Wednesday, March 26, 2008

CERITA EMPAT PULUH SATU

Dapat call dari kak Kiah Cina pagi ni. ”Tak kenallah Din gambar tu”, rungutnya. Tu baru tengok kat gambar kak Kiah oiii, belum tengok had yang real ! Jangan-jangan kak Kiah Cina pun diaorang tak kenal sama tak ? Saya dapat rasa yang kak Kiahpun ’rindu’ kat diaorang tu semua kan ? Apapun, saya harap kak Kiah dapat jemput semua sekali rakan-rakan mate di 28H dulu tu sempena majlis kahwin anaknya nanti. Barulah meriah !

Oh ya, saya minta maaf hari tu terlupa nak story sikit pasal abang Mat (Brother). Brother yang dulu, kini dan selamanya - sama je ! Maintain. Balik dari reunion tu, abang Mat hantar saya dengan teksi dia hingga ke stesen Putra-LRT Asia Jaya. Macam-macam hal saya borak dengan abang Mat sewaktu dalam kereta. Yang ’’sulit-sulit” tu, off the records lah ya. Namun, saya puji sikap abang Mat yang cukup berterus terang. Kak Esah beruntung dapat Brother ! Betullll…Saya acah je nak bayar, memang pun - abang Mat tak nak duit saya tu. “Lain kali bolehlah naik free lagi, kan abang Mat ?”.

Dapat pulak panggilan dari bos lama di Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (KPNPM) dulu - Hajah Zuraidah Amiruddin (Cik Zu). Saya amat gembira sebaik dapat bercakap dengan beliau. Cik Zu masa di KPNPM berjawatan sebagai salah seorang pegawai kanan yang disukai ramai dan penuh dengan populariti. Di samping itu, beliau juga menjadi Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan. Manakala saya sendiri selaku Setiausahanya selama beberapa tahun selepas era Encik Anuari. Saya mendapat kabar dari Encik Kamaruddin Abdul Ghaffar, juga bekas pegawai kanan KPNPM (rakan akrab Cik Zu), yang saya temui di Maju Junction tahun lalu, mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya. Saya amat bimbang sebenarnya waktu tu. Syukur alhamdulillah, kini Cik Zu dah sihat sepenuhnya. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kehidupan Cik Zu. Amin...

Baiklah, mari kita bercerita kembali bab Pentarama semalam. Lepas peristiwa tu, saya menyambung penjelajahan bersama group Pentarama tu ke seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang. Kalau tak silap hampir tiga minggu jugak ! Masa tu Kerajaan negeri dikuasai oleh PAS (Menteri Besarnya Allahyarham Datuk Haji Mohd. Asri Muda). Allahyaraham Datuk Asri atau “Tok Ayah” begitu sinonim dengan arus politik PAS dan juga peringkat nasional terutama pasca penggabungan PAS dalam BN. Waktu itu tiada halangan untuk persembahan Pentarama (yang berkonsepkan hiburan bermaklumat) di negeri yang diperintah oleh Kerajaan PAS tersebut.

Bagi memperbaiki mutu persembahannya, Tan Sri Mohammad Rahmat (Tok Mat), selaku Menteri Penerangan masa tu sentiasa memberikan suntikan-suntikan baru yang sesuai dengan peredaran semasa. Juga, ke arah memperbaiki lagi tahap serta mutu persembahan kami yang dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dan, bagi saya Tok Mat adalah ’mentor’ yang sukar untuk dicari ganti. Harap-harap Menteri Penerangan yang baru ini dapat memberikan perhatian utama terhadap kumpulan tersebut, yang pada tanggapan saya masih lagi relevan sebagai salah satu daripada medium komunikasi dua hala ’yang begitu dekat’ antara pihak Kerajaan dengan masyarakat kumpulan sasar umumnya. Mungkin idea orang muda lebih ’terkehadapan’ ! Sehubungan itu juga, adalah bijak pada pemikiran saya, RTM sebagai ’keluarga kembar’ Jabatan Penerangan memberikan fokus dan mempromosi kegiatan artis Pentarama supaya dapat terus diterima dalam usaha ke arah mempertingkatkan lagi jumlah khalayaknya.

Oh ya, tentu semua nak tahu bagaimana saya mendapat nama Shah Efendy tu ya ? Ianya bermula ketika show pertama di Bachok tu lah. Norazean (kak Yan tinggi) masa tu pengacara (emcee) persembahan. Ketika time saya mula nak membuat persembahan, dia beritahu : ”Panjanglah nak sebut nama adik ni. Kak Yan bagi nama 'Shah Efendy' okey tak ?”, cetusnya dalam nada bersungguh. Sebagai orang baru saya ikut jelah...Itu la pasal kekal nama tu sampai kini ! Not bad jugak kan ?

Seingat saya, ada ramai lagi penyanyi generasi 70an hingga 90an yang menggunakan nama Shah samada di pangkal ataupun di penghujung nama. Mereka termasuklah sahabat saya Aman Shah, Elias Shah, Shah Reza (Datuk), Shahrizan Salmi, Irwan Shah (DJ Dave) dan beberapa lagi. Di Indonesia sendiri terdapat seorang penyanyi yang cukup gah namanya di persada muzik serantau, S. Effendi (Said Effendi). Beliau adalah antara penyanyi lelaki yang saya minati di Indonesia selain Broery Marantika, Bob Tutupoly, Ebiet G. Ede, Eddie Silitonga, Sam dan D’ Llyods dan Tommy J. Pisa. Dah terlanjur, penyanyi lelaki Malaysia yang menjadi kesukaan saya antaranya ialah Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee, Sudirman Hj. Arshad, Ahmad Jais, Tan Sri S. M. Salim, sahabat lama saya Jamal Abdillah (semoga sukses dengan ’Konsert Simfoni Kasih’ bersama Saleem nanti), dan juga Allahyarham Zain Azman. Kita jumpa lagi...

1 comment:

Anonymous said...

Saya setuju komen saudara berkaitan isu RTM dan Jabatan Penerangan ni. Kadang-kadang tu nampak macam tak sekepala, sedangkan duduk bawah Kementerian yang sama. Menteri baru tolong perbetul mana patut !