Friday, March 28, 2008

CERITA EMPAT PULUH TIGA

Semalam ke Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur menyaksikan pameran sempena Hari Kraf Kebangsaan 2008. Acara perasmiannya akan dilakukan oleh YAB Perdana Menteri pagi ni. Sempat jugak shopping kat sana. Imagine, orang beli barang kraf saya beli buku kraf. Cara-cara Orang Asli buat ’origami’ atau anyaman. RM 32.00 hengget terbang ! Buku tersebut kabarnya telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim tahun lalu di Pulalu Carey, Selangor. Sebut pasal Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim ni, ramai jugak kengkawan di sana yang sempat saya temui dok komplen pasal pertukaran portfolionya di KeKWa ke Kementerian Luar Negeri. Memangpun, beliau pada saya adalah seorang yang begitu komited dan amat meminati bidang-bidang yang ada kaitannya dengan kesenian dan kebudayaan masyarakat di negara ini. Kini KeKWa diterajui oleh YB Datuk Shafie Afdal dengan nama baru Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Unity, Culture, Arts and Heritage). Semoga Dato' Rais masih setia dengan kameranya...

Seramai 500 pengusaha kraf dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pameran yang berlangsung dari 27 hingga 7 April 2008 itu. Saya cukup teruja dengan benda-benda macam gini. Pameran dan jualan hasil rimba, tembikar, logam dan songket selain diselitkan persembahan pentas oleh artis jemputan. Sambil tengok-tengok sampin songket, terpegang yang berkenan. ”Berapa harga bro ?”, gatal mulut tanya. ”RM5,000.00 je...”, jawab brother tu dengan senyum. Entah kenapa, kaki rasa macam nak ’speed’ F1’ je melangkah saat tu. Ukur baju biarlah dibadan sendiri...

Bila perut terasa lapar, pergi pulak ke bahagian gerai jualan makanan. Pekena nasi ayam Lia (bekas penari tradisional tempat saya bekerja dulu). Sedap jugak sup dia. Ada taugeh. Teringin jugak nak cuba ’sup campur taugeh’ nasi ayam tu sebagai menu kat rumah. Lia merungut tak berapa ramai pelanggan. Saya kata sabar, baru hari ini start. Hari Sabtu dan Ahad nanti tak menang tanganlah Lia dibuatnya. Di situ juga saya menemui seorang personaliti yang amat saya kenali. Dengar suaranya pun saya dah tahu siapa dia ! Itulah Abang Anuar Kamaruddin (AK), DJ radio Rangkaian Nasional RTM yang paling popular terutama sewaktu mengendalikan LPMI (Lagu Popular Minggu Ini) sekitar tahun 80an, sebelum diambil alih oleh sahabat saya Haji Zazmie Zain. Pada era AK, lagu saya ’Begitu Hatiku Kasih’ (lagu dan lirik ciptaan saya sendiri) pernah dinobatkan sebagai antara senarai top five selama enam minggu berturut-turut. Haji Chuari Selamat, kini Penyelia Klasik FM kalau jumpa mesti 'menyakat' saya, ”AK abang angkat awak...!”.

AK juga berjanji untuk ambil saya sebagai salah seorang artis bagi persembahan anjuran Wanita FM (beliau kini bertugas di sana - bossnya Noramin). Sebenarnya saya pun minat jugak untuk menjadi DJ radio. Dalam banyak-banyak kerja seni, DJ radio belum lagi saya pernah buat. DJ pasaraya pernah, DJ majlis kahwin pernah, perantara TV Pendidikan pernah, perantara pantun, pengacara majlis (emcee) rasmi dan tidak rasmi pernah, selain berlakun radio dan pentas, berlawak, menari, menyanyi, bersajak, bersyair, berpantun, bermain muzik (drum), menulis skrip pentas dan melukis potrait, karikatur, kartun, penulisan kreatif seperti cerpen dan rencana, ucapan serta cabang-cabang seni kreatif yang lain yang sama waktu dengannya.

”Bersama-sama dengan kita pada pagi ni ialah penyanyi Shah Efendy”, umum Wak Nin dari atas pentas kecil tu. Spontan ketika dia terlihat kelibat saya kat depan pentas tu. Tak semena-mena dah kena menyanyi satu lagu bersama kumpulan yang cukup popular di Lembah Kelang dan juga biasa membuat persembahan di luar negara - ’Balle Balle’ tu ! Lagu ’carma’ (cari makan) ’Menimbang Rasa’ yang dipopularkan oleh S. Efendi tu saya tujukan khas untuk tiga peminat veteran (wanita) yang datang ambil autograf berhampiran sudut gerai Klasik FM. ”Ingat jugak peminat-peminat lama tu kat aku...”, bisik hati saya. Bye...

No comments: