. Ada juga sebaliknya. Dan, kepakaran juga perlu diaplikasikan di tempat yang betul dan bersesuaian. Eh eh, kenapa pi melalut sampai kes ’pakar’ ni ? Saja nak suruh anda berfikir sejenak.

Suatu ketika di London berlaku satu kejadian kebakaran di sebuah bangunan yang separuh tinggi. Dari tingkat lima, seorang perempuan menjerit sambil mendokong bayinya. Beliau kelihatan begitu cemas di celah-celah asap tebal.

Bomba : "Puan baling anak puan ke bawah sekarang. Kat bawah sini ada tilam empuk yang tebal dan anak puan pasti tidak cedera. Kemudian puan pula terjun ke mari ! ”. (Jerit pegawai bomba dari bawah).

Namun, makcik tu masih enggan melepaskan anaknya, kerana tidak yakin anaknya akan selamat.

Makcik : "Suruh ’Gordon Banks’ datang. Minta dia sambut anak saya kat bawah". (Jerit perempuan tu).

Kebetulan Gordon Banks (ketika itu beliau adalah penjaga gol England, dan baru saja membantu negara tersebut menjuarai Piala Dunia 1966) melintas di kawasan tersebut. Melihat saja kelibat Gordon Banks kat bawah, makcik tu pun terus melempar anaknya dan disambut dengan penuh tenang oleh penjaga gol tersebut. Dan seperti diduga, orang ramai yang berada kat situ semuanya bertepuk tangan dan bersorak gembira, saling tak tumpah seperti keadaan di Wembley Stadium. Apa lagi, melihatkan situasi tersebut, si Gordon Banks itupun terus menyepak bayi tersebut sehingga melambung tinggi, sama sepertimana yang dilakukannya ketika setiap kali berjaya menyelamatkan gawang gol dari dibolosi. Sebenarnya beliau ’termamai’ sejenak kerana menyangkakan beliau sedang beraksi di stadium berkenaan. Naya je budak tu !

Pengajarannya, jangan terlalu yakin dengan kepakaran seseorang. Mai dia mamai, kalut satu dunia ! Mungkinkah cerita ini juga boleh dikaitkan dengan ketewasan UMNO atau parti-parti gabungan BN yang lain dalam PRU12 lalu, yang kabarnya menggunakan pelbagai akses dan tenaga kepakaran ? Takpalah, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.

Saya konsisten, bahawa BN akan mampu bangkit kembali. Yang penting pada waktu yang sukar ini, jangan sesekali salah-menyalah antara satu sama lain. Rapatkan kembali barisan, dan bersatulah untuk meleraikan kekalutan yang ada. Jangan tuang minyak ke atas api yang sedang marak. Jangan ada paksa memaksa. Ugut mengugut. Seperti selalu, komitmen sebagai satu pasukan amat diharapkan. Yang kalah dan yang menang cuba bermuhasabah diri. Menangpun jika majoritinya merosot, perlu juga diambil kira sebagai satu aspek dalam setiap post mortem. Dan, yang paling penting sekali adalah; apakah isu-isu besar seperti rasuah, kronism, ketidaktelusan dan sebagainya dapat dikurangkan (jika tidakpun terhapus terus) dari pentadbiran ’baik’ negara. Rakyat sedang menilai dan meneliti lagi, untuk memberi jawapan pada PRU13 pula !

Pada amatan saya, unsur-unsur penolakan UMNO juga telah berlaku sejak lama sebelum PRU12 dahulu. Saya tercari-cari apakah makna perkataan ”ABU” yang banyak tertulis di merata KL. Jika kita rajin ke sebelah stesen LRT Central Market, kita akan menemui tulisan tersebut di kawasan ’lukisan mural’ oleh para pelukis vandalism sebelah Sungai Gombak. Mulanya saya ingatkan ABU adalah akronim untuk perkataan Anwar Belasah UMNO ataupun Alternatif Belasah UMNO. Rupanya : Asal Bukan UMNO. Inilah antara kata kunci pembangkang kali ini yang kelihatan begitu licik dan tricky sekali kepada pemerintah khususnya UMNO. Nampaknya parti pilihan saya begitu sukar mengesani isu ini. Dan, satu lagi pengajaran yang baik untuk direnungi. Ateh dan Idazaini ada komen ? Jumpa lagi...

No comments: