Thursday, March 27, 2008

CERITA EMPAT PULUH DUA

Selama tiga belas tahun saya bertugas di Pentarama, saya telah menjelajah dari sekecil-kecil kampung di pedalaman (termasuk perkampungan Orang Asli dan kampung-kampung Bumiputra etnik minoriti di Sabah, Sarawak dan Labuan) hinggalah ke Bandaraya tersohor Kuala Lumpur ! Ada banyak persembahan yang saya jayakan yang menjadi nostalgia manis hingga kini. Antaranya, di Bukit Mertajam, Parit Buntar, Sungai Petani, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Labuan dan juga Langkawi.

Ada juga tempat-tempat yang menjadi ’kenangan paling sukar untuk dilupakan’. InsyaAllah, dalam waktu terdekat ini akan saya ceritakan perihal peristiwa-peristiwa tersebut. Yang pasti, saya merasa amat bertuah dan beruntung kerana ditakdirkan untuk menyertai unit Pentarama tersebut, kerana melaluinya saya memperoleh terlalu banyak pengalaman hidup yang sukar untuk diucapkan dengan kata-kata ! Kata orang, ’jauh perjalanan luas pengalaman’. Maka, kepada rakan-rakan maya saya, suka saya nasihatkan agar anda mencari sebanyak mungkin pengalaman (dalam segala bidang) yang terhidang di hadapan mata - untuk menjadikan anda seorang yang berilmu serta kompeten dalam hidup ini.

Pengalaman boleh diperolehi melalui apa saja sumber yang ada, atau dari siapa saja samada yang hidup atau yang telah mati ! Alam ini umpamanya, terlalu banyak yang dapat kita kutip sebagai sumber info-pengalaman. Melalui orang gila juga, saya pasti banyak pembelajaran yang boleh diperolehi. Membaca PERSPEKTIF lagilah banyak pengalaman...(Puji diri sendirilah tu...).

Saya gemar berkawan. Tak kira dari golongan atau kelompok mana mereka. Bagi saya, tiada kasta yang mampu memagari hubungan antara saya dengan orang lain. Sebagai makhluk Allah, kita adalah sama. Yang membezakan kita cuma dari beberapa aspek. Tetapi, jangan pula sesekali kita menyesali apa yang Allah telah kurniakan kepada diri kita. Berdosa tau !

Bidang pembelajaran saya adalah komunikasi. Orang komunikasi selalunya gemar berkawan dan menjalin silaturrahim dalam seluruh khalayak. Dan, seharusnya mereka memiliki ciri-ciri yang cukup menyenangkan selain kekemasan personaliti diri. Lembut berbicara serta dijalin intim dengan penuh hemah. Kalau tiada ciri-ciri tersebut, mereka pada saya bukan terdiri daripada kelompok terbabit. Jumpa lagi...

1 comment:

Anonymous said...

Pak Tam, ni nk ty ckit. PERSPEKTIF ke RETROSPEKTIF? ke sama je?