Tuesday, March 25, 2008

CERITA TIGA PULUH SEMBILAN

Terima kasih kepada Nyah kerana pembetulan cerita semalam. Kepada semua rakan-rakan kat 28H tu, lihatlah foto-foto kenangan yang telah diambil tempohari (sebelah kanan-bawah). Comel tak ? Saya percaya, semuanya yang berkesempatan hadir pada pertemuan sulung di rumah kak Esah dan Brother Mat tempoh hari, masih lagi segar dengan memori indah itu. Masih teringat dan terngiang-ngiang keletah dan senda gurau masing-masing. Begitu juga dengan anak-anak yang menambah seri pertemuan tersebut. Bahawa, kita akan sama-sama mengingati tarikh keramat itu : 20 Mac 2008 (Khamis), bersamaan 12 Rabiul’Awal 1429 Hijrah (Mauliddurrasul).

Saya sendiri dapat merasakan bahang kemeriahannya. Renungilah foto-foto itu kembali. Cuma ingatan tulus dari saya, jangan akhiri ia di situ. Sambunglah kembali ikatan silaturrahim tersebut melalui wadah teknologi terkini. Nak tulis surat, tentulah masing-masing dah penat nak menulis. Apa yang saya dapat saya rumuskan, kalaulah berkumpul semua sekali warga 28H tu, agaknya tentu lebih gamat lagi. Dan, nampak gayanya kalau nak buat lain kali kenalah sewa bas pulak. Bawa seisi family dan kita boleh anjurkan macam-macam acara (game) lagi. Kalau umur panjang, rezeki murah, pertemuan-pertemuan selanjutnya kita book pulak ’Air Asia’ (masa discountlah). Pergi mana-mana tempat menarik di negara kita ni. Okey tak idea ni ? Tak okey pun kata okeylah ya...

Terima kasih pada ”Shasha” (anak kak Kiah Kecik) yang telah mengirimkan gambar-gambar tu. Pesan untuk Shasha dan lain-lain anak pelajar ’keluarga kita’, agar belajar rajin-rajin dan mendapat keputusan cemerlang pada setiap exam. Balaslah jasa ibu dan bapa. Jangan persiakan harapan mereka. Ingat, bahawa cabaran di hadapan semakin besar. Hanya mereka yang terbaik, tabah dan komited sahaja akan mampu memperoleh kejayaan yang hakiki ! Di samping itu, "Tuhan" jangan sekali-kali dilupakan...

Kembali bercerita mengenai jalur politik negara. Saya terpanggil untuk mengulas mengenai kenyataan YB Datuk Ahmad Sabery Cheek, Menteri Penerangan yang baru, mengenai hasrat beliau untuk menemui ’bloggers’ seperti kami sebaik memegang jawatan tersebut baru-baru ini. Saya tabik pada beliau yang begitu peka dengan perkembangan media maya terkini. Memang benar, peranan penulis blog di internet cukup besar. PRU12 yang baru lalu sebagai contoh nyata. Saya fikir, idea ini cukup baik terutama dalam kita membina kembali negara yang telah ’sedikit tercemar’ situasinya, terutama akibat daripada kempen-kempen yang telah berlangsung sebelum dan selepas musim PRU12 baru-baru ini.

Saya amat berharap agar para bloggers politik, dapat menyahut dengan nada yang positif akan hasrat murni Menteri Penerangan tersebut. Kita perlu membantu pihak Kerajaan untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan negara. Justeru, para penulis blog yang memiliki pengikutnya yang tersendiri, perlu mengimbangi situasi pro dan kontra yang disuarakan oleh rakyat jelata termasuk ’suara-suara nakal’ dari luar negara mutakhir ini ! Kita tidak boleh terus-terusan berberpolitik. Waktu senggang diperuntukkan bagi memulihkan kembali keadaan yang tidak berapa menyeronokkan ini. Kita sering mengungkapkan perkataan, ’Alangkah bersyukurnya aku, kerana dilahirkan di bumi yang bertuah ini”. Lalu saya bertanya pada diri saya sendiri, apakah kita telah benar-benar ’berasa bertuah’, selamat, seronok, selesa, sejahtera dalam situasi negara yang agak ’suram’ sekarang ? Bangkitlah wahai seluruh anak Malaysia. Tempatkan kembali negara kita ke persada dunia. Allah bersama dengan kita...InsyaAllah.

Kepada bloggers sekalian, tiba waktunya untuk anda menulis sesuatu yang bernilai positif untuk negara anda sekarang. Tulislah yang baik-baik, kerana jika terlalu banyak anda menulis tentang keburukan negara sendiri, ingatlah bahawa anda telah menempatkan diri anda ke dalam spesis ’keluarga’ peribahasa : ”Seperti meludah ke langit terkena batang hidung sendiri”. Fikirkanlah secara rasional. Kita bertemu kembali nanti...

No comments: