Wednesday, March 19, 2008

CERITA TIGA PULUH ENAM

Apabila melihat banyak perkara-perkara ’aneh’ yang berlaku di sekitar kita hari ini, rasanya dunia dah nak kiamat sangat. Di Sabah dalam berita malam tadi, ditunjukkan visual mengenai ’telor ayam kembar bertangkai’. Saya sendiri masih menyimpan ’cili padi kembar’ yang saya perolehi pada tahun lalu. Dan, kita wajar bersyukur kerana kembar Siam dari Kedah telah ’mendapat’ rahmat Allah SWT sebagai insan normal, melalui pembedahan yang dilakukan oleh doktor dan di hospital kita sendiri ! Umat Islam bergaduh sesama sendiri hanya kerana hal-hal duniawi !

Dalam politik, masuk hari ini cuma Terengganu saja yang masih belum menamakan barisan ’kabinet’ khususnya Menteri Besar mereka. Manakala semalam Pak Lah menamakan barisan kabinet peringkat nasional yang baru. Sebagai rakyat marhaen, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas perlantikan anda semua ! YB Tan Sri Muhammad bin Hj. Muhd. Taib (’Mike Tyson’) nampaknya kembali ke persada politik tanahair dengan penuh iltizam. Saya pernah membaca buku beliau bertajuk ’Melayu Baru’ yang diterbitkan pada 1993. Setelah 15 tahun usia buku tersebut, masih lagi kelihatan amat relevan. Banyak saranan untuk ’membandarkan’ Melayu di bandar. Maka, sesuailah jika kini ’dibandarkan’ pula Melayu kampung, untuk mempercepat proses pembangunan dan transformasi sepertimana yang digagaskan dalam buku tersebut. Selamat datang ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri !

Kita sambung cerita Pentarama pulaklah ya. Nanti ada yang merajuk, susah nak pujuk ! Ya, semasa audition kat Pentarama tu, saya mengakui bahawa tiada ’bekalan seni yang mantap’ yang saya bawa. Hanya sedikit pengalaman seni. Itupun sekadar ’ala-ala’ je. Menyanyi sikit, menari sikit, berlakun sikit. Senang kata ’tak ada pengalaman pro’ langsung ! Itulah masalahnya. Yang mengetuai sesi audition adalah Encik Karim Latiff, pelakun watak antagonis (penentang/watak jahat) era Studio Filem Ulu Kelang.

Punyalah susah payah buat itu ini, seperti yang diarah oleh panel audition. Kena tunjukkan kebolehan dalam semua bidang pementasan/persembahan. Encik Karim Latif (saya panggil ’abang Karim’) serius betul, macam nak makan orang. Ditambah dengan misai tebalnya yang dah mula ada unsur-unsur ’keputihan’ tu. Saya kalau melukis gambar dia tak pernah tak menjadi. Begitulah kuatnya imiginasi saya pada pelakun yang sezaman dengan Allahyarham Tan Sri (Dr.) P. Ramlee ni.

Kalau tak silap saya, ada sekitar 30 orang calun yang pergi audition tu. Nak pilih sorang je, seperti saya kata untuk ’ganti’ penyanyi Jamal Abdillah. Saya main ’belasah’ je bila abang Karim minta saya menari. ”Tarian apa tu ?!”, sergahnya. Sambil-sambil tu saya sahut : ”Tarian zapin encik !”. Setan betul, semua kat situ pakat gelakkan saya. Memangpun, tak rupa macam tarian langsung. Macam ’tomoi Siam’ adalah ! Nak malu ke hapa, bisik hati kecil saya. ’Hantam’ sajalah Labu !

Bila tiba bab berlakun ok, tak ada masalah. Menyanyipun ok, ada basic sikit. Tetiba, tak alih-alih suruh pulak saya melawak. ’Mangkok tingkat’ betul ! Peliknya, sekor ’humat’ pun kat situ tak ketawa. Malu jangan katalah. Peliknya, lepas saya audition tu, spontan saya dengar suara riuh dari dalam bilik bunyi gelak mereka. ”Gelakkan akulah tu !”. Hampeh betul !

Ada sorang je yang menjadi pesaing saya kata kak Yan dan Ellen (abang ipar kak Yan - suami Laila Shahrin (saya panggil kak Lin). Adik Sunny (pemain gitar utama) kumpulan Pentarama tu. ”Boleh tahan jugak budak tu”, bisik hati kecil saya. Tapi, bila kak Yan dan Ellen kata macam tu, sedap sikit hati saya. Yalah, sekurang-kurangnya saya masih ada harapan. At last, Allah nak bagi, dapat jugak saya job tu. Apa lagi, bukan main suka saat tu. Tambah pulak, abang Ai belanja makan kat ’Benteng’ yang di tepi Sungai Gombak (kawasan sekitar laluan gerai-gerai tepi Sungai Gombak atau dipanggil Jalan Masjid India sekarang). Kak Yan, kak Lin, Faimi dan Ellen pun turut sama. Tak boleh tidur, punyalah suka. Sampai nak tidur malam, bunyi kilang kat Kampung Medan, bunyi keretapi atau bunyi kereta lalu lalang kat tepi rumah kami macam (yang selalu memekak !) bagai ’tak ada apa-apa hal’ ! Seronok beb ! Asyik sungguh, lena dibuai mimpi indah. Apa taknya, kan ke esok saya bakal bergelar ’Artis Pentarama’ ? Tercapai jugak cita-cita nak jadi artis. Tapi, bukankah lebih baik masa tu di’konar’kan cita-cita tu - nak jadi ’Ustaz’ ke, Imam Besar masjid Negara ke atau ’Menteri Besar Perak’ ke...Melalutlah tu !

”Kalau awak dapat kerja ni, bila boleh start ?”, jerkah abang Karim. Memang gitupun dia. Tak sudah-sudahnya nak ’menyakat’ saya sejak dari awal audition tadi. Dengan pantas saya menjawab; ”Esok !”. Jumpa anda kembali...

No comments: